Cucuk-cucuk Jarum Peniti: Penyair Muda dan Plagiatrisme

Tinta jarum.peniti pada 12/13/2010 03:50:00 PM

13 December 2010

JP sungguh terkejut! Bila kawan JP khabarkan benda ini, JP benar-benar terkejut. JP kata takkanlah kan sampai begitu sekali. Tak mungkin. Tapi itulah yang berlaku. Bila kawan JP tunjukkan bukti, JP dah tidak boleh hendak sangkal apa-apa. Ya, ada seorang penyair muda meniru atau plagiat hampir 80% salah satu puisi seorang penyair yang pernah memenangi anugerah Sea Write Award.

Kalau setakat disiarkan di majalah kuntum atau surat khabar tidak mengapa, atau di blog, kawan JP kata, masih boleh maafkan. tapi kalau tercetak di buku pula bagaimana? Sudahlah pula tu buku yang melibatkan kerjasama antara dua negara.

JP faham, kalau kita suka pada satu-satu puisi kadang-kala siang malam teringat-ingat. Dan kadang-kala kita dipengaruhi puisi itu semasa menulis. Tetapi dipengaruhi dan plagiat memang dua perkara yang berbeza. Tidak mengapa mula-mula menulis dipengaruhi puisi sesiapa tetapi bukan plagiat. Plagiat itu kesalahan besar.

Dunia sastera kita ini kecil sahaja, pusing-pusing sekitar itu juga. Pusing-pusing jumpa puisi yang sama juga. JP harap moga-moga penyair muda yang baru hendak menulis, hindarkan plagiat dan tiru meniru. Kalau sudah tertangkap, haru!


Jarum Peniti: Nasi sudah menjadi bubur

Cucuk-cucuk Jarum Peniti: Rumah Siap Pahat Berbunyi (HSPM)

Tinta jarum.peniti pada 12/09/2010 11:37:00 AM

09 December 2010

Keputusan HSPM sudah diketahui, JP rasa sungguh berbangga melihat deretan nama-nama yang ada. Walaupun JP ada sedikit hairan melihat ada anugerah yang tiada pemenang. Sampai begitu tenatkah mutu sastera kita sampai tiada pemenang untuk kategori terbabit. Atau hasil karya sasterawan tempatan tidak sampai taraf selera penel penilai? Ha.. yang itu JP tidak tahu.

Kalau melihat kategori umur pula, JP lihat, penerima paling muda pun dalam lingkungan 25 tahun dan ke atas. Itupun kategori sajak. Cerpen dan novel, jauh panggang dari api. Kebanyakan pemenang merupakan otai dalam dunia sastera. Jadi, JP bisik pada rakan JP, perjalanan sasterawan muda kita masih jauh lagi. Lepas itu kawan JP bisik balik pada JP, kalau fikirkan bagaimana karya orang muda yang berjiwa muda dengan fikiran muda hendak dinilai oleh penel penilai yang berusia? Tentu mereka akan cenderung memilih karya yang dekat dengan diri mereka. JP diam sahaja. Isu ini sudah lama bangkit. Kalau tidak, takkan wujud pertentangan pemikiran Orang Muda dan Orang Tua semasa zaman 50-an. Tapi JP percaya, panel penilai yang dipilih adalah dari intan yang terpilih dan bukan sebarangan.

Biasalah bila mana-mana anugerah, mesti ada kes rumah siap pahat berbunyi. Barulah ada warna-warni sedikit dalam dunia sastera kan?

Jarum peniti: Tak pernah ketuk pahat.

Cucuk-cucuk Jarum Peniti: HSPM yang rahsia?

Tinta jarum.peniti pada 12/03/2010 11:47:00 AM

03 December 2010

Masa gosip hujung bulan November, keputusan HSPM akan keluar, ramai orang menunggu nama-nama pemenang diumumkan. Iyalah Hadiah Sastera Perdana Malaysia yang dua tahun sekali itu tentu sekali dinanti-nantikan. Sampai majlis, keputusan langsung tidak tembus akhbar, JP hairan juga. Perahsia sungguh penganjuran HSPM kali ini.

Dengar-dengar gosip juga, keputusan memang sengaja tidak mahu diumumkan awal-awal, khuatir nanti ada kejadian kecam mengecam serta mempertikaikan kewibawaan pemilihan pemenang. JP dengar-dengar sahaja. Betul atau tidak, JP tidak tahu.

Bagi JP, kalau pemilihan pemenang itu dilakukan dengan betul dan mengangkat siapa yang layak menang, tiada apa yang perlu ditakutkan dengan bunyi nyamuk-nyamuk itu hatta nyamuk Aedes sekali pun. Tetapi kalau sebaliknya, memang patut rasa gentar dan risau juga.

Kalau difikir memang patut pemilihan pemenang HSPM dibuat dengan teliti kerana pemenang HSPM selalu dijadikan tanda aras sastera Malaysia. Kalau tanda aras pun tenggelam timbul, susahlah sastera Malaysia nak sampai tahap Hadiah Nobel.

Apa-apa pun, tahniah kepada semua pemenang HSPM 2008/2009

Jarum Peniti: Terkilan tidak dapat makan sate kerana tak dapat datang ke majlis.

Cucuk-cucuk Jarum Peniti : Jamuan tanpa orang??

Tinta jarum.peniti pada 10/04/2010 04:06:00 PM

04 October 2010

Hujung minggu, JP sempat pergi ke rumah Tinta. Ada jamuan makan-makan bersama orang sastera, semi sastera, penggiat seni serta rakan taulan dan keluarga. Kalau bab makan, JP pantang sekali. Mesti pergi.

Ramai orang yang JP nak jumpa hari itu, tapi tak berjaya sebab ramai yang tak datang. Hairan JP. Eh, pihak penganjur tak buat promosi atau jemputan kah?

Semasa sidang mesyuarat tingkap, JP curi-curi dengar keluhan penganjur, buat majlis diskusi pun tak ramai datang, buat majlis makan-makan tanpa bayar pun tak ada orang datang juga ke? JP angguk-angguk sambil kunyah roti jala yang sedap dengan kuah kari berisi kerang dan ayam.

Yalah, JP faham. Mereka buat majlis ini dengan titik peluh tak berbayar. Buat dengan hati dan kasih sayang pada dunia sastera. Mungkin ada yang mahu dijemput dengan ala-ala urusan rasmi paduka baginda, kalau tidak tak mahu mencemar duli. Manalah pihak penganjur punya masa. Mereka juga terikat dengan komitmen hidup yang lain.

Tapi JP juga faham. Disela-sela banyaknya jemputan rumah terbuka dan majlis kenduri kahwin sana-sini, manalah orang punya masa nak hadir jamuan makan tak berbayar di rumah tinta nun jauh di KL dan tersorok di balik rimbun pokok.

JP harap yang tidak dapat hadir benar-benar kerana sibuk bukan kerana mahu menjauhkan diri dan melupakan kawan-kawan atas sebab-sebab peribadi dan tidak peribadi.

Jarum Peniti : Tidak dapat lupa keenakan kek lobak di rumah Tinta tempoh hari.

Cucuk-cucuk Jarum peniti : Mahalnya Dana Menara Lontar?

Tinta jarum.peniti pada 9/24/2010 01:08:00 AM

24 September 2010

Semalam masa makan-makan dengan wartawan cabuk sastera, JP terdengar mereka merungut betapa susahnya hendak minta tajaan daripada menara lontar. Maklumlah menara lontar merupakan tempat bergantung harap untuk menggerakkan sastera di negara ini. Jadinya wartawan ini ingin bergantung harap untuk membuat program perhimpunan sastera. Namun hasilnya hampa. Menara lontar tidak mahu membantu atau menyumbang dana. terkial-kial lah wartawan ini mencari dana.

JP pun jadi hairan, bukankah menara lontar mendapat banyak dana daripada kerajaan ke? Takkan majlis kecil-kecilan pun menara lontar tak nak taja. Takkan selamanya mahu anjur majlis besar-besar dengan bunga api bagai, jemput artis-artis dan majlis kecil-kecil dengan orang-orang yang kecil, hanya pandang sebelah mata.

Atau menara lontar sudah tiada duit? Tapi timbul pula soalan, mana pula perginya duit-duit yang diperuntukkan itu semua?

Jarum peniti : Jarum peniti main lontar di padang saja.

Cucuk-cucuk Jarum Peniti : Sastera itu Berat?

