Assalamualaikum, akhirnya selepas hampir 3 bulan, saya "log in" semula ke akaun blogger mantan mpr 2006 dan menulis entri ini. Sepatutnya saya wajar menanggung rasa bersalah terhadap pengabaian yang berlaku ke atas blog ini, tetapi saya ada sebab sendiri. Pertamanya kekangan sebagai pelajar yang sebenarnya tidak wajar saya jadikan alasan untuk mengabaikan blog ini kerana saya masih punya masa untuk menguruskan dua (2) blog lain kepunyaan saya sendiri. Tiada alasan kedua atau ketiga.
Nampaknya, blog ini juga sudah sangat berkurangan bilangan pelawatnya, sebabnya mudah saja,kerana sudah terlalu lama tidak dikemaskini. Maka, sebagai orang yang bertanggungjawab membuka blog ini dan saya jugalah sepatutnya orang yang bertanggungjawab memastikan blog ini sentiasa dikemaskini, tapi saya tidak bertindak demikian, saya bercadang untuk mengambil langkah untuk menutup saya blog ini kerana sekarang mantan-mantan MPR pun lebih suka untuk mengisi masa di http://minggupenulisremaja.blogspot.com.
Tidak keterlaluan jika saya kata, blog inilah yang menjadi wadah kepada pembukaan http://minggupenulisremaja.blogspot.com, jika dilihat kepada perbezaan tarikh pembukaan blog ini dan blog http://minggupenulisremaja.blogspot.com. (Maaf kepada "owner" http://minggupenulisremaja.blogspot.com jika kenyataan ini menyinggung perasaan beliau). Berdasarkan maklumat yang saya peroleh semasa MPR 2006 pun, mantan MPR 2006 adalah yang pertama mengadakan blog khas untuk komuniti MPR 2006, tapi sayangnya, saya tidak meneruskan usaha ini dengan bersungguh - sungguh.
Maka saya mengharapkan respon terutamanya daripada mantan MPR 2006 dan mentor mentor semasa MPR 2006 tentang cadangan penutupan blog ini.
Sila respon dengan menulis respon anda di ruang komen. Terima kasih.
-faizal nizam-
Maaf.. Cadangan Penutupan
Tinta mantan mpr 2006 pada 4/23/2008 10:07:00 AM
23 April 2008
Hangat! Antologi MPR 2006
Tinta mantan mpr 2006 pada 1/10/2008 10:32:00 AM
10 January 2008
Assalamualaikum,
Selepas berbincang dengan beberapa orang peserta MPR2006 yang lain, akhirnya kami telah bersetuju untuk menerbitkan antologi cerpen dan sajak MPR2006 kita itu sendiri. Memandangkan pihak tersebut mendiamkan diri agak lama untuk menerbitkannya.
Jadi, ini butirannya:
Tema: Terpulang kepada anda(kami tidak menetapkan apa-apa tema)
Tarkh hantar karya: 45 Februari 15 Februari 2008
Emelkan karya ke emel mantanmpr06@yahoo.com@gmail.com
Syarat-syarat:
- Karya mestilah masih fresh(belum diterbitkan atau disiarkan) lagi.
- Tidak mengandungi unsur-unsur lucah yang amat atau tahyul yang melampau.(sampai buat orang terangsang atau terpengaruh. Sikit-sikit boleh kot)
- Setiap karya tidak perlu melalui mentor kerana selepas semua karya dikumpulkan kepada kami, kami sendiri akan menyerahkannya kepada beberapa mentor yang kurang sibuknya. Hehe.
- Dilarang menciplak karya orang lain, lebih-lebih lagi mentor sendiri.
- Hantar cepat!
