MPR SUDAH MATANG MEMIKUL TANGGUNGJAWAB?
Oleh: AZMAN ISMAIL
Utusan Melayu, 27 Ogos 2007
SEJAK ditubuhkan lebih sekitar dua dekad lalu, Minggu Penulis Remaja (MPR) dianggap sinonim dengan kelahiran penulis muda negara ini. Cukup ramai nama yang boleh dibariskan dan dianggap berjaya.
Antaranya Faisal Tehrani, Amaruszati Noor Rahim, Nisah Haron, Mawar Shafie, Hizairi Othman, Ummu Hani Abu Hassan, Zaid Akhtar, Ida Munira, Salina Ibrahim, Ghafirah Idris dan ramai lagi.
Karya-karya mereka cukup menonjolkan kerencaman tema dan teknik serta menekankan aspek yang eksperimental. Ada kesungguhan untuk mencari kelainan dan keluar daripada kepompong karya tradisional Melayu.
Namun, adakah para penulis yang dilahirkan oleh MPR ini sudah benar-benar bersedia memikul tanggungjawab untuk membawa hala tuju sastera Malaysia?
Diskusi Karya Alumni MPR yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini setidak-tidaknya menjawab sebahagian daripada persoalan tersebut.
Dalam dua genre (puisi dan cerpen) yang diperkatakan oleh penyair, Rahimidin Zahari dan penulis, Syed Mohd. Zakir Syed Othman (S.M Zakir) melihat sisi yang kuat dan kurangnya karya-karya penulis MPR.
Rahimidin yang memperkatakan genre puisi melihat ada sisi kuat karya-karya penulis tersebut. Mereka menunjukkan sensitiviti dan kemampuan mencerna bahasa yang menarik.
“Ada kekuatan tersendiri antara penulis-penulis muda ini meskipun kadang-kadang mempunyai persamaan tema tetapi ada garapan mereka yang menarik meskipun perlu ditambah atau diperkuatkan.
Dua sajak oleh Nissa Yusof iaitu Segugus Kunci dan Teja Tanpa Cinta juga agak berkesan. Puisi kedua ini mengingatkan kita pada teks Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah,?katanya.
Selain itu, katanya ada pelbagai percubaan oleh penyair mantan MPR untuk mendekati peristiwa dan konflik politik dunia ke dalam sebuah sajak. Misalnya Salam Buat Nablus II oleh Khairunnasriah Abdul Salam yang menyelami konflik di Timur Tengah
Begitu juga dalam genre cerpen, S.M Zakir berpendapat ada kesungguhan para penulis untuk menerapkan pelbagai isu semasa dan persoalan sosiobudaya.
Bagaimanapun terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki. Sekali gus memerlukan proses pengolahan dan pemahaman isu dengan baik serta lengkap.
Antara lain, beliau melihat cerpen Ghafirah Idris, Surat Buat Kristina yang mempunyai terlalu banyak fakta mentah yang dikutip langsung daripada fakta sejarah hingga seolah-olah sebuah karya untuk memaparkan fakta.
“Dari sudut ini, karyanya menjadi sangat menarik, namun apabila kita melihat bahawa teks itu sebagai sebuah pemikiran, cerpen ini tidak menunjukkan sifat pencernaan sebuah pemikiran yang autentik,? katanya.
Dalam aspek lain, ada semacam keghairahan untuk menghubungkan fakta sains dengan al-Quran. Namun, meletakkan kebenaran yang mutlak sama dengan kebenaran yang skeptis bakal mengundang bahaya.
Apakah fakta sains yang tertakluk kepada empirikal dan skeptisme itu berubah maka al-Quran turut menjadi bersalahan?
Sama seperti genre puisi, S.M Zakir melihat ada kematangan yang ditunjukkan dalam penulisan. Banyak tema berjaya digali dan ditelusuri dengan baik serta berkesan. Begitu juga aspek teknik dan pendekatan yang menonjolkan pembaharuan.
Jika pandangan Rahimidin dan S.M Zakir diambil kira dalam kedudukan ini, para alumni MPR sebenarnya mampu memikul tanggungjawab untuk memperkasakan sastera Malaysia hari ini dan akan datang.
Tetapi, seperti kata Rahimidin pada perbincangan tersebut, sesiapa sahaja boleh menjadi penyair dan bersajak tetapi bagaimanakah seseorang menampilkan kekuatan dalam sesebuah puisi itu?
Amanah Baharu 2020
-
7 Mac 2020
Apabila Ketua Satu PEN sesi 2018/2019 mencalonkan nama saya sebagai Ketua
Satu yang baharu, kemudian dipersetujui pula sebulat suara oleh ahl...
4 years ago
0 komen:
Post a Comment