Melayu...

Tinta mantan mpr 2006 pada 12/30/2006 12:12:00 AM

30 December 2006

Melayu…
Katanya sudah maju
45 peratus pemilikan harta milik bangsaku

Melayu...Bersopan sudah tidak tahu
Quran hanya jadi tugu
Hiburan melekat bagai tatu

Melayu...Kenapa jadi begitu
Semakin maju
Agama semakin melayu


Coret-coret dari manusia kecil
ilhamharapan
15 November 2006

Tahniah Buat Abang Shahrun

Tinta mantan mpr 2006 pada 12/29/2006 11:33:00 PM

29 December 2006

Dipanjatkan setinggi syukur kepada Ilahi dan tahniah kepada Abang Shahrun dengan kelahiran putera beliau.

Mesej daripada Abang Shahrun:
Alhamdulillah, 5.06 petang, hari wukuf di Arafah, lahir zuriat kurniaan Ilahi yang dinanti. Terima kasih di atas doa kalian semua.

Muhammad Hafizuddin bin Shahrun Nizal mengucapkan salam sempena hari wukuf di Arafah 5petang tadi <-- ni plak mesej dr Kak Rai (mmg da vinci code mesej ni)

TAHNIAH SEKALI LAGI BUAT ABANG SHAHRUN SEKELUARGA

Puisi

Tinta mantan mpr 2006 pada 12/29/2006 10:58:00 PM

Oleh : Azree
(Khas utk blog MPR)


CINTA
(Selepas melihat promo filem 'cinta')

Kabir Bathia kata cinta itu
sebuah kisah tentang kasih

lalu aku katakan padanya

satu
satu
satu
satu
satu
setinggi langit
sedalam lautan
cintaku bertaut kudus.



____________________________________
Catatan

nampak promo filem ni masa dalam bas yang lalu di laluan jalan bangsar.

p/s:
-komen la apa apa yang patut pasai sajak ni..sajak ala ala Pak AGI pun ada aku tgk..
-azree!! yang satu satu satu tu.. aku try buat macam sajak asal ko, tp tak jadi kat sini.. tak tau pasal ape.. sorry la bro
-faizal-

Bahan Untuk Dewan Siswa

Tinta mantan mpr 2006 pada 12/28/2006 01:12:00 AM

28 December 2006

Salam adik-adik sekalian,

Saya dapat panggilan telefon dari editor Dewan Siswa.
Khabarnya, beliau masih belum dapat bahan MPR untuk disiarkan dalam Dewan Siswa.

Ruangan yang masih kosong untuk diisi :

a) Pro dan Kontra
b) Cetusan Pendapat
c) Sekitar Siswa
d) Cerpen Untuk Siswa

Untuk ruangan a) dan b) - boleh masukkan pendapat adik-adik sekalian tentang MPR. Tak semestinya, kita dah lepas MPR tak boleh menulis tentang hal ini dalam majalah Dewan Siswa.

Untuk ruangan sekitar siswa, ini laporan aktiviti MPR. Mungkin boleh pilih satu slot yang menarik untuk diberikan tumpuan. Tak ada gambar pun tak ada sebab editor boleh rujuk pada jurugambar yang ikut kita sepanjang masa di PD dan DBPKL. Yang penting, hantar tulisannya dahulu.

Mohon kerjasama untuk tulis tentang perkara-perkara ini. Selain menulis, kita juga perlu belajar mempromosi diri dan juga aktiviti yang boleh menaikkan nama kita semua sebagai satu golongan. Biar bergerak maju seperti suatu gelombang.

Kalau tak ada yang menulis nanti, jangan jeles kalau setiap halaman Dewan Siswa dan Dewan Sastera semuanya nama Nisah Haron!

Sebarang maklumat mengenai Dewan Siswa, sila hubungi editor, Puan Zaiton Abu Samah 03-2148 2264
emel : zaiton@dbp.gov.my atau zas612001@yahoo.com

Hubungi editor tak jadi hal, ini untuk membina hubungan yang baik. Dalam pada itu, kena rajin menulis. Barulah mereka tak ada alasan untuk tidak melayan kita.

Jadi, tolong tulis. Pakat-pakatlah antara kalian, supaya tidak bertindan dan semuanya dapat disiarkan.

Satu lagi, editor Dewan Kosmik juga ada hubungi saya minta cerpen sains fiksyen - ertinya, mereka juga tak cukup bahan. Kepada yang berminat untuk menulis karya sains fiksyen - tolonglah hantar. Kalau tidak nanti, nama Nisah Haron akan berada di Dewan Sastera, Dewan Siswa, Dewan Kosmik - itu belum campur Dewan Masyarakat untuk ruangan undang-undang. Nanti korang jugak yang jeles lagi.

Jadi, tolong tulis. Pakat-pakatlah antara kalian, supaya tidak bertindan dan semuanya dapat disiarkan.

p/s : panjangkan juga kepada rakan-rakan yang mungkin tiada akses kepada internet.

--
ikhlas,
Nisah Hj Haron
www.nisah.cjb.net
www.ujanailmu.com.my

Sastera dan derita saudara kita

Tinta mantan mpr 2006 pada 12/27/2006 08:49:00 AM

27 December 2006

Ditaip pada waktu pagi oleh : Faizal

Sesungguhnya kita ini di hujung usia dunia yang semakin hari semakin tua. Bercakap tentang negara yang sudah hampir setengah abad merdeka, saya bukanlah orang yang layak, tetapi saya tidak mahu jadi manusia celaka yang tidak mengenang budi. Lalu tanyalah diri sendiri jika selama ini dan hari ini kita bersyukur dengan apa yang kita ada jika hendak kita bandingkan dengan saudara - saudara kita di sana yang sedang derita dan sengsara. Saya dan kita semua memang tidak mampu menangis melihat derita dan sengsara mereka, tetapi apa salahnya jika kita dapat merasai sedikit tempias kepayahan dan kesusahan yang mahu tidak mahu terpaksa juga mereka harungi.

Cukuplah kita melihat senario Palestin dan Lubnan sebab kita (sesiapa yang lahir selepas merdeka dan tragedi 13 mei )tidak pernah melalui peristiwa berdarah seperti yang terjadi di Palestin dan Lubnan mahupun 13 Mei yang harapnya tidak berulang lagi. (jika berulang, bersediakah kita?Bolehkah kita diharap menjaga maruah bangsa dan agama?)

Sahabat - sahabat yang dirahmati Ilahi,
Kita ini hijau dalam alam sastera (mentor - mentor taklah, mentor - mentor semua hebat belaka), dalam pada kita berkarya, apa salahnya jika kita aktif bersuara bercerita tentang derita saudara-saudara kita di sana.Bangkitkan kesedaran dikalangan rakyat Malaysia betapa saudara-saudara seagama di sana berharap pada kita sekurang - kurangnya melalui doa - doa kita,maka karya - karya kita juga boleh menjadi sebahagian daripada doa - doa kita.

Sahabat - sabahat yang dimuliakan,
Kita semua sedia maklum, Islamnya kita bermakna kita ini saudara kepada orang Islam yang lain, tidak kiralah di mana mereka menetap, berapa usia mereka, apa status mereka.Islam pada nama sahaja tidak cukup, maka iman dan taqwalah yang akan mengukuhkan lagi persaudaraan kita. Secara jujur, saya terkesan dengan perjuangan Hamas dan Hizbullah, jika sahabat-sahabat ada kesempatan boleh cuba dapatkan sebuah buku bertajuk "HAMAS, Daripada Underground Kepada Parti Pemerintah". Betapa perjuangan atas nama Allah dan Rasul menjadi landasan utama dan betapa dengan pendirian tidak sekali - kali mengiktiraf Israel. Ini perjuangan mereka dan perjuangan kita juga, dan InsyaAllah dapatlah kita salurkan suara perjuangan ini melalui puisi - puisi dan prosa - prosa yang kita hasilkan.

Sahabat - sahabat budiman,
Saya bukan yang terbaik untuk berbicara tentang maruah agama,bangsa dan negara. Cuma dengan sedikit rasa yang tersimpan, apa yang saya perkatakan di atas adalah secangkir pengetahuan yang saya ada untuk saya kongsi bersama - sama sahabat sekalian. Moga-moga karya-karya kita bakal jadi amal jariah, InsyaAllah.

MAKLUMAN

Tinta mantan mpr 2006 pada 12/25/2006 08:50:00 PM

25 December 2006

-taipan papan kekunci laptop Faizal-

Alhamdulillah, saya mewakili moderator blog MPR, mantan - mantan MPR 06, para mentor yang terlalu banyak berjasa, memanjat setinggi - tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana setakat ini blog MPR 06 berjalan dengan aktif, semakin banyak entri dan shoutbox bertambah - tambah aktif.

Terbaru :

1 - Cerpen oleh MF Kencana
2 - Artikel - artikel yang bagus dibaca kiriman Kak Nisah
3 - Aktiviti hilangkan tekanan rekaan Kak Rai
4 - Dua entri oleh Fieda (warkah Fieda, pemberitahuan terkini )

p/s: perghhh.. tak senang jugak nak menguruskan blog bersama ni.. sementara saya cuti ni,okla, kalau dah start kuliah nanti.. tak tau la macam mana.. harap harap dpt luangkan masa untuk menulis dan menguruskan blog tersayang ni (blog sendiri pun dah terabai sikit)

Pemberitahuan Terkini

Tinta mantan mpr 2006 pada 12/25/2006 08:48:00 PM

Kepada semua mantan-mantan MPR 2006 mahupun sesiapa sahaja yang membaca blog ini yang berminat untuk menyaksikan satu persembahan teater muzikal (Muzikal Kesuma), bolehlah datang beramai-ramai ke Panggung Eksperimen (ET) Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) pada 5 Januari – 9 Januari 2007 (pilihlah mana-mana satu tarikh yang sesuai). Persembahan akan berlangsung pada jam 8.30 malam. Bayaran tiket dikenakan sebanyak RM 10 kepada dewasa dan RM 5 kepada pelajar.


P/S: Insya-Allah untuk mantan-mantan MPR yang berminat, Fieda akan cuba dapatkan tiket percuma (kalau dapat—jangan mengharap ).



Oleh: Fieda (ASWARA)

Warkah Fieda

Tinta mantan mpr 2006 pada 12/25/2006 08:39:00 PM

Coretan rasa,
Fieda (ASWARA)


Assalamualaikum semua,

Sebelum Fieda berceloteh dengan lebih lanjut lagi, Fieda nak ucapkan tahniah kepada saudara Faizal yang mana telah bertungkus lumus untuk menjayakan blog khas buat mantan-mantan MPR 2006. Tahniah!!! (dah macam nak ambil awards pula hehehe...). Nampaknya beban saudara Faizal akan bertambah ringan bila dibantu oleh saudara Amli dan saudari Yana untuk menjayakan blog khas MPR yang seterusnya.

Setelah hampir seminggu kita pulang dari Minggu Penulis Remaja, macam mana? Dah ada yang mula berkarya? Fieda pasti sudah ada di antara kita sekarang ini sudah sibuk mencari pelbagai bahan untuk dimuatkan dalam karya anda semua. Sibuk menanyakan karya pula. Sepatutnya tanyalah sihat ke? Apa ke? Okey-okey, macam mana semua, sihat? Fieda harap semuanya dalam keadaan stabil. Jangan pula sampai tak lalu makan duk memikirkan idea-idea karya hehehe…

Sebenarnya tak ada sebab yang penting pun nak tulis di sini, cuma… nak minta jasa baik rakan-rakan yang pintar-pintar ni memberi sedikit cadangan mahupun komen tentang apa yang sarat di kepala otak Fieda ni. Dah tak tahu nak keluarkan macam mana. Dah beku agaknya .

Fieda berhajat untuk membuat sebuah novel remaja yang berkisarkan tentang seorang remaja perempuan yang tidak betah duduk di kampung. Namun, di atas sebab-sebab tertentu, dia terpaksa duduk di kampung sehinggalah dia mula kenal apa itu kedamaian yang tersembunyi di sebalik kesunyian kampung itu. Yang menjadi masalahnya di sini, Fieda seakan-akan terikut-ikut rentak novel popular yang mana sebelum ini Fieda buat (dah selesai dan terpaksa membatalkan niat untuk diterbitkan).

Fieda dah dapat apa motif utama yang Fieda ingin sampaikan kepada pembaca. Tapi… apabila dibaca kembali, apa yang digarapkan seolah-olah membaca novel popular (mungkin penggunaan bahasa). Dengan itu, sukacita dimaklumkan bahawa Fieda berharap dan sangat memerlukan pandangan dan juga komen-komen rakan-rakan sekalian. Kalau para mentor terbaca apa yang diluahkan ini, para mentor juga dialu-alukan untuk memberi pandangan.

Rasanya ini sahaja yang nak disamapaikan. Nanti kalau berceloteh lama-lama, tak ada space untuk orang lain pula hehehe… bila agaknya kita akan berkumpul kembali. Bertukar pengalaman dan juga pendapat. Semoga alam maya ini dapat mengeratkan lagi silaturahim antara kita. Wassalam.

Mari Menulis Dialog

Tinta mantan mpr 2006 pada 12/25/2006 08:26:00 PM

Aktiviti menghilang tekanan oleh : Kak Rai

Salam mentor protege,

Untuk menghilangkan tekanan dan pening berkarya (bukan menghilangkan karya tau!), jemputlah menajamkan kreativiti. Ni ada gambar 5 orang mentor yang cantik rupawan bak cendawan . Create satu bubble talk untuk setiap mentor. Ala-ala mengisi dialog/katabual terbaik la. Saja seronok-seronok. Takda hadiah disediakan. Kalau ada, mungkin majalah Intrend percuma satu. Hehehe...

Image Hosted by ImageShack.us

ARAHAN:
SILA KLIK LINK KOMEN DAN TULISKAN DIALOG REKAAN ANDA DI SITU ATAU ANDA BOLEH EMELKAN DIALOG KE mantanmpr06@yahoo.com, DAN DIALOG ANDA AKAN DIPAPARKAN OLEH MODERATOR KELAK..