Sebarang persoalan eloklah kiranya diajukan kepada
Perkampungan Penulis Wilayah Utara
Tinta mantan mpr 2006 pada 12/16/2007 09:43:00 AM
16 December 2007
Oleh Faizal Mohd Fuad
12-14 Dis lepas, telah diadakan Perkampungan Penulis Wilayah Utara di Tasik Raban Resort, Lenggong, Perak anjuran DBP Wilayah Utara. Program selama 3hari 2malam ini, walaupun sekejap, tetapi banyak ilmu yang dapat ditimba. 14 peserta menyertainya daripada 50 orang yang ditawarkan. Para peserta berpeluang bersama Sasterawan Negara Prof. Muhammad Hj. Salleh selama 2jam. Peserta dibahagikan kepada 2 kumpulan iaitu kumpulan yang mengikuti bengkel cerpen dan satu lagi bengkel puisi. Peserta bengkel cerpen dibimbing oleh Tuan Hj. Ali Majod dan peserta bengkel puisi dibimbing oleh Prof. Rahman Shaari dan Dr. Rahimah. Jutaan Terima kasih kepada DBP Wilayah Utara terutamanya pengurus projek perkampungan berkenaan, Puan Khairiyah. Moga-moga program seperti ini akan diadakan lagi kerana program seperti inilah yang diharapkan oleh penulis - penulis muda dan baru untuk mendapat tunjuk ajar dalam menglahirkan karya yang lebih berkualiti.
Penomad Cinta (Buat dia yang berpindah dari wadi ketandusan)
Tinta mantan mpr 2006 pada 11/19/2007 11:07:00 AM
19 November 2007
karya Nurul 'Izzah, Berita Minggu, 18 Nov 2007
Dia penomad cinta
menyangkar aku
dalam jeriji kesetiaan
menghampar jagat derita
dari kolam-kolam dusta
membunuh nyali sukma
dalam hiris sembilu janji.
Dia penomad cinta
yang telah menjajahi
setiap ruang hati
memahat lirik-lirik
nyanyian kecintaan
mabuk dalam nanar rindu
dari sumur tandus kepeduliaan.
Dia penomad cinta
yang kaurayu sebutir simpati
untuk menambat namamu
dalam agenda hayatku
dan kala jiwaku menyerah
kau ibarat bara yang menyengat
membakar nafas kasih
yang mengakar dari pohon perkasihan.
Duhai penomad cinta
aku adalah perempuanmu
yang kaupinjam senyumnya
dan tega kaulunasi
dengan jerih perpisahan.
Dialah penomad cinta
yang telah kukirim wajahnya
ke pusara kenangan.
Lautan Duga
Tinta mantan mpr 2006 pada 11/12/2007 11:30:00 AM
12 November 2007
karya Nissa' Yusof, Berita Minggu 11 November 2007
Aku nakhoda jahil yang belayar
di lautan nikmat-Mu
tidak kenal pada riak gelombang
tidak takut pada kencang taufan
tidak mengerti pada deras lautan.
Seperti awan hitam di langit cerah
kupandang indah
dengan kolek yang teroleng
oleh ganas ombak
aku masih bermegah.
Aku menjadi hamba hina di jurang alpa
Sesudah badai uji-Mu menjerat duka.
Aku yang lemas di lautan nikmat-Mu
adalah aku yang mengharap segenap
nafas keampunan.
Memujuk Malam II
Tinta mantan mpr 2006 pada 11/09/2007 11:40:00 AM
09 November 2007
oleh faizal mohd fuad, berita minggu 28 oktober 2007
Malam ini di balik rimbunan ranting yang keliru,
dingin ditemani irama rintik hujan yang merdu,
memainkan lagu rindu seorang aku,
rindu pada tenangnya sebuah jiwa,
malam dan aku masih di sini,
saling menemani memutik ilham,
kutarikan pena jadi puisi,
terima kasih sebuah malam.
Oh malam,
kupujuk dirimu dengan sebuah hati,
walau diriku belum terpujuk lagi.
Salam Sastera
Tinta mantan mpr 2006 pada 11/07/2007 10:39:00 AM
07 November 2007
Assalamualaikum kesemuanya..
Pertamanya, saya mohon maaf kerana terlalu lama menyepi dan mengabaikan blog ini buat masa yang agak lama. Cuti-cuti ini, barangkali boleh kembali aktif menulis di blog dan berkarya. Kepada kawan - kawan mpr 2006 yang aktif berkarya, tahniah diucapkan.
Yang keduanya, baru baru ini saya ditawarkan menyertai perkampungan penulis wilayah utara, kalau ada kawan-kawan mpr 2006 atau mentor mentor yang terlibat dengan perkampungan penulis wilayah utara ini, bolehlah kita bersua kembali, terlalu rindu rasa di hati.
Ketiganya terima kasih kepada moderator moderator, ainunl, amli, dan azree yang membuat perubahan kepada blog mpr 06 ini. Saya juga baru tau kewujudan blog rasmi mantan mpr DBP.
