Menulis dan Kematian

Tinta mantan mpr 2006 pada 9/25/2007 10:02:00 AM

25 September 2007


Saya teringat kata-kata seorang penulis dahulu.


“Tulislah sesuatu yang bermanfaat dan jangan sesekali menulis sesuatu yang boleh merosakkan fikiran orang lain. Setiap apa yang kita tulis dan orang baca pasti akan dicatat untuk diadili di akhirat kelak.”

Kemudian baru tadi saya membaca blog Saudara Suhaimy yang memberitahu tentang seorang penulis blog yang baru meninggal dunia beberapa hari yang lalu. Entri terakhir di blog tersebut sedikit menyentuh hati saya.

Entrinya tentang kematian. Seakan penulisnya tahu apa yang bakal menemuinya di kemudian hari. Apa yang tinggal kini hanyalah beberapa tulisannya di blog tersebut dan hingga ke hari ini masih ada yang menyahut di chatboxnya.

Semoga rohnya dicucuri rahmat dan apa yang ditulisnya memberikan manfaat dan peringatan kepada yang membaca.

Apa yang perlu kita ingat adalah setiap apa jua perbuatan kita pasti akan dicatat oleh malaikat. Dan perbuatan kita tersebut akan dinilai sama ada mampu memberikan kita sedikit pahala(tiket ke syurga) ataupun dosa(tendangan ke neraka).

Menulis bukan melepas geram

Saya sebenarnya agak kurang gemar dengan blog yang setakat mengutuk-ngutuk tanpa apa-apa resolusi atau idea yang dikemukakan mereka sendiri. Kutuk-kutuk tanpa anda memberikan idea yang bernas, itu bukan satu perbuatan yang betul.

Walaupun memang saya sendiri tidak nafikan yang saya juga kuat mengutuk kerajaan tetapi bukanlah dengan melepas geram di blog. Kita boleh mengutuk tindakan pihak yang tidak betul, tetapi biarlah caranya berhemah.

Kalau mahu menolak cadangan orang lain, tolaklah dengan betul. Bagi idea anda pula yang mungkin dirasakan lebih elok dan lebih bernas.

Menulis janganlah sekadar melepaskan geram. Menulis adalah ibadah. Kalau kita mati nanti, mungkin hasil tulisan-tulisan kita inilah yang bakal menyelamatkan kita.

Kalau kita sekadar kutuk-kutuk tanpa asas, boleh tak saya katakana itu sebagai satu fitnah? Dan jika kita mengatakan sesuatu yang tidak betul tentang seseorang, bukankah dosanya amat besar?

Menulis juga boleh beramal

Kalaulah anda ada terbaca blog yang mengutuk-ngutuk dasar mana-mana pihak, cubalah tapis yang mana satu lepas geram dan yang mana satu ilmu.

Saya ingin juga mengajak beberapa rakan penulis blog untuk menulis perkara-perkara yang baik. Lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan. Ingat! Menulis itu juga adalah satu ibadah.
.
.
Azree MH
Dipetik daripada blog http://www.studiomuslim.com/

0 komen: