FAQ Minggu Penulis Remaja

Tinta Nissa' Yusof pada 1/01/2006 07:50:00 PM

01 January 2006

disalin dari YahooGroup MPR

BILAKAH KELAB ALUMNI MPR DITUBUHKAN?
31 Mei 1997. Rasmi ditubuhkan sempena MPR yang berlangsung pada 25 Mei-1 Jun 1997. Dalam aturcara terakhir pada 31 Mei 1997 itu, dianjurkan seminar sehari di DBP bagi membincangkan “Pencapaian Penulisan Cereka dan Puisi MPR Satu Dekad – Arah dan Masa Depan” dan “Kelab Alumni MPR : Satu Realiti?”. Panelnya Prof. Madya Dr. Othman Puteh (UKM) dan Prof. Madya Rahman Shaari (UM), dan pengerusinya Tn. Hj. Hamdan Yahya (DBP). Beberapa mantan MPR yang hadir pada seminar tersebut telah dipilih sebagai jawatankuasa menerusi undian.

SIAPA AHLI-AHLINYA?
Semua peserta yang pernah menyertai MPR (sejak 1985) dan/atau pernah memenangi Hadiah Sastera Siswa (HSS) (sejak 1997) adalah automatik menjadi ahli kelab ini.

APA OBJEKTIFNYA?

  1. Menjana kelahiran penulis generasi baru dengan imej yang lebih dinamik, berilmu dan bersedia dengan cabaran alaf baru.
  2. Menggalakkan kewujudan penulis yang prolifik dan konsisten berkarya, seterusnya dapat menjadi pelapis masa hadapan sastera Melayu di Malaysia.
  3. Mendedahkan dan menggalakkan ahli kepada aktiviti dan persekitaran berkait sastera, penulisan kreatif, penerbitan dan cabang seni lain di peringkat setempat, serantau dan sejagat.
  4. Menjadi penampung pertemuan intelektual dan kreatif daripada semasa ke semasa.
  5. Menghimpunkan semua mantan MPR dan HSS di seluruh Malaysia dan menyatukan mereka di bawah satu organisasi yang aktif dan sistematik.

APA SLOGAN SENI KELAB ALUMNI MPR?
Sastera Sejagat Bermutu Berilmu.

APA MISINYA KELAB ALUMNI MPR?
Mewujudkan penulis generasi baru yang dinamik, berani berbeza, bercita-cita tinggi, bekerja keras menuju apresiasi dan pencapaian global, serentak sedar dan prihatin dengan akar negara-bangsa-agama sendiri.

APAKAH MPR?
MPR ialah program sistematik selama seminggu anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi melatih penulis remaja berbakat. Projek ‘anak angkat’ ini diilhamkan oleh beberapa pihak di DBP pada pertengahan 1980-an, termasuklah Datuk Johan Jaafar, En. Abdul Ahmad dan En. Ali Majod.

APA KAITAN HSS DENGAN MPR?
Hadiah Sastera Siswa (HSS) yang diasaskan oleh En. Abdul Ahmad (DBP) ini ialah suatu anugerah pengiktirafan bakat terhadap karya cerpen dan puisi yang tersiar menerusi majalah Dewan Siswa yang selama ini menjadi wadah pembaca/penulis remaja mengembangkan bakat dan kreativiti mereka. Anugerah yang ditaja oleh Bank rakyat ini dilancarkan Tuan Hj. Bujang Hj. Ulis, Timbalan Menteri Pelajaran di Balai Seminar DBP pada 12 November 1986.

SEJAK BILA MPR DIADAKAN?
MPR dijalankan sejak 13 September 1985 dengan nama Minggu Remaja (ditukar pada Minggu Penulis Remaja pada awal 90-an).

SIAPA YANG TERPILIH MENYERTAI MPR?
Kira-kira 25-30 penulis remaja pelbagai kaum yang berbakat yang berusia antara 15-23 tahun dipilih dari serata Malaysia.

BAGAIMANA MENYERTAI MPR?
  1. Berusia antara 15-23 tahun.
  2. Mempunyai sekurang-kurangnya satu karya yang pernah disiarkan di mana-mana media cetak.
  3. Jika karya belum disiarkan di mana-mana, pertimbangan boleh dibuat berdasarkan pertandingan menulis tertentu yang dimasuki, atau sokongan dan cadangan dari tokoh sastera tertentu atau persatuan penulis tertentu.
  4. Pernah memenangi Hadiah Sastera Siswa (HSS) yang dianjurkan menerusi majalah Dewan Siswa, atau pernah memenangi anugerah penulisan lain.
  5. Sedia memberi kersama jika diperlukan apabila menjadi ahli Kelab Alumni MPR.
  6. Menunjukkan minat mendalam dan komitmen berterusan terhadap sastera dan
  7. beriltizam mahu menjadi penulis berjaya.

