Diskusi karya eceran mantan MPR 2007

Tinta mantan mpr 2006 pada 4/19/2007 04:12:00 PM

19 April 2007

oleh : AinunL muaiyanah muhammad sulaiman

DISKUSI KARYA ECERAN MANTAN MPR 2007.

Kepada semua mantan MPR 2000-2006, anda dijemput untuk menghantar cerpen atau puisi yang pernah tersiar di media cetak untuk didiskusikan sempena Pertemuan MPR 20 Tahun. Tujuan diskusi ini adalah untuk mengetengahkan penulis-penulis baru. Karya-karya yang dihantar hendaklah yang pernah tersiar di media cetak pada tahun 2005-2007. Hanya 15 cerpen dan 30 puisi pertama sahaja yang akan dipilih. Diskusi ini akan diadakan pada 14 Julai 2007. Karya-karya tersebut hendaklah dihantar ke emel mantan_mpr@yahoo. com.my Tarikh tutup penghantaran karya ialah pada 30 April 2007. Sebarang pertanyaan lanjut bolehlah emelkan ke alamat emel yang diberi.

PUISI PENGHULU YANG TERSIAR DI AKHBAR

Tinta mantan mpr 2006 pada 4/19/2007 03:47:00 PM

BERITA MINGGU, 8 APRIL 2007


KITA YANG SERINGKALI TERLUPA

Kitalah yang seringkali terlupa
menjadikan batu itu nilam permata,
kaca itu berlian yang tinggi nilainya.

Kitalah yang seringkali terlupa
memainkan melodi kejujuran
agar warga kita tahu erti berdikari
agar warga kita tahu bagaimana
memilih lurusnya haluan.

Kitalah yang seringkali terlupa
memahat jasa yang pernah ditaburkan
pada pusara budi yang kian menyepi
pada manis sepotong mimpi yang ngeri.

ZULFAZLAN JUMRAH
PPJ, KULAI, JOHOR.






UTUSAN MELAYU, 9 APRIL 2007


PUSARA BUDI

Pada ladang pusara ini
tertanam jasad budi yang kian mereput
bernisankan angkuh yang payah tercabut.

Pusara ini terbina
dari timbunan arus kemodenan
selirat mewah warga berlumba
memacu jentera peradaban
di medan persabungan kehidupan.

Pusara ini terbentang
bagai hamparan ladang budaya
yang hangus terbakar
seperti mawar warisan
yang tidak lagi berkembang mekar.

ZULFAZLAN JUMRAH
PPJ, Kulai Johor.

p/s cemburunya dengan puisi penghulu kita. Lalu kita mesti giat menghasilkan karya yang bagus di hari muka supaya dapat bersaing seiringan...

tahniah..tahniah...

Tinta mantan mpr 2006 pada 4/09/2007 04:42:00 PM

09 April 2007

Oleh : ainunL muaiyanah MS

Tahniah buat sahabat-sahabat sekapal yang karyanya tersiar bulan ini.

Firdaus Hassan ( Manusia bijaksana ) Dewan Siswa
ZulFadhli Sohok ( Bahtera Iman) Dewan Sastera
Nabiah M. Mashud (Tenggelam dalam Keredaan) Dewan sastera

Maaflah kalau ada yang terlepas pandang dan tidak sempat mengucapkan tahniah di sini. Oleh itu saya sarankan kepada sahabat-sahabat sekalian yang karya tersiar, harap dapat email ke mantanmpr06@yahoo.com supaya kejayaan itu di kongsi bersama dengan rakan-rakan yang lain. Bukannya bermaksud untuk membangga diri tetapi sekurang-kurangnya apabila kita berkongsi di sini, dapatlah menyemarakkan semangat sahabat-sahabat yang lain supaya giat berkarya. Selepas minggu MPR berlalu, saya dapat melihat banyak karya-karya mantan mpr 06 yang tersiar contohnya seperti Zulfazlan JUmran, Firdhaus Hassan, Nissa’ Yusof, Nabiha M. Mashut (sekadar menyebut beberapa nama) tersiar. Inilah satu perkara positif untuk di kongsi bersama dengan rakan yang lain.

Kepada mantan MPR yang sedang atau akan menghadapi final exam, saya doakan semoga tenang hati dan dapat menjawab semua soalan dan tidak lupa juga selamat bercuti….

