Resensi - Novel Gerhana

Tinta ainunL muaiyanah pada 9/01/2010 09:39:00 PM

01 September 2010

Oleh: Ainunl Muaiyanah


Judul : Gerhana
Penulis : M.F. Kencana & Nissa’ Yusof
Rumah Penerbitan : PTS Fortuna
Harga : RM13.50

Novel Gerhana hadir sebagai novel sai-fi sewaktu sastera kita masih kekurangan novel-novel sebegini. Secara peribadi, saya tidak cenderung menyukai novel sai-fi kerana novel-novel sai-fi selalunya menghalalkan unsur-unsur kurang logik atas tiket sains, kreativiti dan imaginasi. Saya boleh menerima imaginasi dan sains, malah saya menyukai cerita Star Wars, Back To The Future, Transformers, namun ada kalanya pengarang sering kali dilihat berlebih-lebihan sehingga menimbulkan keraguan dan mengganggu pembacaan saya.

Namun, menyusur 158 halaman novel Gerhana, saya menemui keseronokan dalam membacanya. Sebagai seorang yang pernah berobsesi dengan buruj, zodiak, bintang, astronomi suatu ketika dahulu (gara-gara memasuki kuiz angkasa lepas semasa sekolah rendah), maka mulanya saya sedikit berjaga-jaga jika novel ini merupakan syarahan astronomi kepada saya namun sangkaan saya jauh tersasar.

Gerhana menemukan kita dengan watak Iman Muhaimin, mahasiswa tahun akhir jurusan astronomi (adakah di Malaysia, jurusan itu? maka imaginasi bermula) yang ingin mengkaji Gerhana Matahari Anulus atau gerhana cincin sebagai tesis tahun akhirnya. Semasa membuat penyelidikan di pangsapurinya, tanpa diduga satu letupan berlaku dan sewaktu sedarkan diri, dia bertemu seseorang yang serupa dirinya iaitu Zikri. Di sinilah konflik dan plot-plot terjalin. Lelaki yang serupa dengannya ialah Zikri yang datang daripada tahun 2100, 90 tahun ke hadapan yang tertarik ke dalam satu lubang (galaksi??) semasa gerhana anulus berlaku.

Iman memperoleh kuasa haba manakala Zikri punya kuasa luar biasa. Awas, ini bukan filem super-hero. Lepas dapat kuasa, tiba-tiba ada kuasa jahat dan perlu jadi penyelamat dunia. Bukan sama sekali. Ini kisah pencarian dan penyiasatan di sebalik kejadian aneh gerhana anulus. Kebetulan, Iman merupakan pelajar tahun akhir yang sedang menyiapkan tesis tahun akhir dan Zikri pula sememangnya berminat mengkaji teori kerelatifan masa di zamannya. Selepas kejadian itu, mereka saling bertukar fikiran, teori dan pengetahuan untuk membalikkan situasi kepada keadaan asal. Oleh kerana, kuasa haba yang diperoleh Iman menyebabkan dia jatuh sakit dan lemah, mereka harus pantas memikirkan cara supaya Zikri kembali ke zamannya. Mujur sahaja, penyelia tesis Iman, Dr Amatine merupakan mereka yang percaya pada keajaiban dunia astronomi dan sama-sama membantu Iman dan Zikri untuk mencari penyelesaian masalah mereka.

Jalinan antara sains dan ceritanya sangat menarik sekali. Ada kalanya apabila membaca sai-fi, pengarang selalu sahaja menggunakan lesen sai-fi untuk berlebih-lebihan dalam bercerita serta seolah-olah tidak berpijak di bumi nyata, namun di dalam novel Gerhana, setiap yang di imaginasi pada zaman 2100 adalah berdasarkan teori-teori sekarang seperti kesan pemanasan global di masa sekarang akhirnya mengakibatkan pulau-pulau kecil tenggelam ketika tahun 2100. Penerokaan planet baru, kenderaan yang memanipulasi kuasa graviti. Sebagai seseorang yang terdidik dengan disiplin sains, saya jadi teruja apabila teori-teori dan info sains tidak disampaikan dengan kosong tetapi membantu perjalanan plot dan cerita di dalam novel Gerhana. Itulah kekuatan novel Gerhana.

Walaupun ada sentuhan cinta (fitrah, kalau lelaki dan perempuan mesti ada unsur tertarik kan?), namun disampaikan dengan sederhana seperti menambahkan rencah sebagai penyedap rasa tanpa menghilangkan rasa sebenar hidangan cerita ini.

Namun, sayangnya novel yang menarik ini terdapat banyak juga typing-error sehingga bacaan saya sedikit terganggu. Malah kadang kala ada pertukaran nama watak, seperti dalam m/s 22 dimana sepatutnya nama wataknya Wana tetapi ditulis sebagai Syifa. Adakala juga watak Syifa menjadi Shifa. Disebabkan novel sai-fi yang menonjolkan pertukaran zaman dan watak-watak yang celaru identiti, maka kesalahan-kesalahan pertukaran nama watak ini membuatkan imaginasi saya sedikit terencat. Mood pembacaan terjejas sedikit sebanyak. Saya berharap pihak editor dan rumah penerbitan mengambil pertimbangan perkara ini.

Bacalah novel Gerhana yang sederhana, manis, penuh info astronomi dan menguja ini. Oh ya, pasti selepas ini anda pun mahu mendalami ilmu kaji bintang selepas membaca novel ini.


entri penuh boleh dibaca di blog Ainunl Muaiyanah.

0 komen: