Pasca Seminar: Sebuah Pengalaman

Tinta Nissa' Yusof pada 11/24/2008 11:00:00 PM

24 November 2008

Salam.
Saya ke DBP siang tadi, untuk Seminar Kebangsaan Puisi Melayu Tradisional "Pantun, Syair Gurindam dan Nazam: Ketekalan Minda Melayu". Geng MPR yang ada, MF Kencana dan Azree Ariffin (MPR 2005) saja. Abang Ridzuan Harun datang sesi pagi dan petang pula ada Kak Salina Ibrahim.

Hari pertama ini ada ucap utama oleh SN Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh dan diikuti sesi pembentangan kertas kerja oleh Dr. Tenas Effendy dan ahli-ahli akademik yang lain. Sesi petang juga ada sambungan pembentangan kertas kerja.

Kami ke DBP bukan setakat hadiri seminar saja, malah macam-macam lagi yang kami dapat. Jumpa ramai penulis-penulis hebat, salah satunya. Saya sempat bercakap dengan Dr. Zurinah Hassan dan kami beberapa kali 'mengejar' SN Muhammad Haji Salleh, tapi apabila beliau lalu di depan mata, masing-masing jadi kelu tak boleh bercakap.

Dalam asyik 'mengejar' SN, sempat tegur Bonda Ani (Editor Tunas Cipta), akhirnya kami ikut bonda ke bahagian majalah dan berbincang macam-macam. Senang-senang saja dapat nasihat percuma (dan barang percuma juga) dari editor-editor, antara yang sempat kami jumpa editor Dewan Siswa, Dewan Budaya dan Dewan Sastera. Bolehlah buat 'ubat' tak sempat bertemu SN. Habis di meja bonda, kami ke tingkat 22 untuk urusan lain. Klimaks catatan ini adalah semasa kami turun dari tingkat 22 untuk ke surau, dalam perjalanan turun (tak pasti tingkat berapa) lif berhenti dan yang masuk adalah SN Muhammad Haji Salleh seorang. Jadi dalam lif tersebut ada kami berempat, saya, Azree, Fairuz dan SN. Kali ini memang kami tak lepaskan peluang, kami perkenalkan diri daripada MPR dan pelawa beliau bergambar. Terus kami turun ke tingkat bawah dan bergambar dan beliau melayan kami bersembang juga. Saya minta beliau beri nasihat, banyak sekali tunjuk ajar yang diberi. Salah satunya, bacalah karya-karya luar, dari Brazil, Amerika Latin dan Indonesia, contohnya. Setelah puas hati, barulah kami kembali naik lif ke surau.

Sengaja saya bercerita panjang-lebar dengan tujuan membuatkan orang yang tak hadir cemburu. Hehe. Seperti biasa, bukanlah namanya bertemu mantan MPR kalau tidak bergambar. Ada banyak lagi gambar-gambar menarik, antaranya pose sporting dengan Bonda Ani dan Puan Rozninah (Editor Dewan Sastera) tapi dalam kamera yang lain. Mungkin akan diupload dalam blog rasmi MPR nanti.

Jejaka MPR: MF Kencana, Azree Ariffin, Ridzuan Harun

Bersama Bonda Ani di bahagian majalah

Bersama SN Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh, gambar ini sedikit bergoyang dan kabur. Memang kecewa, tapi tak dapat menandingi kesempatan berbual dengan beliau. Di sebelah kiri itu dua orang staf DBP. Kata SN, "saya nak bergambar dengan semua yang ada, mereka pun 'orang' DBP juga".

Nissa' Yusof, Kak Salina Ibrahim, Bonda Ani dan MF Kencana sedang serius berbincang selepas tamat sesi hari pertama. Selepas bonda Ani dan Kak Salina beredar, kami bertiga (termasuk Azree yang mengambil gambar) sambung berborak panjang dan berbincang tentang gagasan-gagasan idea tersendiri untuk karya masing-masing dan skrip MF Kencana. Ya, kami adalah yang pertama masuk ke dewan banquet (sebelum sesi tamat lagi) dan kami jugalah yang terakhir keluar.

Tarrraaa!!! ini Tunas Cipta edisi Disember. Di kedai pun belum keluar lagi. Tahniah kepada tiga orang jelitawan MPR 2006 yang karya mereka tersiar bulan Disember. Siapa? Suprise...