Atas komitmen seorang mantan MPR 2005, Azree Ariffin, dia telah mewujudkan satu group mantan mpr di friendster. Sesiapa yang ingin menyertai group tersebut bolehlah ke profile azree ariffin, azrie87@hotmail.com ataupun profile saya ainunL muaiyanah, yan_isya@yahoo.com dan klik pada group Minggu Penulis Remaja DBP. Mari kita memeriahkan komuniti ini.

P/S jangan lupa langsaikan hutang pada DBP 5 puisi 2 cerpen

bingkisan kata dari azma

Tinta mantan mpr 2006 pada 3/24/2007 03:49:00 PM

24 March 2007

Oleh : Azma

Assalamualaikum. Buat teman-teman yang ku hormati sekalian. Semoga kalian ceria-ceria selalu. Tak kira lah walaupun hujan atau panas. Tapi rasanya dah musim kemarau dah hampir berakhir.Hmm bagaimana pula dengan teman-teman yang mngetahui keputusan SPM. Harapnya semuanya mendapat keputusan yang memuaskan. Ingat berkarya, berkarya juga, jangan lupa belajar. Sebab itu tujuan utama kita. Apapun belum terlambat untuk menguucapkan tahniah kepada teman-teman yang karya mereka disiarkan di mana- mana majalah. Semoga ia menjadi pendorong untuk kalian terus berkarya.Tapi jangan lupa doakan pada teman-teman yang lain, ye la sedih juga kan sebab karya masih belum tersiar. Tak mengapa, cuba lagi mana tahu bulan depan tersiar.Oklah cukup dulu, saya tinggalkan satu puisi untuk tatapan bersama.

Jejak lngkah tersusun atur,
beriringan menuju tujuan.

Sayup kedengaran,
Nyanyian alam menggamit jiwa,
Akhirnya sampai,
destinasi harapan dicita.

Siapakah yang cemburu,
Tatkala kemesraan mula berrputik,
Membuah kasih erat?
hampa,
Ia gugur jatuh,
Hancur reput di tanah duka.

Renunganku jauh,
Menggamit seribu kenangan,
Menjangkau semanis impian.


Salam juang,
Azma

Selamat bertemu kembali!

Tinta mantan mpr 2006 pada 3/21/2007 05:23:00 AM

21 March 2007

Assalamu'alaikum sahabat2..
alhamdulillah masih diberi kesempatan untuk mencoretkan sesuatu untuk tatapan sahabat2 mantan MPR06.Pertama2nya,jutaan kemaafan sebab sekian lama menyepi tanpa berita.Bukan sengaja,tetapi banyak komitmen lain yang menuntut perhatian yang lebih.Namun,menulis masih tetap diteruskan cuma tidak seaktif dahulu buat sementara ni.Buat pengetahuan sahabat2 semua,kami dari UIA('izzah,azree,safiah) sedang menghadapi final exam dan sedang dalam medan pertempuran bersama buku2 .Justeru,kami amat mengharapkan doa daripada sahabat2 semua mengiringi usaha kami dalam final exam ini.InsyaAllah,ini adalah semester terakhir kami sebelum kami sambung studi di kampus utama UIA Gombak.Sekadar ini dahulu,(nak sambung study balik ni)Mudah-mudahan dapat bertemu lagi dalam lembaran2 yang seterusnya.
doakan kami ye lulus dengan cemerlang!
sALaM sASTerA
-'izzah-

moderator:semoga kalian dpt mengharungi peperiksaan dengan tenang..

nakhoda upacara III

Tinta mantan mpr 2006 pada 3/07/2007 03:34:00 PM

07 March 2007


NAKHODA UPACARA III
( Buat SN A.Samad Said Ketika Malam Puisi Anggerik UPM )

Riwayat upacara ini tergenggam pada penanya.
Dia mencipta mesra kelasi upacara
menenang cemas waktu yang mengepung
dalam selirat keliru berat ditanggung.

Dialah nakhoda upacara
yang menegak bangun jati bangsa
mendiri warisan ibunda
dalam payah tanggung jalani canggung
jauh dari gelora hati hempasan murung.

Nakhoda ini peneraju tampuk bicara
memutuskan dari natijah bulat suara
tidak buta memaksa dari besar kuasa
melontar kata bukan tak pernah dikota
jauh sekali daif fikir dan idea
apatah cetek pertimbangan di dada.

Limpahan keringatnya adalah selaut kepuasan
yang hadir dari gigih-gigih garis-garis pengorbanan
yang terbentang dari anyaman permaidani kesabaran
mulia walau dalam senyap dirinya dicerca
masih tertawa dalam bauran duka
toleransi sekalipun lempuh mendera.