Tinta jarum.peniti pada 9/22/2010 03:23:00 PM

22 September 2010

Arkian, jarum peniti terdengar khabar semasa Dialog untuk Orang-orang Muda (terlebih muda??), ada orang kita mengeluh dan terduduk. Dia terpinga-pinga kerana menurutnya 'Apa Itu Sastera?' . Bertahun-tahun tidak hadir majlis sastera, bila datang, terduduk dan terpinga. Dia merasakan sastera itu sangat ekslusif dan berat.


Mahu merakyatkan sastera untuk golongan marhaen tetapi perbincangan tidak mesra pendengar dan sekejap ke laut, sekejap ke darat? Macam mana itu? Jadi apa maknanya sastera dan sastera hanya untuk orang tertentu sahajakah?

Kalau begitu, Jarum Peniti rasa sampai bila-bila pun sastera negara kita tidak akan maju kalau masih memberatkan sastera untuk orang-orang tertentu dan menjadi alien di kalangan pengikut sastera sendiri.


Jarum peniti : Sebelum pergi majlis sastera, harus pergi praktis angkat berat.



Resensi - Novel Gerhana

Tinta ainunL muaiyanah pada 9/01/2010 09:39:00 PM

01 September 2010

Oleh: Ainunl Muaiyanah


Judul : Gerhana
Penulis : M.F. Kencana & Nissa’ Yusof
Rumah Penerbitan : PTS Fortuna
Harga : RM13.50

Novel Gerhana hadir sebagai novel sai-fi sewaktu sastera kita masih kekurangan novel-novel sebegini. Secara peribadi, saya tidak cenderung menyukai novel sai-fi kerana novel-novel sai-fi selalunya menghalalkan unsur-unsur kurang logik atas tiket sains, kreativiti dan imaginasi. Saya boleh menerima imaginasi dan sains, malah saya menyukai cerita Star Wars, Back To The Future, Transformers, namun ada kalanya pengarang sering kali dilihat berlebih-lebihan sehingga menimbulkan keraguan dan mengganggu pembacaan saya.

Namun, menyusur 158 halaman novel Gerhana, saya menemui keseronokan dalam membacanya. Sebagai seorang yang pernah berobsesi dengan buruj, zodiak, bintang, astronomi suatu ketika dahulu (gara-gara memasuki kuiz angkasa lepas semasa sekolah rendah), maka mulanya saya sedikit berjaga-jaga jika novel ini merupakan syarahan astronomi kepada saya namun sangkaan saya jauh tersasar.

Gerhana menemukan kita dengan watak Iman Muhaimin, mahasiswa tahun akhir jurusan astronomi (adakah di Malaysia, jurusan itu? maka imaginasi bermula) yang ingin mengkaji Gerhana Matahari Anulus atau gerhana cincin sebagai tesis tahun akhirnya. Semasa membuat penyelidikan di pangsapurinya, tanpa diduga satu letupan berlaku dan sewaktu sedarkan diri, dia bertemu seseorang yang serupa dirinya iaitu Zikri. Di sinilah konflik dan plot-plot terjalin. Lelaki yang serupa dengannya ialah Zikri yang datang daripada tahun 2100, 90 tahun ke hadapan yang tertarik ke dalam satu lubang (galaksi??) semasa gerhana anulus berlaku.

Iman memperoleh kuasa haba manakala Zikri punya kuasa luar biasa. Awas, ini bukan filem super-hero. Lepas dapat kuasa, tiba-tiba ada kuasa jahat dan perlu jadi penyelamat dunia. Bukan sama sekali. Ini kisah pencarian dan penyiasatan di sebalik kejadian aneh gerhana anulus. Kebetulan, Iman merupakan pelajar tahun akhir yang sedang menyiapkan tesis tahun akhir dan Zikri pula sememangnya berminat mengkaji teori kerelatifan masa di zamannya. Selepas kejadian itu, mereka saling bertukar fikiran, teori dan pengetahuan untuk membalikkan situasi kepada keadaan asal. Oleh kerana, kuasa haba yang diperoleh Iman menyebabkan dia jatuh sakit dan lemah, mereka harus pantas memikirkan cara supaya Zikri kembali ke zamannya. Mujur sahaja, penyelia tesis Iman, Dr Amatine merupakan mereka yang percaya pada keajaiban dunia astronomi dan sama-sama membantu Iman dan Zikri untuk mencari penyelesaian masalah mereka.