Artikel-Artikel Yang Bagus Dibaca

Tinta mantan mpr 2006 pada 12/25/2006 08:19:00 PM

Salam semua sahabat penulis,

Kepada yang tidak berkesempatan mendapatkan akhbar Utusan Malaysia kerana dah habis diborong Santa Claus,
sila baca artikel berikut secara maya di Utusan Online :

Kudrat Arena Wati Berkarya - baca tentang bagaimana SN ini mempunyai stamina menulis walaupun usia sudah pun melangkaui 82 tahun. Arena Wati juga terkenal sebagai SN yang paling banyak menghasilkan trilogi dalam hayat penulisannya. Ada yang memanggilnya seorang sasterawan marathon - kerana sentiasa menulis.


Menjadi Penulis Buku Prolifik - Tulisan Jeniri Amir - penulis yang prolifik dan paling berdisiplin menghasilkan buku. Ketika sedang menyiapkan tesis PhD di Universiti Malaya, Jeniri masih sempat menghasilkan tidak kurang 3 buah buku. Belajar teknik-teknik ini daripada beliau.

Pak Samad Tiada Noktah Dalam Perjuangan Seni - Baca juga tentang Pak Samad yang sudah mencecah 72 tahun tetapi masih memperjuangkan hak-hak karyanya dan sekaligus memperjuangkan hak penulis yang lain. Tampil memperkatakan tentang buku-bukunya.

Sebagai penulis, kita perlu membaca. Tak kira apa wadahnya. Kalau malas nak baca online. Sila beli akhbarnya.



--
ikhlas,
Nisah Hj Haron
www.nisah.cjb.net
www.ujanailmu.com.my

Cerpen M.F Kencana sebagai bahan bacaan kenangan

Tinta mantan mpr 2006 pada 12/25/2006 08:12:00 PM

KATAK DALAM TEMPURUNG
Karya: Mohd Fairuz Padoli @ M.F Kencana
(Peserta MPR 2006)


Sedang alam hutan menghijau menghampar keindahan yang Esa, Tersebutlah

kisah di sebuah belukar hutan rimba, terdapat sebuah negara katak yang maju. Terdapat

kaum-kaum katak yang tinggal aman damai dengan keluarga mereka.

Kelihatan beberapa ekor katak hijau sedang melompat-lompat gembira

menari-nari diiringi muzik rancak terpekik dan terlolong seperti memanggil hujan.

Mereka terdiri dalam kumpulan katak Black Metal

yang digeruni oleh puak-puak katak yang lain kerana sering melakukan kekacauan.


Di atas rimbunan pokok pula, beberapa ekor syaitan tersenyum memerhatikan

katak-katak itu.


“Bodoh punya katak, ha…ha,” kata salah seekor syaitan itu yang bernama Sharon.

“Nanti kita rancang sesuatu nak kenakan katak-katak ni,” balas rakan syaitan itu

yang bernama Bush sambil diperhatikan oleh ketua mereka yang bernama Firaun.

Syaitan-syaitan itu bergayut-gayut didahan pokok. Wajahnya hodoh bengis bertaring dan

bertanduk panjang manakala ekornya panjang mencecah kaki.


“Yeh,yeah!” jerit katak hijau bernama Punk sedang melompat-lompat sambil

menghenjut-henjutkan badannya. Katak-kataknya yang lain juga sepertinya tidak tentu

hala melompat-lompat terumbang-ambing seperti dirasuk sesuatu.


Sedang asyik mereka menari-nari, tiba-tiba mereka terkejut berpandangan sama

sendiri kerana muzik tiba-tiba berhenti.
“Hei bodoh, apasal kau matikan muzik kami?” kata katak bernama Punk itu

dengan nada kasar memandang seekor katak berwarna hijau cair badan menggerutu yang

kelihatan tenang sahaja.

Sekumpulan katak yang di ketuai oleh katak hijau bernama Punk itu melompat-

lompat menuju ke arah katak berwarna hijau cair itu dengan perasaan marah.


“Apahal kau ganggu kami?” tanya katak bernama Punk dengan nada angkuh.

“Saya tak ganggu kamu. Cuma kamu yang ganggu saya dan keluarga saya. Kamu

memekak macam katak gila tak tentu arah mengganggu anak dan isteri saya dirumah,”

balas katak berwarna hijau cair berbadan menggerutu itu.


“Tak guna kau, memang nak kena ni!” kata katak Punk yang cuba hendak

menerkamnya.

Tiba-tiba, sekumpulan katak dari kumpulan Nazi dan SkinHead datang ke arah

mereka.

“Apa ni kecoh-kecoh, dah kau pergi balik!” kata katak bernama Nazi kepada

katak berwarna hijau cair berbadan menggerutu.

Dia hanya berdiam diri. Dia tidak mampu untuk melawan katak-katak samseng itu

dan berlalu pergi dengan raut wajah hampa.


“Hello geng, jom sambung muzik,” kata katak bernama Punk . Muzikpun

dimainkan semula. Ketiga-tiga kumpulan katak yang diketuai oleh Punk Nazi dan Skin

Head ini menari-nari dengan rancak. Mereka leka berjoget dengan tarian muzik yang

mengasyikkan. Tiga ekor syaitan yang bergayut di atas pokok itu pula berbisik sama

sendiri hendak melancarkan sesuatu.
“Aturkan strategi,” bisik Sharon kepada Bush sambil diperhatikan oleh Firaun.

Syaitan bertiga itu melompat terjun dari atas pokok menuju ke arah tiga kumpulan

katak-katak samseng itu. Mereka terkejut melihat lembaga aneh bertanduk dan berekor

dengan wajah mengerikan tiba-tiba muncul dicelah-celah mereka.


“Siapa kau?” tanya katak bernama Punk sambil diperhatikan oleh Nazi dan Skin

Head. Mereka pelik melihat lembaga aneh bertanduk dan berekor itu.

“Akulah syaitan atau iblis. Kita boleh jadi sahabat?”

“Untuk apa kita bersahabat?”

“Untuk berhibur sama-sama. Kami akan buat anda semua menjadi seronok

berhibur,” kata Sharon

“Macammana tu?” tanya ketua kumpulan katak bernama Nazi ingin keterang

lanjut.

“Sebentar ya,” pinta syaitan bernama Bush.

Ketiga-tiga ekor syaitan itu meninggalkan kumpulan katak-katak tersebut.

Mereka pergi mencari tempayan besar kemudian dibawanya tempayan itu kepada

kumpulan katak-katak samseng itu.

Kesemua katak-katak itu hairan melihat syaitan-syaitan membawa tempayan

besar . Syaitan-syaitan itu berdiri mengelilingi tempayan itu dan membuang air kencing

di dalam tempayanperlahan-lahan. Selepas selesai membuang air kencing di dalam

tempayan, syaitan-syaitan itu tersenyum sambil memandang katak-katak yang tercengang

melihat kelakukan aneh mereka.

“Buat apa ni?” tanya Nazi

“Inilah air hikmat. Air kencing kami yang berkhasiat membuatkan anda semua

keseronokan berhibur,” jelas Bush

“Ya, jika kamu minum air kencing kami, diri kamu dan badan kamu akan cergas.

Kamu akan mempunyai banyak tenaga untuk berhibur dan menari,” sambung Firaun

“Betul ke ada tenaga hikmat ni?” Skin Head ragu-ragu.

“Cubalah. Air kencing kami memang ada hikmat untuk memberikan kamu semua

tenaga yang lebih banyak. Cubalah dulu. Kami beri percuma tak payah bayar,” terang

Sharon pula.

Dengan bodoh dan lurus bendulnya, katak-katak samseng ini menurut kehendak

syaitan-syaitan itu. Seekor demi seekor katak-katak itu meminum air kencing syaitan

Bush, Sharon dan Firaun.

Setelah selesai, kesemua katak-katak bodoh itu terhuyung-hayang tidak sedarkan

diri. Mereka mabuk dan seronok kegembiraan yang tidak pernah dikecapi selama ini dan

mengucapkan terimakasih kepada syaitan-syaitan itu.

“Bagaimana, seronok?” tanya Bush kepada katak-katak yang sedang mabuk itu.

“Ya, kami seronok sangat. Kami rasa dunia ini kami yang punya,. Ha…ha…,

ayuh kawan-kawan mari kita berhibur.”

Kesemua katak-katak itu seronok melompat-lompat riang kegembiraan sedang

tiga ekor syaitan durjana itu ketawa terbahak-bahak melihat kebodohan katak-katak yang

termakan dengan tipu daya mereka.

Tidak lama kemudian, katak-katak tersebut kepenatan dan berhenti rehat sejanak.

Mereka lemah dan mabuk. Fikiran mereka berputar ligat Kemudian, tiga ekor syaitan itu

datang kepada mereka semula untuk berkata sesuatu.

Syaitan-syaitan itu kemudiannya menyuruh semua katak-katak yang mabuk itu

menambahkan lagi tenaga mereka dengan meminum lebih banyak lagi air kencing

syaitan.
Tanpa membantah, kesemua katak-katak bodoh itu yang diketuai oleh kumpulan

Punk, Nazi dan Skin Head menurut kehendak syaitan-syaitan itu. Bush, Sharon dan

Firaun ketawa berdekah-dekah melihat rancangan mereka berjalan lancar.

“Ya katak-katak sekalian, sekarang dunia ni kita yang punya. Buatlah apa sahaja

yang kamu suka. Mari kita berhibur,” kata Bush menghasut katak-katak itu

Katak-katak yang semakin mabuk itu merusuh tidak tentu hala memusnahkan

kehidupan rimba katak. Seluruh kampung katak seperti dilanda bencana apabila

sekumpulan katak-katak mabuk ini seperti mengamuk-ngamuk memusnahkan harta

benda awam. Habis tunggang langgang penduduk setempat rimba katak

Katak-katak lain yang tidak bersalah menjadi mangsa mereka. Lebih

menyedihkan, anak-anak katak penduduk rimba itu ada yang melompat-lompat menangis

kesedihan melihat rumah merka musnah diserang katak-katak samseng. Sekumpulan

katak-katak mabuk ini kemudiannya menuju ke arah sungai berhampiran menurut

kemahuan syaitan-syaitan.

Ketiga-tiga ekor syaitan itu dengan mendabik dada seronok melihat rancangan

mereka menganiaya katak-katak tersebut berjalan lancar dan sedang mengaturkan

strategi seterusnya.

Di lembah sungai itu, terdapat sebuah perkampungan ular yang diketuai oleh ular

Sawa dan beberapa pemimpinnya yang lain seperti ular tedung dan sebagainya.

Kebetulan pada hari itu merupakan hari cuti bagi masyarakat ular kerana menyambut

ulang tahun raja ular iaitu ular Sawa. Jadi, mereka hendak mengadakan jamuan ringkas.

Ketiga-tiga ekor syaitan itu menyuruh semua katak-katak samseng yang mabuk

itu berkumpul di permukaan air sungai. Mereka menyuruh katak-katak itu berlumba

berenang seperti `merempit` untuk menunjukkan kehebatan mereka siapa diantara

mereka yang handal akan menjadi juara.

Katak-katak itu seronok dengan cadangan syaitan-syaitan itu. Kesemua katak-

katak itu bersedia di garisan permulaan untuk `merempit` menuju ke garisan penamat.

Syaitan bernama Bush itu meniup wisel dan katak-katak tersebut mula berenang

memecut kelajuan masing masing menuju ke garisan penamat. Masing-masing seronok

berenang-renang tanpa memikirkan malapetaka yang akan berlaku kepada mereka

beberapa detik lagi.

Ketika mereka hampir ke garisan penamat, kesemua ular-ular daripada

perkampungan ular di ketuai oleh ular Sawa, ular Tedung dan puak-puai ular yang lain

menyerbu katak-katak mabuk itu.

Katak-katak itu cemas dan lintang pukang melompat-lompat di permukaan air

untuk menyelamtkan diri. Kebanyakan daripada mereka ditangkap oleh ular-ular sebelum

dijadikan makanan untuk jamuan hari ulang tahun raja ular iaitu ular Sawa.

Kesemua katak-katak itu menjadi makanan kaum ular keceuali tiga ekor katak

iaitu Punk, Nazi dan Skin Head yang terselamat dengan melompat ke tebing sungai.

Mereka bertiga merupakan ketua kumpulan setiap katak-katak tersebut.

“Mujurlah kita selamat. Tak guna punya syaitan. Habis kawan-kawan kita mati

menjadi makanan ular.” keluh katak bernama Punk sambil diperhatikan oleh rakannya

Nazi dan Skin Head

Sambil itu ketiga-tiga ekor syaitan itu bergayut di dahan pokok memanggil-

manggil dengan mengejek katak-katak malang itu.

“Oi, katak bodoh! Sedap minum air kencing kami? Ha…ha… Kamu masih belum

selamat. Lihat sana,” kata Syaitan bernama Sharon menunjukkan ekornya ke arah

sekumpulan katak-katak yang terdiri daripada penduduk rimba katak yang musnah akibat

perbuatan katak-katak samseng itu.

Katak-katak Punk, Nazi dan Skin Head itu terkejut menggigil ketakutan. Mereka

sudah tidak ada jalan lagi untuk melarikan diri.

Penduduk rimba katak itu menangkap katak-katak samseng itu dan

menyerahkannya kepada pihak berkuasa katak untuk tindakan undang-undang.

Ketiga-tiga ekor katak itu dibawa kemuka pengadilan untuk tindakan lanjut. Oleh

kerana kesalahan mereka merusuh dan memusnahkan rimba katak-katak, mereka

dipenjarakan seumur hidup di dalam penjara tempurung sebagai pengajaran.

Selepas selesai pembicaraan, pihak mahkhamah katak dengan itu

menguatkuasakan hukuman penjara di dalam penjara tempurung pada hari itu juga.

Warden penjara memasukkan katak-katak tersebut didalam tempurung besar.

Katak-katak tersebut terkurung dipenjara tempurug itu sepanjang hayat mereka.

Ketiga-tiga ekor syaitan itu iaitu Bush, Sharon dan Firaun ketawa terbahak-bahak di jeriji

besi penjara tempurung sambil diperhatikan oleh katak-katak malang itu dengan raut

wajah sayu.