Dan terindah dalam lingkar fikirnya
adalah waktu dihitung berkunjung tiba
tika riuh berseri upacara dipatri
sepotong mimpi menguak realiti
pabila bara semangat marak nyala berkobar
menjadi penenang hati yang debar.


ZULFAZLAN JUMRAH
KOLEJ CANSELOR, UPM
30/01/2007
01.16 am

puisi tok penghulu untuk renungan

Tinta mantan mpr 2006 pada 3/07/2007 03:30:00 PM


KUNCI SEBUAH PETI YANG MEMERAM NASKHAH

Tamadun bangsa ini dapat diterokai dengan sebatang kunci khazanah.
Padanya kita mampu membuka jendela-jendela perit
dan menguak sejuta kisah watan
yang gagah melayari satu bahtera peradaban.

Kunci ini juga bisa menyelak pintu-pintu nostalgia
yang mengepung baur sejarah nusa di ladang kehidupan
yang dipalit kacau dan lumpur penghinaan,
dilitupi langsir durja di jenang pengembaraan.

Pada gagas bendangnya,
kita bisa menelaah batas-batas kegemilangan
dari benih-benih perjuangan yang tertanam
di butir pasir pengalaman berzaman.
Dengan kunci ini kita membuka peti peradaban
yang memeram naskhah rahsia bangsa
pada reput helaiannya tercoret aksara-aksara agung
cerminan berani satria nusa penegak pancang-pancang kedaulatan.

Di situ, tercatat persuratan warisan
yang menjadi tradisi watan
melakar citra jaya di sempadan cabaran,
sebagai lukisan permai untuk kita senada mengiktibar
episod duka di jalur-jalur penderitaan
dan gagas-gagas persengketaan.

ZULFAZLAN JUMRAH
UPM, SERDANG
5 MUHARAM 1428 H

Di mana kita

Tinta mantan mpr 2006 pada 3/04/2007 08:01:00 PM

04 March 2007

Bismillah
Oleh Amli Halimi

Jumaat lepas, usai solat jumaat, saya pergi ke kedai buku mahu mengintai-intai majalah baru keluaran mac. Entah kenapa hati tergerak membelek Dewan Sastera. Belek punya belek. Terlihat satu artikel bertajuk "MPR Edisi ke-20: Suatu Pembaharuan Positif."

Hati rasa tertarik untuk meneruskan intaian. Saya membuka halaman seterusnya. Melihat gambar teman-teman seangkatan MPR 2006, terimbau beberapa kenangan lampau. Tanpa berfikir panjang, saya terus membelinya.

Sampai di rumah, saya terus membaca tulisan Kak Nisah. Beliau memulakan tulisan dengan imbauannya ketika mengikuti MPR dulu. Secara ringkas Kak Nisah menceritakan pengalamannya. Beliau turut menceritakan bagaimana pembacaannya berkaitan dunia sastera pada ketika kakinya melangkah ke alam MPR. Antara tujuannya bukan untuk berbangga-bangga, tapi mahu adik-adiknya bangkit dari lena. Beliau membandingkan bagaimana pembacaan peserta MPR 2006. Pengetahuan kita berkaitan karya sastera, terlalu rendah.

Antara lain yang Kak Nisah sentuh bagaimana sesi perkenalan MPR 2006 dijalankan. Para mentor tidak menjalankan sesi tersebut sebagaimana sistem lama dengan masing-masing memperkenalkan diri di hadapan. Kenapa begitu? Kerana mereka yang aktif dan terus menulis, pasti namanya akan terus lekat dalam ingatan. Bukan di hati mentor sahaja, tetapi merangkumi jiwa-jiwa editor majalah, pembaca bahkan semua.

Saya teruja dengan tulisan Kak Nisah. Saya juga tertanya-tanya, di manakah saya? Di manakah kita semua?

Wallahu a'lam

HEBAHAN PENTING

Tinta mantan mpr 2006 pada 2/23/2007 07:09:00 AM

23 February 2007

Assalamualaikum kepada semua mantan,

Saya telah diundang melalui surat DBP/2-4/sulit/194/20-10 K.2 (39) bertarikh 21 Februari 2007 sebagai wakil Alumni Minggu Penulis Remaja untuk menghadiri saya majlis Taklimat Tentang Kegiatan Alumni Minggu Penulis Remaja pada :

Tarikh : 27 Februari 2007 (Selasa)
Masa : 9.30 pagi
Tempat : Bilik Mesyuarat Lembaga Pengelola, Menara DBP, Kuala Lumpur.

Tujuan majlis ini diadakan ialah untuk berinteraksi secara langsung dengan pertubuhan, kumpulan ataupun orang perseorangan yang terlibat secara langsung dalam dunia kesusasteraan di tanah air dan antarabangsa bersama-sama DBP.

Saya telah diminta untuk menyampaikan taklimat khas tersebut tentang kegiatan Alumni MPR kepada Jawatankuasa Sastera Lembaga Pengelola DBP.

Antara yang akan saya sampaikan adalah seperti mana berikut :

1. Perhimpunan Mantan MPR 1986 – 2006

2. Penerbitan antologi 20 tahun MPR

3. Diskusi buku alumni/ wacana ilmuan

4. Bengkel penulisan terbuka (untuk bukan MPR tetapi dikendalikan oleh mantan MPR)

5. Ruangan / pojok khusus untuk Alumni MPR dalam Dewan Sastera / Dewan Siswa

6. Bengkel pemantapan penulisan kepada mantan (mengikut genre)

7. Program penulis di sekolah

8. Laporan bengkel Adabuna - GKLN yang baru berlangsung awal Februari lepas.

Sekiranya mana-mana mantan mahu menyampaikan apa-apa maklumat lain ataupun ada hasrat yang perlu saya sampaikan, harap dapat salurkan kepada saya seberapa segera. Insya-Allah, saya akan memanjangkan perkara tersebut kepada pihak Jawatankuasa Sastera Lembaga Pengelola DBP.

Emel saya : nisah.haron@gmail.com ataupun telefon bimbit : 012-305 7123.

Terima kasih.


--
ikhlas,
Nisah Hj Haron
www.nisah.cjb.net
www.ujanailmu.com.my

puisi mantan mpr06 di Dewan Sastera

Tinta mantan mpr 2006 pada 2/12/2007 11:03:00 PM

12 February 2007

Oleh : ainunL muaiyanah sulaiman

Nadi Pesona Syurga
(Sempena tahun baru 2007)

Di atas citra jaya
Seorang insan mengimbas
2006 memori hidup yang indah

Dahulu dia pernah lemas
Lumpur derita menusuk nafas
Syukur masa kurniaan Esa
Dihadapan mata temui nadi

Dalam musim inilah
Insane ini mengenal cinta
Hirup nafas segar bahagia
Duduki indah sergam istana
Nadika pesonakan syurga

Di hujung musim
Disember yang terang
Dia pohoni yang Esa
Pelihara bahagia yang ada
Dari hasutan kawan nyata
Dan godaan musuh hina

Dan musim baru yang tiba
Dia sedar jarum duga pasti hadir
Berharap pada nadi
Sedari dugaan ini
Tepis dengan yakin
Katakana pada hati
Cinta ini adalah abadi

FIRDHAUS HASSAN
FSSR UiTM Perak



Mewarisi Tradisi

Menyusuri peradaban diri di tian realiti
Mamasak ampuh tiang iman teguh berdiri
Menyentak pawana jahil dari deras menderu
Menghempas buta budi yang kian membeku

Gagahilah watan!
Kebukit sedar kita maju berwawasan
Melakar potret agung di kanvas jaya
Mencanang citra mula dari kawah derita
Membelah samudera angkuh kian bergelora
Menyiram pucuk bangsa bahagia bersama

Malazimi bait aksara di medan ini
Kita melakoni takdir
Bersulam riang, duka dan menyediri
Merenjis tulus nurani
Mendidik jiwa menjadi insani
Mendakap sejahtera hakiki
Penyubur iman di sanubari
Apa yang dijaga tetap di warisi
Yang diwarisi langsung menjadi tradisi

ZULFAZLAN JUMRAN
PP, Kulai johor

Tahniah kepada Lan dan Firdhaus kerana karya mereka tersiar di Dewan Sastera Januari dan Februari. InsyaAllah setelah Februari berakhir, saya akan menyiarkan sajak yang tersiar di bulan Februari, Zulfazlan Jumaran (Kita Kian Lupa) dan Firdhaus Hassan (Tangga Bina Rebah).

Puisi Cikgu Sudin juga tersiar sama ,Merawat Cinta Di Kaki Kaabah dan makalah dari abang Lutfi Sastera Ringan : Antara Kualitatif Dengan Kuantitatif Tahniah! Tahniah!