Untuk bercerita tentang puisi Melayu tradisional, terlalu banyak. Sepanjang di dalam dewan memang kami terbuai dengan gurindam dan syair. Memetik kata SN Muhammad Haji Salleh, tanpa puisi tradisional ini, kita hanyalah bangsa yang meminjam-minjam.

Dalam pembuka bicara Pak Tenas untuk pembentangan bertajuk 'Gurindam Sebagai Tunjuk Ajar Melayu', beliau berkata:
dalam syair banyak pemikir
dalam pantun banyak penuntun
dalam gurindam banyak faham
dalam hikayat banyak ibarat

Ahli keluarga baru Kak Nisah

Tinta Nissa' Yusof pada 10/19/2008 04:11:00 PM

19 October 2008

Kak Nisah Haron yang merupakan salah seorang mentor kita telah selamat melahirkan bayi lelaki seberat 3.75 kilogram pada 4.12 petang, 18 Oktober 2008.

Tahniah kepada Kak Nisah dan Abang Shukri sekeluarga untuk kehadiran hero ini.

Kutipan Karya Eceran untuk DIskusi III Mantan MPR

Tinta Nissa' Yusof pada 9/13/2008 06:58:00 PM

13 September 2008

Selepas Majlis Diskusi Karya Novel & Kumpulan Puisi MPR 2008 yang telah berjaya diadakan pada 2 Ogos yang lepas, pihak urusetia dengan ini sedang dalam proses untuk mengadakan sebuah lagi Majlis Diskusi MPR pada hujung tahun ini yang akan melibatkan perbincangan Kumpulan Cerpen dan Karya Eceran (Puisi/Cerpen).


Justeru, pihak urusetia dengan ini ingin membuka peluang kepada mantan MPR 2000-2007 untuk menghantar karya eceran anda sama ada cerpen atau puisi untuk dibicarakan pada majlis diskusi tersebut. Karya anda itu haruslah pernah tersiar di mana-mana media seperti majalah dan akhbar (terutamanya terbitan Dewan Bahasa & Pustaka) sepanjang tahun 2007 dan 2008 serta meliputi pelbagai tema dan persoalan.

Anda boleh menghantar sebanyak mana pun karya kepada pihak urusetia, namun hanya satu karya sahaja daripada seorang penulis akan dipilih untuk dibicarakan untuk sesebuah genre. Senarai karya yang akan dibicarakan akan diumumkan kemudian oleh pihak urusetia. Penghantaran karya bolehlah diemelkan ke aktivitimpr[AT]gmail[DOT]com. Sila hantar karya anda sebelum 15 Oktober 2008.

Maka, apa lagi yang ditunggu? Jom hantar karya kita beramai-ramai. Jika ada rezeki, bolehlah sama-sama belajar daripada karya masing-masing. Melihat kepada tarikh akhirnya 15 Oktober, ada kira-kira sebulan lagi, masih sempat untuk hantar karya ke akhbar :)
-Nissa' Yusof

Tuntutan komersial vs sastera

Tinta Nissa' Yusof pada 9/12/2008 12:21:00 AM

12 September 2008


TUNTUTAN komersial dan tanggungjawab sosial untuk menerbitkan ruangan sastera di media cetak sering menjadi isu diperdebatkan sehingga memperlihatkan dua pihak bertentangan pendapat bersifat ekstrim dan mungkin tidak ada titik pertemuan antara mereka.

Pihak mementingkan komersial beranggapan ruangan sastera tidak menarik khalayak pembaca kerana memuatkan rencana dan karya sukar difahami serta bertumpu pada satu kelompok, manakala penulis serta peminat sastera terperangkap dalam nostalgia kejayaan Angkatan Sasterawan 50 (Asas 50) sehingga mahukan akhbar diterbitkan berdasarkan cita rasa mereka.

Baca lagi di laman web Berita Harian

Mungkin anda ada pendapat tersendiri?

Ucapan Merdeka Mantan MPR

Tinta Nissa' Yusof pada 8/31/2008 12:16:00 AM

31 August 2008


Sila klik imej untuk saiz besar.


Sumber: Blog Rasmi MPR

Diskusi Selesai

Tinta Nissa' Yusof pada 8/03/2008 02:51:00 PM

03 August 2008



Al-Fatihah Untuk Allahyarham SN S. Othman Kelantan

Tinta mantan mpr 2006 pada 8/01/2008 08:19:00 PM

01 August 2008

Semalam 31 Julai 2008 kira - kira 1145 malam adalah saat menyedihkan buat seluruh rakyat Malaysia terutamanya buat mereka yang terlibat dalam dunia penulisan dan sastera dengan pemergian Allahyarham SN. S Othman Kelantan ke pangkuan Allah Taa'la. Bersama kita sedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarham.

