Kritikan terhadap puisi “Merdekalah Hatiku” ini tercipta apabila saya diminta sendiri oleh penyair tersebut untuk membuat satu kritikan terhadap puisinya yang tersiar di Mingguan Malaysia pada 6 Jun 2009 melalui satu perbualan telefon yang panjang. Permintaan ini pada saya tidak lebih daripada satu inisiatif untuk memantapkan diri saya yang sedang berjinak-jinak dengan dunia kritikan sastera dan satu medan pemula untuk menyemarakkan dunia kritikan meski kritikan ini tidak disiarkan di mana-mana jurnal. Namun, saya percaya, usaha kecil ini sedikit banyak akan memberikan impak yang mendalam terhadap perkembangan dunia kritikan, memeriahkan dunia kesusasteraan dan bidang sastera kelak tidak akan hanya dilihat sebagai bidang ‘syok sendiri’, kerana ada usaha untuk memartabatkannya melalui cara sebegini.
CITRA ALEGORI DAN PERMAINAN DIKSI DALAM PUISI “MERDEKALAH HATIKU”
Oleh: Zulfazlan Jumrah
Menanggapi puisi “Merdekalah Hatiku” karya Ainul Muaiyanah Sulaiman membuka satu dimensi segar terhadap diksi-diksi yang digunakan dalam pembinaan puisi ini. Konsep perlambangan yang menunjangi puisi ini memperlihatkan satu citra alegori dalam setiap pemilihan katanya. Menurut Ramli Isin (2007: 3) alegori membawa maksud gaya penyampaian puisi melalui unsur bahasa perbandingan dan sindiran. Gagasan atau isi lazimnya mengandungi nilai-nilai moral tentang kehidupan.
Berdasarkan konteks ini, di sinilah terletaknya kekuatan penyair dalam membiaskan gagasan dan pengalaman hidupnya menjadi baris-baris puisi yang menerapkan unsur perbandingan dan sindiran. Perhatikan baris ke 5-7 dalam puisi ini:
Mereka lasykar-lasykar nihil
Wujud di hadapan
Merembeskan kata-kata
Penyair bijak mewujudkan unsur paradoks pada baris-baris ini. Lasykar yang seharusnya mempunyai semangat pejuangan yang membara digambarkan sebagai nihil (kosong dan tidak mempunyai apa-apa), namun lasykar itu dilihat masih mahu wujud dibarisan hadapan dengan melontarkan kata-kata retorik. Di sini, unsur alegori itu jelas kelihatan kerana penyair menyindir pihak yang kononnya mendabik dada sebagai ketua, tetapi hakikatnya mereka itu ‘kosong’.
Penyair juga biak menyelar pihak terbabit yang dilihat sebagai penindas dan perampas hati penyair apabila membuka satu gelanggang permainan diksi dengan menyifatkan mereka bacul untuk berhadapan dengan semangat penyair, tetapi tiba-tiba bersifat berani pula apabila dalam diam cuba menghapuskan semangat itu. Lihat baris 9-13:
Semakin aku menyeru mahu bebas
Semakin mereka memolekulkan jasad mereka
Roh mereka menyatu satu per satu
Wujudnya mereka dengan hapusnya aku
Hapusnya aku untuk wujudnya mereka
Unsur anafora (pengulangan perkataan pada awal baris puisi) dan epifora (pengulangan perkataan pada akhir baris puisi) juga dilihat bukan sekadar penyusunan kata yang disengajakan, tetapi memperlihatkan betapa penyair cukup tegas menegakkan pendiriannya untuk berhadapan dengan pihak yang cuba membelenggunya. Diksinya cukup mudah, tetapi cukup untuk memperlihatkan ketegasan penyair dengan prinsip yang dipegangnya. Hal ini dapat dilihat pada baris ke-21 hingga 30:
Anafora
Epifora
Warna-warna yang menyerak
memantulkan garisah-garisah cahaya
cahaya untuk menemui mereka
cahaya untuk menemuiNya
Tuhan!!!
telah aku memerdekakan hatiku
telah aku katakan kepada mereka yang merasuk akalku
Aku masih bertuhan
Tuhanku adalah Tuhan!
Tuhanku bukanlah mereka!
Jika diperhatikan, unsur gaya bahasa anafora (berhuruf gelap) dan epifora (berhuruf miring) tidak sekadar menampakkan penggunaan unsur gaya bahasa secara lahiriah sahaja, tetapi lengkap dengan pemilihan diksi yang tepat, tegas dan menyampaikan pendirian penyair yang tegas terhadap apa yang dipercayainya (Tuhan). Di sini juga, unsur gaya bahasa alegori dapat dilihat pada baris ke-29 dan 30, apabila penyair menyindir pihak yang cuba membelenggu perasaan penyair dengan megatakan mereka itu bukanlah Tuhan penyair, maka tidak ada sebab untuk penyair tunduk kepada mereka.
Kesimpulannya, gaya bahasa Alegori dapat dilihat pada keseluruhan puisi ini jika ditafsirkan dengan cukup didaktik sebagai sebuah karya parodi. Sememangnya puisi yang sebegini dicipta penyair untuk membidas sesuatu yang bertentangan dengan pendirian dan prinsip penyair. Pemilihan diksi yang mudah, namun kerap di’main’kan pada baris-barisnya memperlihatkan sikap penyair yang gemar bereksperimen dengan permainan kata, namun ia perlu dilakukan dengan lebih berhati-hati kerana kesilapan pemilihan kata dalam permainan diksi barangkali akan menghancurkan puisi tersebut.
Secara umumnya, puisi ini memperlihatkan satu citra alegori yang baik, namun harus diingat, salah satu kelemahan gaya bahasa alegori sekiranya digunakan secara meluas ialah kesannya terhadap resepsi khalayak yang mungkin memandang penyair sebagai seorang yang terlalu bersifat prejudis.
Amanah Baharu 2020
-
7 Mac 2020
Apabila Ketua Satu PEN sesi 2018/2019 mencalonkan nama saya sebagai Ketua
Satu yang baharu, kemudian dipersetujui pula sebulat suara oleh ahl...
4 years ago
0 komen:
Post a Comment