Yang terakhir, rasa lega kerana peperiksaan akhir semester telah selesai.
-Head moderator-
-faizal nizam-
Menulis dan Kematian
Tinta mantan mpr 2006 pada 9/25/2007 10:02:00 AM
25 September 2007

Saya teringat kata-kata seorang penulis dahulu.
“Tulislah sesuatu yang bermanfaat dan jangan sesekali menulis sesuatu yang boleh merosakkan fikiran orang lain. Setiap apa yang kita tulis dan orang baca pasti akan dicatat untuk diadili di akhirat kelak.”
Entrinya tentang kematian. Seakan penulisnya tahu apa yang bakal menemuinya di kemudian hari. Apa yang tinggal kini hanyalah beberapa tulisannya di blog tersebut dan hingga ke hari ini masih ada yang menyahut di chatboxnya.
Apa yang perlu kita ingat adalah setiap apa jua perbuatan kita pasti akan dicatat oleh malaikat. Dan perbuatan kita tersebut akan dinilai sama ada mampu memberikan kita sedikit pahala(tiket ke syurga) ataupun dosa(tendangan ke neraka).
Menulis bukan melepas geram
Walaupun memang saya sendiri tidak nafikan yang saya juga kuat mengutuk kerajaan tetapi bukanlah dengan melepas geram di blog. Kita boleh mengutuk tindakan pihak yang tidak betul, tetapi biarlah caranya berhemah.
Kalau mahu menolak cadangan orang lain, tolaklah dengan betul. Bagi idea anda pula yang mungkin dirasakan lebih elok dan lebih bernas.
Menulis janganlah sekadar melepaskan geram. Menulis adalah ibadah. Kalau kita mati nanti, mungkin hasil tulisan-tulisan kita inilah yang bakal menyelamatkan kita.
Kalau kita sekadar kutuk-kutuk tanpa asas, boleh tak saya katakana itu sebagai satu fitnah? Dan jika kita mengatakan sesuatu yang tidak betul tentang seseorang, bukankah dosanya amat besar?
Menulis juga boleh beramal
Kalaulah anda ada terbaca blog yang mengutuk-ngutuk dasar mana-mana pihak, cubalah tapis yang mana satu lepas geram dan yang mana satu ilmu.
Saya ingin juga mengajak beberapa rakan penulis blog untuk menulis perkara-perkara yang baik. Lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan. Ingat! Menulis itu juga adalah satu ibadah.
Salam ramadan
Tinta mantan mpr 2006 pada 9/21/2007 04:56:00 PM
21 September 2007
Salam Ramadan.
oleh: Nissa' Yusof yang baik=)
Masuk saja bulan puasa, memang ada banyak cerita. Kalau zaman budak-budak,ramai yang puasa yang yok – makan nyorok-nyorok. Tapi saya masa kecil-kecil dulu kiranya dalam kategori budak baik la juga, jujur puasa=)
Saya selalu dengar cerita, ramai orang yang akan datang penyakit, seiring dengan kedatangan bulan puasa. Tapi sampai hari ni, saya masih belum pernah berdepan dengan golongan macam ni, setakat dengar cerita saja.
Bulan puasa ni sebenarnya bulan ajaib. Satu contoh, orang yang dalam kategori perokok tegar, boeh stop merokok waktu puasa. Fuh, tak ke ajaib tu! Contoh lain, orang yang tak pernah boleh bangun subuh pada hari-hari biasa, waktu bulan Ramdan mulia ni boleh pula bangun sahur. On time pulak tu. (golongan-golongan macam ni memang saya biasa jumpa)
Puasa sebenarnya sesuatu yang sangat menyihatkan. Sangat saintifik. Sudah ada beberapa kajian yang dibuat berkenaan puasa (Ramadan). Antaranya pada tahun 1984, kajian dilakukan oleh Dr. Soliman dari Universiti Hospital di Amman, Jordan. Beliau melakukan kajian terhadap 42 oang lelaki dan 26 orang wanita Islam. Darah setiap orang diperiksa bagi mengenal pasti kadar cortisol, testosterone, potassium, sodium, urea, glucose, cholesterol dan asid lemak. Pada akhir bulan didapati paras gula dalam darah mereka menurun ke tahap rendah tanpa mendatangkan sebarang kemudaratan. Begitu juga dengan paras lemak dlam darah yang secara umumnya turut menurun. Selain itu, kadar kolesterol ‘jahat’ iaitu LDL menurun dan sebaliknya kolesterol ‘baik’ iaitu HDL meningkat.