Saya menyelak surat khabar agak lewat hari-hari ini kerana urusan-urusan lain di Universiti dan saya sangat terkejut apabila membaca tentang pemergian Allahyarham. Sesungguhnya ajal maut di tangan tuhan dan semua orang sedar hal ini. Dunia sastera Malaysia kehilangan satu lagi permata berharga, tetapi itu semua dengan kehendak Allah jua.

Mudah-mudahan karya-karya Allahyarham akan menjadi sumber amal jariah untuknya di akhirat kelak.

Al-Fatihah..

DISKUSI NOVEL & KUMPULAN PUISI MANTAN MPR, 2008

Tinta Nissa' Yusof pada 7/22/2008 06:26:00 PM

22 July 2008

Dengan sukacita memaklumkan, Alumni Minggu Penulis Remaja akan mengadakan satu majlis Diskusi Novel dan Kumpulan Puisi Mantan Minggu Penulis Remaja, 2008. Anda dipelawa menghadiri majlis tersebut untuk memeriahkan lagi satu majlis wacana ilmiah dan sastera Melayu. Butirannya seperti berikut;


TARIKH: 2 OGOS 2008
HARI : SABTU
WAKTU : 8 PAGI
TEMPAT: DEWAN BAHASA & PUSTAKA, KUALA LUMPUR
BAYARAN: PERCUMA

BUKU YANG AKAN DIBICARAKAN:

SESSI PERTAMA (NOVEL)

- MANIKAM KALBU (Faisal Tehrani),
akan dibicarakan oleh En. Saleeh Rahamad

- PUISI UNTUK ESDYZUAR (Nisah Hj. Haron),
akan dibicarakan oleh Prof. Madya Dr. Faridah Jalil, UKM

- SALJU SAKINAH (Zaid Akhtar),
akan dibicarakan oleh Dr. Rahmah Ahmad H. Osman, UIAM

(dipengerusikan oleh Khairul Nizam Abd. Raub)

SESSI KEDUA (KUMPULAN PUISI)

- TAMAN PERCAKAPAN (Shamsuddin Othman),
akan dibicarakan oleh Prof. Arbak Othman, UPM

- MENGGELEDAH NURANI (Fahd Razy),
akan dibicarakan oleh En. Naapie Mat.

- SULUK CINTA (Ridzuan Harun),
akan dibicarakan oleh En. S.M Zakir

(dipengerusikan oleh Salman Sulaiman)

Kedatangan anda kami alu-alukan dan inilah masanya untuk anda (warga pembaca dan pemerhati sastera) untuk bertemu dengan penulis-penulisnya sendiri. Jumpa di DBP, nanti!

NOTA: pihak urusetia meminta warga mantan Minggu Penulis Remaja hadir beramai-ramai ke majlis ini. Untuk mantan wanita, pihak urusetia meminta agar anda mengenakan pakaian berwarna merah jambu, serta mantan lelaki mengenakan pakaian berwarna perang/coklat. (moga mantan-mantan sporting dengan urusetia, ya!)
* Sila pautkan ke blog anda dan jemput rakan-rakan anda sekali. Harap maklum, terima kasih.

foto MPR2006

Tinta mantan mpr 2006 pada 6/15/2008 04:33:00 PM

15 June 2008


puisi Utusan Jawi- 2 jun 2008

Tinta mantan mpr 2006 pada 6/03/2008 05:55:00 PM

03 June 2008

Bersatu Bangsa.

Selepas Inggeris dan Jepun selesai beragenda
mereka pulang dengan gembira
lalu kita kutip semula sisa yang tinggal
dan tampal segala lubang-lubang maruah
yang telah ditebuk rakus.

Imbas kembali
saat kepalamu di bawah kaki binatang
sewaktu keluargamu dikerumun syaitan nafsu
dan semasa nafas dijerut tangan raksasa hitam
siapa yang datang membantu
jika bukan bangsamu yang bersatu.

Selepas Inggeris dan Jepun selesai
jangan kita jemput mereka datang
lagi.

MOHD FIRDHAUS HASRAF BIN HASSAN
SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN.

"Top Banner" yang Lebih Baik

Tinta mantan mpr 2006 pada 5/30/2008 09:14:00 AM

30 May 2008

Nampaknya seseorang telah menukar top banner yang lebih baik dan menarik. Inilah usaha-usaha yang diharapkan. Selepas ini, silalah tulis entri mengenai perkara yang berkaitan seperti aktiviti sastera, seni, budaya dan seumpama dengannya.

