Cucuk-cucuk Jarum Peniti : Jamuan tanpa orang??

Tinta jarum.peniti pada 10/04/2010 04:06:00 PM

04 October 2010

Hujung minggu, JP sempat pergi ke rumah Tinta. Ada jamuan makan-makan bersama orang sastera, semi sastera, penggiat seni serta rakan taulan dan keluarga. Kalau bab makan, JP pantang sekali. Mesti pergi.

Ramai orang yang JP nak jumpa hari itu, tapi tak berjaya sebab ramai yang tak datang. Hairan JP. Eh, pihak penganjur tak buat promosi atau jemputan kah?

Semasa sidang mesyuarat tingkap, JP curi-curi dengar keluhan penganjur, buat majlis diskusi pun tak ramai datang, buat majlis makan-makan tanpa bayar pun tak ada orang datang juga ke? JP angguk-angguk sambil kunyah roti jala yang sedap dengan kuah kari berisi kerang dan ayam.

Yalah, JP faham. Mereka buat majlis ini dengan titik peluh tak berbayar. Buat dengan hati dan kasih sayang pada dunia sastera. Mungkin ada yang mahu dijemput dengan ala-ala urusan rasmi paduka baginda, kalau tidak tak mahu mencemar duli. Manalah pihak penganjur punya masa. Mereka juga terikat dengan komitmen hidup yang lain.

Tapi JP juga faham. Disela-sela banyaknya jemputan rumah terbuka dan majlis kenduri kahwin sana-sini, manalah orang punya masa nak hadir jamuan makan tak berbayar di rumah tinta nun jauh di KL dan tersorok di balik rimbun pokok.

JP harap yang tidak dapat hadir benar-benar kerana sibuk bukan kerana mahu menjauhkan diri dan melupakan kawan-kawan atas sebab-sebab peribadi dan tidak peribadi.

Jarum Peniti : Tidak dapat lupa keenakan kek lobak di rumah Tinta tempoh hari.