Ketika ini, penduduk kampung ular sedang meriah meraikan ulang tahun raja ular

dengan menjadikan katak-katak sebagai sajian istimewa mereka. Demikianlah epik katak

dalam rimba katak. Gara-gara terpedaya dengan tipudaya syaitan, katak-katak samseng

ini telah dopenjarakan seuumur hidup di dalam tempurung manakala rakan-rakannya

yang lain telah mati menjadi sajian jamuan ular.


p/s:maaf tak diperelok paparan entri ini, moderator sedikit malas . -Faizal-

Komentar Kak Rai ke atas Sajak - sajak Saufi

Tinta mantan mpr 2006 pada 12/24/2006 12:20:00 AM

24 December 2006

Wajah Hayatmu Bioteknologi

Kita perlu membaca kembali kitaran cantuman benih hayat
saat terciptanya wajah tumbuhan,
yang mendesak untuk menjadi makanan:
tak perlu lagi kita menjahit rongga tulang empat kerat
tak perlu lagi kita melabuhkan ‘PARAQUET’ yang bahaya,
kita hanya perlukan segumpal kurnian akal fikiran
anugerah Tuhan,
kita hanya perlu merobek segala rahsia hayat
yang kausembunyikan di dasar hakiki
Segala teka-tekimu tidak ada persoalan yang dilemparkan (apa ni?)
hanya benak mampu merungkai segala persoalan
bagaikan pungguk rindukan kehadiran bulan,
tika minda kecilku menjadi gumpalan sabut yang tidak mampu
kuungkapkan dengan secebis kata-kata,
di paradikma dunia
lahirnya kau meleraikan gulungan benang di minda sempitku.
dan itulah kau bioteknologi,
Bioteknologi,
hadirmu melakar taburan emas di lautan luas,
dirimu merungkai nyawa yang tidak tercantas dari denyutanmu
memberi ‘BETA-COROTENE’, memberi ‘VITAMIN’ di awal huruf
yang boleh dicanai oleh kudrat kewarasan pemberian Tuhan
untuk menggeledah rahsia yang terselindung di dalamnya, (rahsia memang terselindung, cek!)
Masih kukenal akan Ibnu Sina,
yang hanya menggeledah insani dunia hakiki,(banyak sangat ulang hakiki ni)
terciptanya ‘INSULIN’ bagai malam berganti siang
tika insan insan leka diulik (diulit?) mimpi yang indah,
tapi,
kau wujud di dunia fana untuk mencabar kekuasan yang Maha Esa,
dari sedikit DNA,
dari sedikit GEN-GEN,
dari sedikit KROMOSOM,
kau wujudkan ‘GLISIN’, ‘GUANINA’, ‘TIMINA’, ‘ADENIA’
untuk mencongak lingkaran ‘HELIKS DUDEL’
yang nampak dari secebis ‘NUKLUES’ kau serukan ‘GENOM’
untuk kau jadikan DOLLY yang melawan hakiki Maha Esa,
dan itulah kau bioteknologi,
Hayatmu beronak bak pantai menghempas badai
takkala lamunan yang tiada bait pengertian,
kau bagaikan merona air masin terbentang saujana
dan itulah wajah hayatmu bioteknologi,

Mohd Saufi Othman. 04 oktober 2005

Ulasan yang tulus ikhlas.Harap terima dengan lapang dada, minda terbuka.Sajak ni isunya bagus dan nampaknya cek memahami isu. Penyampaiannya pun tak terlalu kaku bak formula sains. Cuma ada beberapa bahagian yang perlu diadjust…

Baris 6 dan 7-‘kurniaan’ dan ‘anugerah’ tu sama je maknanya. Kalau diulang pun tak memberi kesan pada sajak. Baris 8 – ‘merobek segala rahsia’; kalau boleh tukar perkataan merobek tu. Konotasinya negatif, macam nak menghancurkan. Mungkin boleh guna ‘membongkar’, ‘menggali’ atau ‘menelusuri’. Cadangan je la. Baris ‘pungguk rindukan bulan’ tu macam satu kejutan dalam sajak ni. Memang sajak cek ni nak bercerita tentang sesuatu yang mustahil tapi rasanya perumpamaan ‘pungguk dan bulan’ ni macam kurang sesuai untuk topic yang dipilih. Mungkin boleh cipta perumpamaan lain.

‘Gumpalan sabut yang tidak mampu kuungkapkan’- nape tak ‘kuleraikan’ atau ‘kurungkaikan’? Sebab ‘sabut yang bergumpal’ tak boleh ‘diungkapkan’. ‘Hayatmu beronak’ atau ‘berombak’? Sebab ayat seterusnya cek pilih imej pantai. Pantai pulak tak boleh ‘menghempas badai’,cek! Badai yg boleh menghempas pantai tu. Pantai kan dok kat tepi, tunggu ja apa nak jadi kat dia!



SETITIS TANGISAN DARAH

Saat mentari melabuh sepi,
keluh kesahmu merangkak terang, (tenang?)
tika itu dirimu merucu ketakutan
yang bisa mencekik wanitamu,
Waktu merah menyala deras (nyala dan deras tak selari)
bersama-sama kolek bersuara derita, (metafora cantik!)
Apabila hati dirodok bengis,
terapung kau antara derita bersama bahagia
terapung kau antara mimpi dengan nyata,
Kautambatkan airmata luka dara sesepi kelapa muda,
tetapi dirimu tidak gusar bayu bencana dunia hakiki(ulang lagi hakiki ni!)
menjadi mudtadi mengejar bahagia.

Mohd Saufi B. Othman
Port Dickson

Tajuk sajak ni agak melankolik tapi akak tak berapa dapat lagi, siapakah ‘kau’ dalam sajak ni. Lelaki atau perempuan? Tua atau muda? Subjek sajak ni tak berapa jelas walaupun bernada sayu dan cuba memberi motivasi. Kalau boleh, elakkan juga memulakan sajak dengan ‘saat…’. Terus ceritakan gambaran alam tu kan ok! Contohnya ‘mentari melabuh sepi’. Baris kedua terakhir- ‘bayu bencana’ tu macam ironi. Bayu ni sesuatu yang lembut dan damai tapi digabungkan pula dengan bencana. Rasanya macam kurang sesuai melainkan sajak ni sajak absurd.

p/s:bila di"copy" dari emel.. takde pulak bold dengan italic nya.. kena la aku edit balik.. siot jugak blogger.com ni. Sajak - sajak aku yang kena tenyeh pun aku belum letak lagi, coming soon -Faizal-

Pantun Penghulu

Tinta mantan mpr 2006 pada 12/23/2006 05:03:00 AM

23 December 2006

PANTUN UNTUK MPR 2006.

MASAK GULAI BERSAMA PENGAT,
RESIPI ISTANA BERABAD DAHULU,
TEMPAT JATUH LAGIKAN DIINGAT,
INIKAN PULA TEMPAT BERGURU.

SESEGAR NAILOFAR BUKU TERLARIS,
RONA BOSPORUS TAK JEMU DIBACA,
TAKKAN MUNGKIN RANTAIAN TERHAKIS,
MEMORI TERSEMAT ABADI SELAMANYA.

DATANG ANYYSS DARI KAYANGAN,
STREN DATANG MEMBUAT CELARU,
WALAU JAUH DARI PANDANGAN,
SMS ADA MESEJLAH SELALU.

ZURINAH HASSAN PENULIS TERBILANG,
RAIHANI SAAID SI NAKAL YANG SATU,
TAKKAN KENANGAN BISA MENGHILANG,
ANDAI UKHWAH DISUBUR SELALU.