Blog ini telah beberapa kali diabaikan dan ditinggalkan tanpa sebarang update. Moga-moga kali ini, blog ini dapat kembali aktif seaktif aktifnya. Kerjasama daripada rakan MPR 06 sangat diharapkan dan sokongan daripada semua mentor.

-faizal nizam-

Template Lain Lagi

Tinta mantan mpr 2006 pada 5/28/2008 03:10:00 PM

28 May 2008

Saya tukar lagi template. Template yg ini lebih baik dan mudah. Bahagian top banner pun sudah menampakkan "title" blog dan "descriptionnya". Bahagian "sidebar" pengumuman tersebut dibuat oleh saudari Nissa', terima kasih banyak banyak. Saya sedang berusaha sedaya yang boleh mengaktifkan blog ini, jadi saya harap dpt bantuan daripada rakan-rakan MPR 2006 yang lain.

Sekali lagi diingatkan.. Kepada semua mantan MPR 2006, sila hantar email kosong dengan subjek "Username dan Password Blog Mantan MPR 2006" ke kerd_019@yahoo.com. Jika anda sudah mendapat username dan password daripada saudari Nissa', tak perlu lagi untuk hantar emel kosong berkenaan kepada saya.

Jika semua mantan dah ada username dan password, harap masukkan entri-entri ke blog ini. Cuma "modification" untuk "coding html", sila rujuk saya dan saudari Nissa'.

Terima kasih.

Top Banner

Tinta mantan mpr 2006 pada 5/28/2008 12:46:00 PM

Buat masa sekarang, top banner sedang diusahakan. Oleh hal yang demikian, "title" blog ini masih belum muncul. Terima kasih kepada saudari Nissa' sebab update link blog mentor dan mantan mpr 2006.

Sekali lagi sebagai peringatan, kepada semua mantan MPR 2006, sila hantar email kosong dengan subjek "Username dan Password Blog Mantan MPR 2006" ke kerd_019@yahoo.com supaya saya dapat serahkan username dan password blog ini supaya kita dapat selalu update blog ini sebarang kengkangan.

Cuma satu lagi pesanan saya, untuk sebarang tambahan "coding html", sila rujuk saya atau saudari Nissa' untuk dipertimbangkan samada "coding html" yang hendak diletakkan perlu atau tidak.

Sekian, terima kasih.

-faizal nizam-

Pengkhianat Agama

Tinta mantan mpr 2006 pada 5/26/2008 12:58:00 PM

26 May 2008

Jadi bagaimanakah rupanya pengkhianat agama. Saya secara peribadi melihat orang yang paling agung, masyhur dan terkenal sebagai pengkhianat agama ialah Mustapha Kamal Ataturk dan tiada orang lain yang lebih keji dan hina daripada Kamal Ataturk.

Saya, baru baru ada membaca sebuah buku yang menceritakan perihal hidup Ataturk dan segala pengkhianatan yang telah dilakukannya. Latar belakang keluarganya sahaja sudah cukup untul mendorong Ataturk menjadi sebegitu keji dan hina pada pandangan mata seluruh umat Islam. Usaha-usaha membawa fahaman sekular oleh Ataturk di Turki boleh disifatkan sebagai sangat berjaya.

Sesungguh manusia tidak lepas daripada membuat kesilapan dan dosa tetapi harapnya tidak ada lagi golongan melampau seperti Ataturk muncul lagi dalam dunia Islam.

Oh ya, dalam salah sebuah novel Faisal Tehrani ada mengisahkan tentang satu lagi fahaman yang dinamakan Pluralisme dan fahaman ini dalam diam sebenarnya sedang menular di kalangan remaja Islam. Jadi berhati-hatilah kerana kurangnya ilmu dalam memahami ilmu Tauhid dan Akidah mungkin boleh menyebabkan kita terjerumus ke dalam fahaman Pluralisme ini.

Template Baru

Tinta mantan mpr 2006 pada 5/26/2008 12:32:00 PM

Selamat sejahtera kesemuanya,

Pagi ini saya terfikir, mungkin blog ini boleh kembali aktif jika wajah blog ini ditukar wajahnya. Akhirnya saya mengambil keputusan menggunakan template baru ini dengan 3 "column". Moga - moga rakan-rakan yang lain suka dengan template baru ini. Oh ya, ada beberapa respon yang mengatakan adalah lebih baik jika blog ini tidak bertumpu pada sastera semata mata kerana perkara - perkara lain juga boleh ditulis seperti hal hal seni dan muzik serta diselitkan lebih banyak "poll".

