Karya MPR sarat nilai agama - Berita Harian

Tinta mantan mpr 2006 pada 9/21/2007 04:53:00 PM

21 September 2007


Karya MPR sarat nilai agama

Oleh Shaidah Shafie

Berita Harian, 4 September 2007

Sesi bedah karya anak didik Minggu Penulis Remaja di Balai Seminar Dewan Bahasa dan Pustaka disinggung ahli panel

MAJLIS Diskusi karya Alumni Minggu Penulis Remaja (MPR) di Balai Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini, memperlihatkan jalur keagamaan karya pengarang didikan MPR ketara baik dalam genre novel, puisi mahupun cerpen.

Pensyarah Universiti Malaya (UM), Dr Amida Abdul Hamid, melihat Ladang Hati Mustika (LHM) karya Ummu Hani Abu Hassan sebagai novel dakwah Islam yang manis, lembut, bersahaja dan istimewa kerana pengarang banyak menerapkan unsur Islamik.


Pengarang novel itu turut memperlihatkan kesungguhan untuk menyelitkan unsur dakwah lewat peristiwa, dialog dan perlakuan watak dalam menjalani kehidupan sebagai Muslimah dengan mengajak teman lain tampil sebagai insan dihormati, beragama serta berakhlak sesuai dengan tuntutan agama.

“Peristiwa nukilan pengarang dapat dijadikan epitome kepada pergerakan dakwah seperti mereka yang jahil agama sewajarnya dituntun dan dibimbing ke jalan Allah swt serta tidak patut dicaci atau dipandang rendah lantaran kecetekan pengetahuan agama mereka,” katanya ketika memperkatakan LHM

Amida turut memperakukan LHM sebagai kaya bimbingan dakwah bermatlamat keharmonian hidup di kalangan sesama manusia, di antara manusia dengan Allah dan di antara manusia dengan alam sekitar sehingga memungkinkan khalayak mengutip pengajaran berguna daripada pengarang.

Selain itu, LHM mencakupi pernyataan kasih sayang sesama manusia kerana watak utama, Mustika membalas mesej pesanan ringkas kepada Hanif, rakan yang mengambil berat terhadap gadis itu, tetapi tidak cuba mengambil kesempatan, malah cuba memberi nasihat kepada gadis itu agar berhati-hati dalam menjalani hidup.

“LHM sebagai novel dakwah sesuai dibaca kelompok remaja dan pasti turut menyeronokkan pembaca dewasa kerana penghuluran ciri dakwah dilakukan dalam naratif yang menarik, ada kalanya melalui dialog dan ada ketika melalui introspeksi watak,” katanya.

Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Kamariah Kamarudin senada dengan Dr Amida apabila menekankan penerapan nilai dakwah dalam karya bercorak keremajaan bagi memastikan kelompok sasar mendapat manfaat daripada pembacaan mereka.

Dr Kamariah yang membedah Justeru Impian di Jaring (JIdJ) karya Zaid Akhtar mengesan nilai sahsiah dan maruah insan nyata dalam novel itu melalui watak Syahir yang baik akhlaknya, apalagi terhadap keluarga mahupun rakan taulan pemuda terbabit.

“Syahir digambarkan sebagai individu yang memuliakan ibu kerana kerap mendoakan kesihatan ibunya dan menyanjung nasihat ayahnya mengenai agama dalam meniti kedewasaan dan dugaan kehidupan. Pengarang menguatkan jati diri Syahir sebagai insan berpendidikan dan molek pekertinya melalui beberapa gambaran,” katanya.

Tidak ketinggalan, Syahir dinyatakan pengarang sebagai anak muda yang meminati sukan badminton dan dalam pergelutan di kancah riadah, Syahir sering dibobrok oleh Syed Amiri, saingan beliau dalam sukan itu dan Pak Engku, jurulatih berat sebelah yang sengaja berlaku tidak adil kepada pemuda terbabit.