PESANAN: PANTUN DI ATAS HANYA REKAAN SAHAJA. TIADA KAITAN
DENGAN SESIAPA PUN ( KALAU RASA-RASA MACAM ADA PUN
TAU-TAU SENDIRI LA
YE) :-)

CORETAN IKHLAS:
ZULFAZLAN JUMRAH

Pantun Untuk Adik-Adik Protege

Tinta mantan mpr 2006 pada 12/22/2006 11:02:00 PM

22 December 2006

Salam Mentor Protege,

Ke Daik ke Bangkahulu
surat berkajang sebanyak kertas
fikiran baik tak datang selalu
ibarat kijang jarang melintas.


Ke Daik ke Bangkahulu
perahu bota layar-layarkan
fikiran baik tak datang selalu
mari kita tukar-tukarkan.

(Pantun-pantun ciptaan Raihani Mohd.Saaid)

Haa sapa boleh jawab, akan dibelanja ABC!Sapa boleh ulas pun akan dibelanja juga.

Penulis - Penulis MPR 2006 Diperlukan

Tinta mantan mpr 2006 pada 12/21/2006 07:12:00 PM

21 December 2006

-Maklumat Penting Daripada Kak Nisah-

Salam webmaster,

Tolong uar-uarkan di blog MPR: Dewan Sastera dan Dewan Siswa mahukan satu tulisan pendek - sekitar 2 - 3 halaman A4 langkau 2 baris - tentang respons, maklum balas, harapan dan catatan tentang MPR 2006. Tulisan mestilah segera. Minggu depan hari isnin mesti dah siap. Boleh emel terus pada :

rozninah@dbp.gov.my (Puan Rozninah - Editor Dewan Sastera) atau

zaiton@dbp.gov.my (Puan Zaiton Abu Samah - Editor Dewan Siswa)

Yang mana dah tulis di blog tu pun kira ok. Boleh disesuaikan sedikit untuk tujuan siaran dalam majalah. Adik-adik tentu sahaja tahu laras bahasa yang bagaimana sesuai untuk majalah-majalah tersebut bukan. Ini tak perlu nak tugaskan sesiapa ya. Barang siapa yang rasa terpanggil untuk menulis, silakan.

Royalti dengan bahagian majalah ni agak lumayan. Dan ini juga satu bentuk permulaan untuk membina nama di majalah-majalah DBP.

Jangan lambat sangat. Ini untuk terbitan Februari 2007. Ingat ya, majalah bekerja sekurang-kurangnya 2 bulan lebih awal daripada bulan terbitan.


--
ikhlas,
Nisah Hj Haron
www.nisah.cjb.net
www.ujanailmu.com.my

Ucapan Tok Penghulu

Tinta mantan mpr 2006 pada 12/21/2006 03:45:00 PM

Assalamualaikum rakan-rakan sekalian.

Alhamdulillah.Buat pertama kalinya tok penghulu ingin memberikan ucapan di dalam blog ini. Seiring dengan kemajuan teknologi masa kini, maka kita tidak seharusnya ketinggalan untuk sama-sama memanfaatkan kemudahan yang ada.

Kita seharusnya berbangga kerana dengan limpahan kemajuan yang diterokai negara, kita dapat berhubung antara satu sama lain dengan mudah, cepat, murah dan efisyen. Saya selaku mantan tok penghulu MPR 2006, ingin melahirkan rasa gembira yang tidak terhingga kerana berkat usaha kita bersama, kita dapat mewujudkan blog kita sendiri. Kalungan icapan terima kasih ini tidak salah sekiranya saya tujukan lebih2 lagi kepada faizal, amli & yana yang bertindak selaku jentera kita. Semoga kalian bertiga dapat terus menyumbang bakti buat kebajikan kita semua. Saya juga berharap agar rakan-rakan yang lain terus memberi sokongan kepada blog kita ini, demi memastikan usaha ini bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.

Akhir kata dari saya, semoga kita dapat bernafas pada udara yang sama, meski bermimpi menggapai kartika dengan cara berbeza. Semoga kita bertemu lagi di lain bicara. Sekian, terima kasih.

Perutusan Maya,

ZULFAZLAN JUMRAH
PENGHULU MPR 2006.

Mari Teka..

Tinta mantan mpr 2006 pada 12/21/2006 03:04:00 PM

-poll dibuka dan ditutup oleh Faizal -
Peraduan Sudah Ditutup

Image Hosted by ImageShack.us

Gambar Ehsan Kak Nisah Hj. Haron


Cuba teka belakang siapakah ini?


JAWAPANNYA : AZREE...


p/s : tiada hadiah bagi mereka yang meneka dengan betul.. kalau nak hadiah, silalah berkarya dan hantar ke Dewan Sastera, hadiah berupa wang tunai menanti anda..

Di sihir cinta ' Tunggu Teduh Dulu'

Tinta mantan mpr 2006 pada 12/21/2006 01:40:00 PM

oleh : ainunL muaiyanah


Kata salsabila Fahim, ini cerita kecil, cerita sederhana, tentang dia lari berteduh di bangsal di puncak bukit bersama Kamil dan Lam Ping Hai ketika hujan mula gerimis.
Kata aku, ini perkara besar , hal berteduh sementara duga datang mencuba bukan hal main-main.
Kata Teh Sofia, ya, kerja Tuhan siapa tahu ?
Kata aku, Tuhan akan menunjukkan kepada yang mencari. Ya, asal kau mahu mencari, Dia menunjukkan.
Apa kata kau ?

Saya baru usai membaca novel ini. Pembacaan 2 hari tanpa henti (berhenti apabila kuliah bermula atau untuk makan, solat serta kerja MPP) memang mengujakan. Ditambah pula irama nyanyian hujan musim tengkujuh seolah-olah menjadi irama iringan. Malah lebih berjiwa untuk terus membaca. Sesuai sangatlah membaca novel ini sangat musim tengkujuh ini.

Saya tak pandai memberi komen secara intelektual. Sekadar melontarkan pandangan peribadi sebagai pembaca. Menyusuri novel Abang Faisal kali ini seakan berlainan pula rentak bahasanya. Lebih mesra dan dekat di jiwa. Mungkin kerana penggunaan kata ganti diri pertama yang lebih halus makna dan sifatnya ataupun nada bahasanya tidak terlalu tegas dan seakan penuh penentangan seperti Perempuan Politikus Melayu.

Saya suka benar pada keseluruhan penghasilan buku ini. Muka depannya yang sederhana tetapi membawa pelbagai maksud, kertas yang di gunakan (teringat zaman sekolah rendah, kalau masa exam mesti guna kertas jenis itu). Keseluruhannya, bentuk buku seperti Tunggu Teduh Dahulu amat saya gemari.

Tunggu Teduh Dulu memberi semangat kepada saya untuk menjadi petani moden seperti Salsabila Fahim. Lagipun semenjak di semester pertama lagi , saya sudah merencana impian untuk membangunkan tanah pusaka abah di kampung. Benar, sesuatu karya sastera yang besar bisa merencana pemikiran kreatif dan kreatif.

Kepada semua mantan MPR06, bacalah dengan jiwa. Tak rugi melaburkan RM50 untuk menjadikan buku ini salah satu koleksi khutub khanah kita (meminjam ayat Cikgu Sudin). Bahasa abang Faisal untuk novel ini sangat romantis tetapi terkawal.