Maka untuk menjayakan cadangan ini. Saya minta kepada semua mantan MPR 2006 untuk hantar satu email kosong kepada saya tetapi tulis pada bahagian subjek email "Usernama dan Password Blog MPR". Sila hantar ke kerd_019@yahoo.com.

Kita akan berusaha semula untuk membangunkan dan mengaktifkan blog ini.

Sekian terima kasih.

-faizal nizam-

Maaf.. Cadangan Penutupan

Tinta mantan mpr 2006 pada 4/23/2008 10:07:00 AM

23 April 2008

Assalamualaikum, akhirnya selepas hampir 3 bulan, saya "log in" semula ke akaun blogger mantan mpr 2006 dan menulis entri ini. Sepatutnya saya wajar menanggung rasa bersalah terhadap pengabaian yang berlaku ke atas blog ini, tetapi saya ada sebab sendiri. Pertamanya kekangan sebagai pelajar yang sebenarnya tidak wajar saya jadikan alasan untuk mengabaikan blog ini kerana saya masih punya masa untuk menguruskan dua (2) blog lain kepunyaan saya sendiri. Tiada alasan kedua atau ketiga.

Nampaknya, blog ini juga sudah sangat berkurangan bilangan pelawatnya, sebabnya mudah saja,kerana sudah terlalu lama tidak dikemaskini. Maka, sebagai orang yang bertanggungjawab membuka blog ini dan saya jugalah sepatutnya orang yang bertanggungjawab memastikan blog ini sentiasa dikemaskini, tapi saya tidak bertindak demikian, saya bercadang untuk mengambil langkah untuk menutup saya blog ini kerana sekarang mantan-mantan MPR pun lebih suka untuk mengisi masa di http://minggupenulisremaja.blogspot.com.

Tidak keterlaluan jika saya kata, blog inilah yang menjadi wadah kepada pembukaan http://minggupenulisremaja.blogspot.com, jika dilihat kepada perbezaan tarikh pembukaan blog ini dan blog http://minggupenulisremaja.blogspot.com. (Maaf kepada "owner" http://minggupenulisremaja.blogspot.com jika kenyataan ini menyinggung perasaan beliau). Berdasarkan maklumat yang saya peroleh semasa MPR 2006 pun, mantan MPR 2006 adalah yang pertama mengadakan blog khas untuk komuniti MPR 2006, tapi sayangnya, saya tidak meneruskan usaha ini dengan bersungguh - sungguh.

Maka saya mengharapkan respon terutamanya daripada mantan MPR 2006 dan mentor mentor semasa MPR 2006 tentang cadangan penutupan blog ini.

Sila respon dengan menulis respon anda di ruang komen. Terima kasih.

-faizal nizam-

Hangat! Antologi MPR 2006

Tinta mantan mpr 2006 pada 1/10/2008 10:32:00 AM

10 January 2008

Assalamualaikum,

Selepas berbincang dengan beberapa orang peserta MPR2006 yang lain, akhirnya kami telah bersetuju untuk menerbitkan antologi cerpen dan sajak MPR2006 kita itu sendiri. Memandangkan pihak tersebut mendiamkan diri agak lama untuk menerbitkannya.

Jadi, ini butirannya:

Tema: Terpulang kepada anda(kami tidak menetapkan apa-apa tema)

Tarkh hantar karya: 45 Februari 15 Februari 2008

Emelkan karya ke emel mantanmpr06@yahoo.com@gmail.com

Syarat-syarat:

  1. Karya mestilah masih fresh(belum diterbitkan atau disiarkan) lagi.
  2. Tidak mengandungi unsur-unsur lucah yang amat atau tahyul yang melampau.(sampai buat orang terangsang atau terpengaruh. Sikit-sikit boleh kot)
  3. Setiap karya tidak perlu melalui mentor kerana selepas semua karya dikumpulkan kepada kami, kami sendiri akan menyerahkannya kepada beberapa mentor yang kurang sibuknya. Hehe.
  4. Dilarang menciplak karya orang lain, lebih-lebih lagi mentor sendiri.
  5. Hantar cepat!

Sebarang persoalan eloklah kiranya diajukan kepada Yana ataupun Lan. Kalau tiada nombor telefon dua orang ini, boleh buat bising di blog mereka.