“Sebagai anak muda murni, Syahir tidak sedikit pun menunjukkan unsur pertentangan, sebaliknya memaafkan Syed Amiri dan Pak Engku dengan sifat sabarnya, lantas membuktikan Syahir adalah insan cemerlang dalam ilmu agama dan sosial,” katanya.

Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Misran Rokimin yang mengupas novel Misi Piramid (MP) karya Ida Munira Abu Bakar pula menyifatkan novel berkenaan digarap dalam bentuk alegori yang mengajak khalayak menghargai kemerdekaan.

“MP adalah bingkisan suara hati pengarang terhadap kebebasan yang disalurkan melalui watak utama, Zek, lewat mimpinya ketika mengembara ke Negara Mian. Negara itu mempunyai sistem pertahanan ampuh dan senjata canggih. Zek berusaha menyelamatkan sekumpulan manusia tawanan negara itu yang diperlakukan dengan kejam dan zalim walaupun terhadap wanita dan kanak-kanak,” katanya.

Sepanjang pengembaraan Zek yang disampaikan secara teknik alegori, pengarang banyak menyisipkan falsafah mengenai harga kebebasan, sekali gus khalayak dapat menyelami cetusan fikiran pengarang bahawa kebebasan walaupun payah untuk dicapai, tetapi setiap manusia perlu berjuang untuk mendapatkannya.

Editor Majalah Pentas, Rahimidin Zahari, memperkatakan 10 puisi berteras agama yang antaranya Menyembelih Haiwan karya Fahd Razy dan dilihat sebagai melambakkan kemarahan membara terhadap Zionis hingga pengarangnya ‘terpaksa’ menurunkan julat kemarahan sambil mengingati kepahlawanan Umar dan Salahuddin al-Ayubi.

“Puisi Salam Buat Nablus karya Khairunnasriah Abdul Salam senada dengan Menyembelih Haiwan, tetapi pemilihan kata dan susunan gaya bahasa membezakan kedua-dua pengarang, lalu ‘kemarahan’ di tangan Nasriah kelihatan lembut manakala Fahd tampak kelelakiannya,” katanya.

Beliau turut mengupas Azam Baru karya Nimoiz TY, Bukan Remang Sangka (Ida Munira Abu Bakar), Tangisan Luka (Farhana Hussain), Kasih Siapa (Nuruliman Dasuki), Kisah Kasih (Mohammad Hafiz Abdul Latif), Bahtera Ababil (Ode), Nyanyian Seorang Teman (Azree Ariffin), Segugus Kunci dan Teja serta Tanpa Cinta (Nissa’ Yusof).

Setiausaha Agung, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), SM Zakir, mengesan kesedaran diri dalam jiwa cerpenis mantan MPR, Ghafirah Idris melalui cerpen Surat Buat Kristina, Salman Sulaiman (Selembar Sejadah Di Lantai Madrasah) dan Amir Mukhriz (Ustazah Es).

Perkara serupa turut dikesan dalam karya Ummu Hani Abu Hassan (Je Zu Be), Ainul Muaiyanah Muhammad Sulaiman (Mencari Qudwah), Abdul Rauf Baharuddin (Mati Pasti Menang), Khairul Nizam Abd Rauf (Warkah Perang Melaka) dan Nurafiqah Abu Samah (Sayang Si Mamat).

Lewat cerpen Selembar Sejadah Di Lantai Madrasah, pengarang dikatakan melihat kecenderungan muda-mudi kini hampir melumpuhkan intelek dan jiwa mereka daripada tauhid, hingga mendorongnya menyampaikan pemikiran dan kesedaran dalam bayangan bahasa lewat karya.

“Dalam cerpen lain juga turut dikesan fakta pemikiran mengenai Islam sebagai jalan hidup untuk semua manusia atau dalam bahasa Arab, tasawur al-kulli. Kebanyakan cerpen berkesudahan dengan sistem pemikiran yang tegar, teguh dan tegas menjunjung prinsip tauhid,” katanya.





1 komen:

hani salwah yaakup said...

Macam tau je gambar dari kamera siapa ni...