Apa guna pasang pelita
Jika tidak dengan sumbunya
Apa guna berpandang mata
Jika tidak dengan sungguhnya

Selembar bicara buat mantan mantan MPR 2006

Tinta mantan mpr 2006 pada 12/20/2006 03:34:00 PM

20 December 2006

coret coret pena Faizal

Sekali lagi dipanjatkan syukur ke hadrat Ilahi, blog mpr 2006 ni pun dah ada cuma nak memastikan blog ini dapat bergerak aktif mungkin memerlukan sedikit masa. Bukan semua mantan - mantan mpr mempunyai banyak masa untuk menghasilkan tulisan - tulisan atau coretan - coretan untuk diletakkan di blog ini. Di tambah dengan kekangan masa sebagai pelajar dan pelbagai kekangan lain, sudah tentu blog ini perlukan ruang untuk bernafas dengan baik.

Walau bagaimanapun, sebagai orang yang diamanahkan untuk menyelia blog ini, saya amat berharap rakan - rakan mantan mpr 2006 yang lain dapat meluangkan sedikit masa menulis untuk blog ini. Diingatkan sekali, segala tulisan rakan - rakan untuk blog mesti diemelkan terus ke mantanmpr06@yahoo.com kerana moderator - moderator blog akan periksa emel berkenaan sekerap mungkin dan tulisan - tulisan itu akan diletakkan di blog ini oleh moderator.

Buat masa sekarang memang saya ada banyak masa menulis untuk blog ini sebab cuti tak habis lagi. Jadi kepada rakan - rakan mantan yang punya akses internet yang baik, rajin - rajinkan hantar tulisan dan coretan anda ke emel yang telah disebut di atas untuk dipamerkan di blog kita ini.

Sekian buat kali ini.

foto

Tinta mantan mpr 2006 pada 12/19/2006 10:38:00 AM

19 December 2006

INILAH KAMI
belakang dari kiri: Amli, Azree, Faizal, Firdhaus, Fairuz,Saufi, Zulfadli, Shairazi
tengah dari kiri: Azma, Habsah, Nabiha, Fieda, Yana, Sal, Wani, Nissa', Hidayah, Zarina, Hafizah, Safi
depan: Izzah (kiri sekali), Fazlan (kanan sekali)

Mentor: Kak Rai (empat dari kiri), Kak Nisah (lima dari kiri), Abang@Ustaz Zaid (dua dari kanan), Abang Lutfi (tiga dari kanan)
tiada dalam gambar: Abang Shamsudin

bersama SN S.Othman Kelantan

FAQ Minggu Penulis Remaja

Tinta Nissa' Yusof pada 1/01/2006 07:50:00 PM

01 January 2006

disalin dari YahooGroup MPR

BILAKAH KELAB ALUMNI MPR DITUBUHKAN?
31 Mei 1997. Rasmi ditubuhkan sempena MPR yang berlangsung pada 25 Mei-1 Jun 1997. Dalam aturcara terakhir pada 31 Mei 1997 itu, dianjurkan seminar sehari di DBP bagi membincangkan “Pencapaian Penulisan Cereka dan Puisi MPR Satu Dekad – Arah dan Masa Depan” dan “Kelab Alumni MPR : Satu Realiti?”. Panelnya Prof. Madya Dr. Othman Puteh (UKM) dan Prof. Madya Rahman Shaari (UM), dan pengerusinya Tn. Hj. Hamdan Yahya (DBP). Beberapa mantan MPR yang hadir pada seminar tersebut telah dipilih sebagai jawatankuasa menerusi undian.

SIAPA AHLI-AHLINYA?
Semua peserta yang pernah menyertai MPR (sejak 1985) dan/atau pernah memenangi Hadiah Sastera Siswa (HSS) (sejak 1997) adalah automatik menjadi ahli kelab ini.

APA OBJEKTIFNYA?

  1. Menjana kelahiran penulis generasi baru dengan imej yang lebih dinamik, berilmu dan bersedia dengan cabaran alaf baru.
  2. Menggalakkan kewujudan penulis yang prolifik dan konsisten berkarya, seterusnya dapat menjadi pelapis masa hadapan sastera Melayu di Malaysia.
  3. Mendedahkan dan menggalakkan ahli kepada aktiviti dan persekitaran berkait sastera, penulisan kreatif, penerbitan dan cabang seni lain di peringkat setempat, serantau dan sejagat.
  4. Menjadi penampung pertemuan intelektual dan kreatif daripada semasa ke semasa.
  5. Menghimpunkan semua mantan MPR dan HSS di seluruh Malaysia dan menyatukan mereka di bawah satu organisasi yang aktif dan sistematik.

APA SLOGAN SENI KELAB ALUMNI MPR?
Sastera Sejagat Bermutu Berilmu.

APA MISINYA KELAB ALUMNI MPR?
Mewujudkan penulis generasi baru yang dinamik, berani berbeza, bercita-cita tinggi, bekerja keras menuju apresiasi dan pencapaian global, serentak sedar dan prihatin dengan akar negara-bangsa-agama sendiri.

APAKAH MPR?
MPR ialah program sistematik selama seminggu anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi melatih penulis remaja berbakat. Projek ‘anak angkat’ ini diilhamkan oleh beberapa pihak di DBP pada pertengahan 1980-an, termasuklah Datuk Johan Jaafar, En. Abdul Ahmad dan En. Ali Majod.

APA KAITAN HSS DENGAN MPR?
Hadiah Sastera Siswa (HSS) yang diasaskan oleh En. Abdul Ahmad (DBP) ini ialah suatu anugerah pengiktirafan bakat terhadap karya cerpen dan puisi yang tersiar menerusi majalah Dewan Siswa yang selama ini menjadi wadah pembaca/penulis remaja mengembangkan bakat dan kreativiti mereka. Anugerah yang ditaja oleh Bank rakyat ini dilancarkan Tuan Hj. Bujang Hj. Ulis, Timbalan Menteri Pelajaran di Balai Seminar DBP pada 12 November 1986.

SEJAK BILA MPR DIADAKAN?
MPR dijalankan sejak 13 September 1985 dengan nama Minggu Remaja (ditukar pada Minggu Penulis Remaja pada awal 90-an).

SIAPA YANG TERPILIH MENYERTAI MPR?
Kira-kira 25-30 penulis remaja pelbagai kaum yang berbakat yang berusia antara 15-23 tahun dipilih dari serata Malaysia.

BAGAIMANA MENYERTAI MPR?
  1. Berusia antara 15-23 tahun.
  2. Mempunyai sekurang-kurangnya satu karya yang pernah disiarkan di mana-mana media cetak.
  3. Jika karya belum disiarkan di mana-mana, pertimbangan boleh dibuat berdasarkan pertandingan menulis tertentu yang dimasuki, atau sokongan dan cadangan dari tokoh sastera tertentu atau persatuan penulis tertentu.
  4. Pernah memenangi Hadiah Sastera Siswa (HSS) yang dianjurkan menerusi majalah Dewan Siswa, atau pernah memenangi anugerah penulisan lain.
  5. Sedia memberi kersama jika diperlukan apabila menjadi ahli Kelab Alumni MPR.
  6. Menunjukkan minat mendalam dan komitmen berterusan terhadap sastera dan
  7. beriltizam mahu menjadi penulis berjaya.

