Oleh : Azma
Assalamualaikum. Buat teman-teman yang ku hormati sekalian. Semoga kalian ceria-ceria selalu. Tak kira lah walaupun hujan atau panas. Tapi rasanya dah musim kemarau dah hampir berakhir.Hmm bagaimana pula dengan teman-teman yang mngetahui keputusan SPM. Harapnya semuanya mendapat keputusan yang memuaskan. Ingat berkarya, berkarya juga, jangan lupa belajar. Sebab itu tujuan utama kita. Apapun belum terlambat untuk menguucapkan tahniah kepada teman-teman yang karya mereka disiarkan di mana- mana majalah. Semoga ia menjadi pendorong untuk kalian terus berkarya.Tapi jangan lupa doakan pada teman-teman yang lain, ye la sedih juga kan sebab karya masih belum tersiar. Tak mengapa, cuba lagi mana tahu bulan depan tersiar.Oklah cukup dulu, saya tinggalkan satu puisi untuk tatapan bersama.
Jejak lngkah tersusun atur,
beriringan menuju tujuan.
Sayup kedengaran,
Nyanyian alam menggamit jiwa,
Akhirnya sampai,
destinasi harapan dicita.
Siapakah yang cemburu,
Tatkala kemesraan mula berrputik,
Membuah kasih erat?
hampa,
Ia gugur jatuh,
Hancur reput di tanah duka.
Renunganku jauh,
Menggamit seribu kenangan,
Menjangkau semanis impian.
Salam juang,
Azma
bingkisan kata dari azma
Tinta mantan mpr 2006 pada 3/24/2007 03:49:00 PM
24 March 2007
Selamat bertemu kembali!
Tinta mantan mpr 2006 pada 3/21/2007 05:23:00 AM
21 March 2007
moderator:semoga kalian dpt mengharungi peperiksaan dengan tenang..
nakhoda upacara III
Tinta mantan mpr 2006 pada 3/07/2007 03:34:00 PM
07 March 2007
( Buat SN A.Samad Said Ketika Malam Puisi Anggerik UPM )
Riwayat upacara ini tergenggam pada penanya.
Dia mencipta mesra kelasi upacara
menenang cemas waktu yang mengepung
dalam selirat keliru berat ditanggung.
Dialah nakhoda upacara
yang menegak bangun jati bangsa
mendiri warisan ibunda
dalam payah tanggung jalani canggung
jauh dari gelora hati hempasan murung.
Nakhoda ini peneraju tampuk bicara
memutuskan dari natijah bulat suara
tidak buta memaksa dari besar kuasa
melontar kata bukan tak pernah dikota
jauh sekali daif fikir dan idea
apatah cetek pertimbangan di dada.
Limpahan keringatnya adalah selaut kepuasan
yang hadir dari gigih-gigih garis-garis pengorbanan
yang terbentang dari anyaman permaidani kesabaran
mulia walau dalam senyap dirinya dicerca
masih tertawa dalam bauran duka
toleransi sekalipun lempuh mendera.
Dan terindah dalam lingkar fikirnya
adalah waktu dihitung berkunjung tiba
tika riuh berseri upacara dipatri
sepotong mimpi menguak realiti
pabila bara semangat marak nyala berkobar
menjadi penenang hati yang debar.
ZULFAZLAN JUMRAH
KOLEJ CANSELOR, UPM
30/01/2007
01.16 am
puisi tok penghulu untuk renungan
Tinta mantan mpr 2006 pada 3/07/2007 03:30:00 PM
Tamadun bangsa ini dapat diterokai dengan sebatang kunci khazanah.
Padanya kita mampu membuka jendela-jendela perit
dan menguak sejuta kisah watan
yang gagah melayari satu bahtera peradaban.
Kunci ini juga bisa menyelak pintu-pintu nostalgia
yang mengepung baur sejarah nusa di ladang kehidupan
yang dipalit kacau dan lumpur penghinaan,
dilitupi langsir durja di jenang pengembaraan.
Pada gagas bendangnya,
kita bisa menelaah batas-batas kegemilangan
dari benih-benih perjuangan yang tertanam
di butir pasir pengalaman berzaman.
Dengan kunci ini kita membuka peti peradaban
yang memeram naskhah rahsia bangsa
pada reput helaiannya tercoret aksara-aksara agung
cerminan berani satria nusa penegak pancang-pancang kedaulatan.
Di situ, tercatat persuratan warisan
yang menjadi tradisi watan
melakar citra jaya di sempadan cabaran,
sebagai lukisan permai untuk kita senada mengiktibar
episod duka di jalur-jalur penderitaan
dan gagas-gagas persengketaan.
ZULFAZLAN JUMRAH
UPM, SERDANG
5 MUHARAM 1428 H
Di mana kita
Tinta mantan mpr 2006 pada 3/04/2007 08:01:00 PM
04 March 2007
Bismillah
Oleh Amli Halimi
Jumaat lepas, usai solat jumaat, saya pergi ke kedai buku mahu mengintai-intai majalah baru keluaran mac. Entah kenapa hati tergerak membelek Dewan Sastera. Belek punya belek. Terlihat satu artikel bertajuk "MPR Edisi ke-20: Suatu Pembaharuan Positif."
Hati rasa tertarik untuk meneruskan intaian. Saya membuka halaman seterusnya. Melihat gambar teman-teman seangkatan MPR 2006, terimbau beberapa kenangan lampau. Tanpa berfikir panjang, saya terus membelinya.
Sampai di rumah, saya terus membaca tulisan Kak Nisah. Beliau memulakan tulisan dengan imbauannya ketika mengikuti MPR dulu. Secara ringkas Kak Nisah menceritakan pengalamannya. Beliau turut menceritakan bagaimana pembacaannya berkaitan dunia sastera pada ketika kakinya melangkah ke alam MPR. Antara tujuannya bukan untuk berbangga-bangga, tapi mahu adik-adiknya bangkit dari lena. Beliau membandingkan bagaimana pembacaan peserta MPR 2006. Pengetahuan kita berkaitan karya sastera, terlalu rendah.
Antara lain yang Kak Nisah sentuh bagaimana sesi perkenalan MPR 2006 dijalankan. Para mentor tidak menjalankan sesi tersebut sebagaimana sistem lama dengan masing-masing memperkenalkan diri di hadapan. Kenapa begitu? Kerana mereka yang aktif dan terus menulis, pasti namanya akan terus lekat dalam ingatan. Bukan di hati mentor sahaja, tetapi merangkumi jiwa-jiwa editor majalah, pembaca bahkan semua.
Saya teruja dengan tulisan Kak Nisah. Saya juga tertanya-tanya, di manakah saya? Di manakah kita semua?
Wallahu a'lam
HEBAHAN PENTING
Tinta mantan mpr 2006 pada 2/23/2007 07:09:00 AM
23 February 2007
Assalamualaikum kepada semua mantan,
Saya telah diundang melalui surat DBP/2-4/sulit/194/20-10 K.2 (39) bertarikh 21 Februari 2007 sebagai wakil Alumni Minggu Penulis Remaja untuk menghadiri saya majlis Taklimat Tentang Kegiatan Alumni Minggu Penulis Remaja pada :
Tarikh : 27 Februari 2007 (Selasa)
Masa : 9.30 pagi
Tempat : Bilik Mesyuarat Lembaga Pengelola, Menara DBP, Kuala Lumpur.
Tujuan majlis ini diadakan ialah untuk berinteraksi secara langsung dengan pertubuhan, kumpulan ataupun orang perseorangan yang terlibat secara langsung dalam dunia kesusasteraan di tanah air dan antarabangsa bersama-sama DBP.
Saya telah diminta untuk menyampaikan taklimat khas tersebut tentang kegiatan Alumni MPR kepada Jawatankuasa Sastera Lembaga Pengelola DBP.
Antara yang akan saya sampaikan adalah seperti mana berikut :
1. Perhimpunan Mantan MPR 1986 – 2006
2. Penerbitan antologi 20 tahun MPR
3. Diskusi buku alumni/ wacana ilmuan
4. Bengkel penulisan terbuka (untuk bukan MPR tetapi dikendalikan oleh mantan MPR)
5. Ruangan / pojok khusus untuk Alumni MPR dalam Dewan Sastera / Dewan Siswa
6. Bengkel pemantapan penulisan kepada mantan (mengikut genre)
7. Program penulis di sekolah
8. Laporan bengkel Adabuna - GKLN yang baru berlangsung awal Februari lepas.
Sekiranya mana-mana mantan mahu menyampaikan apa-apa maklumat lain ataupun ada hasrat yang perlu saya sampaikan, harap dapat salurkan kepada saya seberapa segera. Insya-Allah, saya akan memanjangkan perkara tersebut kepada pihak Jawatankuasa Sastera Lembaga Pengelola DBP.
Emel saya : nisah.haron@gmail.com ataupun telefon bimbit : 012-305 7123.
Terima kasih.
--
ikhlas,
Nisah Hj Haron
www.nisah.cjb.net
www.ujanailmu.com.my
puisi mantan mpr06 di Dewan Sastera
Tinta mantan mpr 2006 pada 2/12/2007 11:03:00 PM
12 February 2007
Oleh : ainunL muaiyanah sulaiman
Nadi Pesona Syurga
(Sempena tahun baru 2007)
Di atas citra jaya
Seorang insan mengimbas
2006 memori hidup yang indah
Dahulu dia pernah lemas
Lumpur derita menusuk nafas
Syukur masa kurniaan Esa
Dihadapan mata temui nadi
Dalam musim inilah
Insane ini mengenal cinta
Hirup nafas segar bahagia
Duduki indah sergam istana
Nadika pesonakan syurga
Di hujung musim
Disember yang terang
Dia pohoni yang Esa
Pelihara bahagia yang ada
Dari hasutan kawan nyata
Dan godaan musuh hina
Dan musim baru yang tiba
Dia sedar jarum duga pasti hadir
Berharap pada nadi
Sedari dugaan ini
Tepis dengan yakin
Katakana pada hati
Cinta ini adalah abadi
FIRDHAUS HASSAN
FSSR UiTM Perak
Mewarisi Tradisi
Menyusuri peradaban diri di tian realiti
Mamasak ampuh tiang iman teguh berdiri
Menyentak pawana jahil dari deras menderu
Menghempas buta budi yang kian membeku
Gagahilah watan!
Kebukit sedar kita maju berwawasan
Melakar potret agung di kanvas jaya
Mencanang citra mula dari kawah derita
Membelah samudera angkuh kian bergelora
Menyiram pucuk bangsa bahagia bersama
Malazimi bait aksara di medan ini
Kita melakoni takdir
Bersulam riang, duka dan menyediri
Merenjis tulus nurani
Mendidik jiwa menjadi insani
Mendakap sejahtera hakiki
Penyubur iman di sanubari
Apa yang dijaga tetap di warisi
Yang diwarisi langsung menjadi tradisi
ZULFAZLAN JUMRAN
PP, Kulai johor
Tahniah kepada Lan dan Firdhaus kerana karya mereka tersiar di Dewan Sastera Januari dan Februari. InsyaAllah setelah Februari berakhir, saya akan menyiarkan sajak yang tersiar di bulan Februari, Zulfazlan Jumaran (Kita Kian Lupa) dan Firdhaus Hassan (Tangga Bina Rebah).
Puisi Cikgu Sudin juga tersiar sama ,Merawat Cinta Di Kaki Kaabah dan makalah dari abang Lutfi Sastera Ringan : Antara Kualitatif Dengan Kuantitatif Tahniah! Tahniah!
PENGUMUMAN PENTING
Tinta mantan mpr 2006 pada 2/07/2007 03:09:00 PM
07 February 2007
Assalamualaikum warahmatullah..
Berhubung dengan satu pesanan yang baru diterima baru baru ini, antologi MPR jadi untuk diterbitkan. Maka diharapkan semua mantan MPR2006 dapatlah hantar kerja rumah masing (5sajak dan 2cerpen) kepada mentor - mentor yang berkenaan sebelum tarikh akhir penghantaran.
Sekian,terima kasih.
-moderator-
Mencari diri dalam sastera
Tinta mantan mpr 2006 pada 1/28/2007 10:54:00 PM
28 January 2007
Saya bukanlah berasal daripada keluarga yang terlibat dengan sastera. Entah mengapa saya begitu berminat dengan sastera. Benih - benih minat tumbuh makin subur apabila saya mengenal sajak - sajak karya Allahyarham Usman Awang. Saya banyak menulis semasa di sekolah menengah tetapi karya-karya saya ketika itu cuma untuk simpanan sendiri dan banyak yang dah hilang pun.
Apabila masuk kolej, saya semakin perlahan menulis kerna sibuk dengan pelajaran. Alhamdulillah, selepas salah satu karya saya yang kecil dan tidak seberapa tersiar dalam Tunas Cipta, saya ditawarkan oleh DBP untuk menyertai MPR. Saya tidak berfikir 2 kali, bulat - bulat saya terima.
Semasa di MPR, banyak yang saya belajar, terima kasih kepada DBP dan semua mentor. Hari ini, saya berusaha mencari waktu terluang untuk menulis walaupun hakikatnya saya terlalu sibuk, lebih lebih lagi sebagai pelajar jurusan undang undang. Terlalu banyak benda yang nak dibaca, hinggakan hendak membaca karya-karya sasterawan negara dan penulis mapan pun terlalu susah, saya perlu banyak memberi tumpuan kepada 'study', tetapi saya cuba juga mencuri masa untuk membaca karya - karya sastera.
Saat ini, tika saya memegang pena dan hendak berkarya, saya sering memasang niat dalam hati, saya menulis kerna mahu mencari diri saya dan hakikat hidup yang sebenar. Saya cuba menulis atas nama ketuhanan dan perikemanusiaan. Saya bukan manusia terbaik untuk bercakap tentang ketuhanan dan perikemanusiaan, tetapi saya mahu mencuba. Dalam pada masa yang sama saya mahu mengubah diri menjadi manusia yang lebih baik melalui karya-karya saya.
Perjalanan sastera saya terlalu baru, tersangat hijau, masih jauh, terlalu jauh. Saya tahu saya mesti sabar dan tekun, tetapi itulah, status sebagai pelajar undang undang mengekang saya untuk istiqamah dalam berkarya. Saya harapkan sokongan kalian kepada saya untuk saya terus sabar dan tekun berkarya, tidak putus asa.
Memang, saya mencari diri dalam sastera.
-faizal-
pantun suka hati
Tinta mantan mpr 2006 pada 1/24/2007 05:05:00 PM
24 January 2007
PANTUN SUKA HATI
Dicipta secara suka hati oleh Nissa’ Yusof
Berbuah rambutan di tepi padang
Ambillah tuan buat berkelah
Meskipun leher di hujung pedang
Jangan sekali mengaku kalah
Tengku Muda menjala siakap
Sambil menghisap tembakau cina
Usah dihirau orang bercakap
Ayuh kita tajamkan pena
Tumbuh lalang di pinggir kali
Datang mamak habis ditebas
Biarlah orang tidak peduli
Asalkan kita berniat ikhlas
Masak ranum si buah duku
Cantik kuning si buah nangka
Inilah saja hasil tanganku
Untuk kita bersuka-suka