Banyak lagi rahsia puasa yang belum dapat kita singkap. Setiap ibadah datangnya dari Allah, hanya DIA yang tahu apa yang terbaik untuk umat terbaik ini.
Terakhir; jangan lupa bersahur, kerana “Sesungguhnya perbezaan antara puasa kita dengan puasa ahli kitab adalah makan sahur.” Hadis Nabi, riwayat Muslim, Amad, Abu Daud, Tirmizi dan Nasai.
Rujukan: Quran Saintifik; Dr. Danial Zainal Abidin.
Karya MPR sarat nilai agama - Berita Harian
Tinta mantan mpr 2006 pada 9/21/2007 04:53:00 PM
Karya MPR sarat nilai agama
Oleh Shaidah Shafie
Berita Harian, 4 September 2007
Sesi bedah karya anak didik Minggu Penulis Remaja di Balai Seminar Dewan Bahasa dan Pustaka disinggung ahli panel
MAJLIS Diskusi karya Alumni Minggu Penulis Remaja (MPR) di Balai Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini, memperlihatkan jalur keagamaan karya pengarang didikan MPR ketara baik dalam genre novel, puisi mahupun cerpen.
Pensyarah Universiti Malaya (UM), Dr Amida Abdul Hamid, melihat Ladang Hati Mustika (LHM) karya Ummu Hani Abu Hassan sebagai novel dakwah Islam yang manis, lembut, bersahaja dan istimewa kerana pengarang banyak menerapkan unsur Islamik.
| |
Pengarang novel itu turut memperlihatkan kesungguhan untuk menyelitkan unsur dakwah lewat peristiwa, dialog dan perlakuan watak dalam menjalani kehidupan sebagai Muslimah dengan mengajak teman lain tampil sebagai insan dihormati, beragama serta berakhlak sesuai dengan tuntutan agama.
“Peristiwa nukilan pengarang dapat dijadikan epitome kepada pergerakan dakwah seperti mereka yang jahil agama sewajarnya dituntun dan dibimbing ke jalan Allah swt serta tidak patut dicaci atau dipandang rendah lantaran kecetekan pengetahuan agama mereka,” katanya ketika memperkatakan LHM
Amida turut memperakukan LHM sebagai kaya bimbingan dakwah bermatlamat keharmonian hidup di kalangan sesama manusia, di antara manusia dengan Allah dan di antara manusia dengan alam sekitar sehingga memungkinkan khalayak mengutip pengajaran berguna daripada pengarang.
Selain itu, LHM mencakupi pernyataan kasih sayang sesama manusia kerana watak utama, Mustika membalas mesej pesanan ringkas kepada Hanif, rakan yang mengambil berat terhadap gadis itu, tetapi tidak cuba mengambil kesempatan, malah cuba memberi nasihat kepada gadis itu agar berhati-hati dalam menjalani hidup.
“LHM sebagai novel dakwah sesuai dibaca kelompok remaja dan pasti turut menyeronokkan pembaca dewasa kerana penghuluran ciri dakwah dilakukan dalam naratif yang menarik, ada kalanya melalui dialog dan ada ketika melalui introspeksi watak,” katanya.
Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Kamariah Kamarudin senada dengan Dr Amida apabila menekankan penerapan nilai dakwah dalam karya bercorak keremajaan bagi memastikan kelompok sasar mendapat manfaat daripada pembacaan mereka.
Dr Kamariah yang membedah Justeru Impian di Jaring (JIdJ) karya Zaid Akhtar mengesan nilai sahsiah dan maruah insan nyata dalam novel itu melalui watak Syahir yang baik akhlaknya, apalagi terhadap keluarga mahupun rakan taulan pemuda terbabit.
“Syahir digambarkan sebagai individu yang memuliakan ibu kerana kerap mendoakan kesihatan ibunya dan menyanjung nasihat ayahnya mengenai agama dalam meniti kedewasaan dan dugaan kehidupan. Pengarang menguatkan jati diri Syahir sebagai insan berpendidikan dan molek pekertinya melalui beberapa gambaran,” katanya.
Tidak ketinggalan, Syahir dinyatakan pengarang sebagai anak muda yang meminati sukan badminton dan dalam pergelutan di kancah riadah, Syahir sering dibobrok oleh Syed Amiri, saingan beliau dalam sukan itu dan Pak Engku, jurulatih berat sebelah yang sengaja berlaku tidak adil kepada pemuda terbabit.
“Sebagai anak muda murni, Syahir tidak sedikit pun menunjukkan unsur pertentangan, sebaliknya memaafkan Syed Amiri dan Pak Engku dengan sifat sabarnya, lantas membuktikan Syahir adalah insan cemerlang dalam ilmu agama dan sosial,” katanya.
Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Misran Rokimin yang mengupas novel Misi Piramid (MP) karya Ida Munira Abu Bakar pula menyifatkan novel berkenaan digarap dalam bentuk alegori yang mengajak khalayak menghargai kemerdekaan.
“MP adalah bingkisan suara hati pengarang terhadap kebebasan yang disalurkan melalui watak utama, Zek, lewat mimpinya ketika mengembara ke Negara Mian. Negara itu mempunyai sistem pertahanan ampuh dan senjata canggih. Zek berusaha menyelamatkan sekumpulan manusia tawanan negara itu yang diperlakukan dengan kejam dan zalim walaupun terhadap wanita dan kanak-kanak,” katanya.
Sepanjang pengembaraan Zek yang disampaikan secara teknik alegori, pengarang banyak menyisipkan falsafah mengenai harga kebebasan, sekali gus khalayak dapat menyelami cetusan fikiran pengarang bahawa kebebasan walaupun payah untuk dicapai, tetapi setiap manusia perlu berjuang untuk mendapatkannya.
Editor Majalah Pentas, Rahimidin Zahari, memperkatakan 10 puisi berteras agama yang antaranya Menyembelih Haiwan karya Fahd Razy dan dilihat sebagai melambakkan kemarahan membara terhadap Zionis hingga pengarangnya ‘terpaksa’ menurunkan julat kemarahan sambil mengingati kepahlawanan Umar dan Salahuddin al-Ayubi.
“Puisi Salam Buat Nablus karya Khairunnasriah Abdul Salam senada dengan Menyembelih Haiwan, tetapi pemilihan kata dan susunan gaya bahasa membezakan kedua-dua pengarang, lalu ‘kemarahan’ di tangan Nasriah kelihatan lembut manakala Fahd tampak kelelakiannya,” katanya.
Beliau turut mengupas Azam Baru karya Nimoiz TY, Bukan Remang Sangka (Ida Munira Abu Bakar), Tangisan Luka (Farhana Hussain), Kasih Siapa (Nuruliman Dasuki), Kisah Kasih (Mohammad Hafiz Abdul Latif), Bahtera Ababil (Ode), Nyanyian Seorang Teman (Azree Ariffin), Segugus Kunci dan Teja serta Tanpa Cinta (Nissa’ Yusof).
Setiausaha Agung, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), SM Zakir, mengesan kesedaran diri dalam jiwa cerpenis mantan MPR, Ghafirah Idris melalui cerpen Surat Buat Kristina, Salman Sulaiman (Selembar Sejadah Di Lantai Madrasah) dan Amir Mukhriz (Ustazah Es).
Perkara serupa turut dikesan dalam karya Ummu Hani Abu Hassan (Je Zu Be), Ainul Muaiyanah Muhammad Sulaiman (Mencari Qudwah), Abdul Rauf Baharuddin (Mati Pasti Menang), Khairul Nizam Abd Rauf (Warkah Perang Melaka) dan Nurafiqah Abu Samah (Sayang Si Mamat).
Lewat cerpen Selembar Sejadah Di Lantai Madrasah, pengarang dikatakan melihat kecenderungan muda-mudi kini hampir melumpuhkan intelek dan jiwa mereka daripada tauhid, hingga mendorongnya menyampaikan pemikiran dan kesedaran dalam bayangan bahasa lewat karya.
“Dalam cerpen lain juga turut dikesan fakta pemikiran mengenai Islam sebagai jalan hidup untuk semua manusia atau dalam bahasa Arab, tasawur al-kulli. Kebanyakan cerpen berkesudahan dengan sistem pemikiran yang tegar, teguh dan tegas menjunjung prinsip tauhid,” katanya.