APA OBJEKTIF MPR?
  1. Melahirkan penulis pelapis berbakat besar dengan memberi bimbingan dan pantauan berterusan dan terancang.
  2. Mengenal pasti penulis yang berpotensi untuk didedahkan dengan pengalaman penataran sastera di peringkat setempat, serantau dan sejagat.
  3. Menggalakkan penghasilan karya sastera bermutu.
  4. Menjadikannya sebagai program pengiktirafan bakat dan pencapaian bagi penulis pelapis.
  5. Mewujudkan barisan penulis generasi baru dengan imej lebih dinamik, agresif dan kreatif.

SIAPA PEMBIMBING BENGKEL PENULISAN MPR?
Pembimbing bengkel intensif cerpen dan puisi dikendali oleh para penulis berpengalaman dan/atau ahli akademik dalam bidang sastera yang berwibawa. Antaranya Prof. Madya Dr. Othman Puteh dan Prof. Madya Rahman Shaari.

APA PROGRAM LAIN DALAM MPR?
Peserta akan berpeluang mengenali DBP, para editor sastera di akhbar dan majalah berwibawa, berdialog dengan Sasterawan Negara, berkenalan dengan penulis mapan, diberi latihan menulis secara informal oleh mantan MPR menerusi kerja lapangan, didedahkan dengan dunia penulisa-penerbitan-seni, selain aktiviti-aktiviti lawatan sekitar Kuala Lumpur.

BERAPA RAMAI YANG PERNAH DILATIH DI BAWAH MPR?
Sejak 1985 hingga kini, terdapat kira-kira 350 penulis telah dilatih di bawah naungan MPR. Antaranya Zaen Kasturi, Hizairi Othman, Ahmad Patria Abdullah, Rahimidin Zahari, Faisal Tehrani, Lily Haslina Nasir, Rosie Haslinda Nasir, Shamsudin Othman, Tuan Faridah Syed Abdullah, Salina Ibrahim, Maharam Mamat, Shahriza Abdul Rahman, Amaruszatie Noor Rahim, Tan Bok Hoi, Nisah Hj. Harun, Uthaya Sankar SB, Siti Raihani Mohamed Saaid dan Ranofla Dianti Irwan.

APAKAH GENRE YANG DITULIS OLEH ‘GRADUAN’ MPR?
Kebanyakan mereka menulis cerpen dan puisi berdasarkan bengkel yang diikuti ketika MPR. Hingga kini terdapat hampir 100 karya mereka yang telah diterbitkan oleh DBP dan penerbit lain, berupa antologi cerpen dan puisi hasil tugasan setiap kali MPR berlangsung, antologi cerpen dan puisi bersama, kumpulan cerpen dan puisi persendirian. Malah mereka meluaskan horizon
penulisan dengan menulis novel, drama pentas, drama radio, drama televisyen, esei, ulasan/kritikan filem dan rencana.

APA ANUGERAH YANG PERNAH MEREKA MENANGI?
Antaranya ialah Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank, Hadiah Sastera Malayan Banking-DBP, Hadiah Drama Berunsur Islam anjuran DBP-JAKIM, Hadiah Cerpen Berunsur Islam anjuran BAHEIS, Hadiah Cerpen ESSO-GAPENA, Hadiah Cerpen Formula Malaysia, Trofi Samad Idris anjuran FINAS, Hadiah Rencana Terbaik anjuran Yayasan AIDS Malaysia dan banyak lagi.

APA KEISTIMEWAAN MENYERTAI MPR?
MPR program melatih penulis remaja paling sistematik di Malaysia dan telah mencapai usia lebih 10 tahun. Ramai penulis muda yang telah mencipta nama hari ini lahir dari program ini. Banyak karya mereka telah diterbitkan di DBP dan oleh penerbit lain. Menyertainya adalah pengalaman dan peluang eksklusif bagi mereka yang inginkan latihan dan pengetahuan segera dalam usaha menjadi penulis berjaya. Apabila anda menyertai MPR pula anda akan automatik menjadi ahli Kelab Alumni MPR yang aktif menjalankan pelbagai aktiviti.

APA SIGNIFIKAN MPR?
Kewujudan MPR menunjukkan iltizam murni dan serius DBP dalam memastikan kelangsungan sastera, terutamanya Kesusasteraan Melayu, khususnya dalam pembentukan bakat dan visi penulis di peringkat rebung. Program ini telah melahirkan banyak penulis pelapis, juga melahirkan banyak bahan bacaan bermutu. Seterusnya MPR dapat memperbanyakkan lagi bahan bacaan remaja yang lebih berkualiti dan bermaruah, selain membaiki dan memantapkan imej sastera remaja yang sering diperlekehkan. ‘Graduan’ MPR juga diharapkan akan terus
membesar dalam sastera umum. Lebih jauh lagi, iltizam penulis yang diwakili oleh MPR diharapkan dapat menampilkan suatu imej baru yang lebih segar dan positif terhadap gerakan dan misi penulis generasi baru.

Tentang

Tinta Nissa' Yusof pada 1/01/2006 07:48:00 PM

Minggu Penulis Remaja

MPR ialah program sistematik selama seminggu anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi melatih penulis remaja berbakat. Projek ‘anak angkat’ ini diilhamkan oleh beberapa pihak di DBP pada pertengahan 1980-an, termasuklah Datuk Johan Jaafar, En. Abdul Ahmad dan En. Ali Majod.

Minggu Penulis Remaja 2006

MPR 2006 adalah sesi MPR yang ke-21, disertai oleh 22 orang penulis remaja. Satu-satunya MPR yang dijalankan dengan konsep Mentor-Protege.


Rasional Logo Kelab Alumni MPR
(disediakan oleh Hizairi Othman, disalin dari YahooGroup)

Logo Kelab Alumni MPR mengaplikasi pendekatan ‘minimalist’, suatu aliran seni yang berpengaruh terutamanya dalam senibina. ‘Minimalist’ percayakan konsep ‘kurang itu lebih’ apabila segala sesuatu yang minima dimanfaat untuk menyerlahkan segala sesuatu yang rupa-rupanya lebih besar atau memberi impak maksima. Minimalist serentak menyenangi gaya moden, ringkas dan sederhana yang difikirkan sesuai untuk abad baru.

Konsep itu diwakili oleh sebongkah kiub sebagai refleksi penulis generasi baru mengutamakan pemikiran kreatif dan kritikal sebagai penanda skala kreativiti mereka. Sementara imej mata pula refleksi sudut pendangan dunia yang lebih luas dan multi persepsi, mentafsir dan menterjemah realiti dalam banyak sudut pandangan dan tidak menyempitkan fikiran dalam suatu tempurung pemikiran saja.

Seterusnya kombinasi kiub dan mata itu menampakkan hubungan simbiosis yang wujud dalam karya dan set mental pengkarya yang bernaung di bawah Kelab Alumni MPR ini. Penulis generasi baru tidak sahaja meminati dan mempraktikkan sastera saja tetapi juga beberapa cabang seni lain. Mereka juga percaya bahawa seni dan ilmu perlu disatukan guna memenuhi bentuk karya era baru. Dan sastera sebagai minat utama, tidak sahaja digauli sastera tempatan tetapi juga dijukstaposisi sastera nusantara dan sastera antarabangsa sebagai persediaan
menjadi warga sastera global dan penulis yang lebih cendekia dan kreatif.