Jalinan antara sains dan ceritanya sangat menarik sekali. Ada kalanya apabila membaca sai-fi, pengarang selalu sahaja menggunakan lesen sai-fi untuk berlebih-lebihan dalam bercerita serta seolah-olah tidak berpijak di bumi nyata, namun di dalam novel Gerhana, setiap yang di imaginasi pada zaman 2100 adalah berdasarkan teori-teori sekarang seperti kesan pemanasan global di masa sekarang akhirnya mengakibatkan pulau-pulau kecil tenggelam ketika tahun 2100. Penerokaan planet baru, kenderaan yang memanipulasi kuasa graviti. Sebagai seseorang yang terdidik dengan disiplin sains, saya jadi teruja apabila teori-teori dan info sains tidak disampaikan dengan kosong tetapi membantu perjalanan plot dan cerita di dalam novel Gerhana. Itulah kekuatan novel Gerhana.

Walaupun ada sentuhan cinta (fitrah, kalau lelaki dan perempuan mesti ada unsur tertarik kan?), namun disampaikan dengan sederhana seperti menambahkan rencah sebagai penyedap rasa tanpa menghilangkan rasa sebenar hidangan cerita ini.

Namun, sayangnya novel yang menarik ini terdapat banyak juga typing-error sehingga bacaan saya sedikit terganggu. Malah kadang kala ada pertukaran nama watak, seperti dalam m/s 22 dimana sepatutnya nama wataknya Wana tetapi ditulis sebagai Syifa. Adakala juga watak Syifa menjadi Shifa. Disebabkan novel sai-fi yang menonjolkan pertukaran zaman dan watak-watak yang celaru identiti, maka kesalahan-kesalahan pertukaran nama watak ini membuatkan imaginasi saya sedikit terencat. Mood pembacaan terjejas sedikit sebanyak. Saya berharap pihak editor dan rumah penerbitan mengambil pertimbangan perkara ini.

Bacalah novel Gerhana yang sederhana, manis, penuh info astronomi dan menguja ini. Oh ya, pasti selepas ini anda pun mahu mendalami ilmu kaji bintang selepas membaca novel ini.


entri penuh boleh dibaca di blog Ainunl Muaiyanah.

Gerhana

Tinta Nissa' Yusof pada 8/27/2010 07:14:00 AM

27 August 2010

Alhamdulillah, selepas Zulfazlan, Nissa' dan MF Kencana menyusul dengan novel terbaru terbitan PTS Fortuna bertajuk Gerhana. Novel sains fiksyen ini berkisar tentang pertembungan dua zaman pada satu titik takdir.


Harga: RM 13.50 / RM 15.50
ISBN-13: 978-967-5136-63-4
Penerbit: PTS Fortuna

Sinopsis:

Tanpa siapapun menduga, kejadian gerhana anulus telah memporak-perandakan kehidupan dua insan. Iman Muhaimin dan Zikri Hussein; dua dunia, dua jiwa, dua kuasa yang bertembung pada satu takdir.


p/s: boleh hubungi Nissa' jika mahu membeli terus daripada penulis :)

Chronicle Alam Epsilon

Tinta Nissa' Yusof pada 7/17/2010 11:34:00 PM

17 July 2010

Sudah terbit. Sebuah novel fantasi karya Zulfazlan Jumrah. Novel pertama mantan MPR 2006 terbitan PTS. Mari sama-sama menyokong hasil karya masing-masing.

Harga: RM 13.50 / RM 15.50
ISBN-13: 978-967-5136-56-6
Penerbit: PTS Fortuna

Sinopsis:

Harris Iskandar dan Qistina terdampar di Epsilon, sebuah planet berlangit jingga apabila kenderaan angkasa mereka mengalami komplikasi. Di Epsilon, peperangan di antara Kerajaan Harimau Ais dan puak manusia Lapuerto yang berlaku setiap 100 tahun sekali, bakal meletus. Mereka berdua diramalkan menjadi penyelamat dunia itu. Dengan menunggang helang berkepala singa dan harimau berekor lembing yang selalu berbunyi, "Aum! Aum!" mereka dengan berani menceburkan diri dalam peperangan.

KAFE FILOSOF FIKIR

Tinta Nissa' Yusof pada 12/23/2009 10:01:00 PM

23 December 2009


sudah di(pra)lancarkan di Perhimpunan Alumni MPR 1, 2009.


nantikan ... Februari 2010.