APA OBJEKTIF MPR?
  1. Melahirkan penulis pelapis berbakat besar dengan memberi bimbingan dan pantauan berterusan dan terancang.
  2. Mengenal pasti penulis yang berpotensi untuk didedahkan dengan pengalaman penataran sastera di peringkat setempat, serantau dan sejagat.
  3. Menggalakkan penghasilan karya sastera bermutu.
  4. Menjadikannya sebagai program pengiktirafan bakat dan pencapaian bagi penulis pelapis.
  5. Mewujudkan barisan penulis generasi baru dengan imej lebih dinamik, agresif dan kreatif.

SIAPA PEMBIMBING BENGKEL PENULISAN MPR?
Pembimbing bengkel intensif cerpen dan puisi dikendali oleh para penulis berpengalaman dan/atau ahli akademik dalam bidang sastera yang berwibawa. Antaranya Prof. Madya Dr. Othman Puteh dan Prof. Madya Rahman Shaari.

APA PROGRAM LAIN DALAM MPR?
Peserta akan berpeluang mengenali DBP, para editor sastera di akhbar dan majalah berwibawa, berdialog dengan Sasterawan Negara, berkenalan dengan penulis mapan, diberi latihan menulis secara informal oleh mantan MPR menerusi kerja lapangan, didedahkan dengan dunia penulisa-penerbitan-seni, selain aktiviti-aktiviti lawatan sekitar Kuala Lumpur.

BERAPA RAMAI YANG PERNAH DILATIH DI BAWAH MPR?
Sejak 1985 hingga kini, terdapat kira-kira 350 penulis telah dilatih di bawah naungan MPR. Antaranya Zaen Kasturi, Hizairi Othman, Ahmad Patria Abdullah, Rahimidin Zahari, Faisal Tehrani, Lily Haslina Nasir, Rosie Haslinda Nasir, Shamsudin Othman, Tuan Faridah Syed Abdullah, Salina Ibrahim, Maharam Mamat, Shahriza Abdul Rahman, Amaruszatie Noor Rahim, Tan Bok Hoi, Nisah Hj. Harun, Uthaya Sankar SB, Siti Raihani Mohamed Saaid dan Ranofla Dianti Irwan.

APAKAH GENRE YANG DITULIS OLEH ‘GRADUAN’ MPR?
Kebanyakan mereka menulis cerpen dan puisi berdasarkan bengkel yang diikuti ketika MPR. Hingga kini terdapat hampir 100 karya mereka yang telah diterbitkan oleh DBP dan penerbit lain, berupa antologi cerpen dan puisi hasil tugasan setiap kali MPR berlangsung, antologi cerpen dan puisi bersama, kumpulan cerpen dan puisi persendirian. Malah mereka meluaskan horizon
penulisan dengan menulis novel, drama pentas, drama radio, drama televisyen, esei, ulasan/kritikan filem dan rencana.

APA ANUGERAH YANG PERNAH MEREKA MENANGI?
Antaranya ialah Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank, Hadiah Sastera Malayan Banking-DBP, Hadiah Drama Berunsur Islam anjuran DBP-JAKIM, Hadiah Cerpen Berunsur Islam anjuran BAHEIS, Hadiah Cerpen ESSO-GAPENA, Hadiah Cerpen Formula Malaysia, Trofi Samad Idris anjuran FINAS, Hadiah Rencana Terbaik anjuran Yayasan AIDS Malaysia dan banyak lagi.

APA KEISTIMEWAAN MENYERTAI MPR?
MPR program melatih penulis remaja paling sistematik di Malaysia dan telah mencapai usia lebih 10 tahun. Ramai penulis muda yang telah mencipta nama hari ini lahir dari program ini. Banyak karya mereka telah diterbitkan di DBP dan oleh penerbit lain. Menyertainya adalah pengalaman dan peluang eksklusif bagi mereka yang inginkan latihan dan pengetahuan segera dalam usaha menjadi penulis berjaya. Apabila anda menyertai MPR pula anda akan automatik menjadi ahli Kelab Alumni MPR yang aktif menjalankan pelbagai aktiviti.

APA SIGNIFIKAN MPR?
Kewujudan MPR menunjukkan iltizam murni dan serius DBP dalam memastikan kelangsungan sastera, terutamanya Kesusasteraan Melayu, khususnya dalam pembentukan bakat dan visi penulis di peringkat rebung. Program ini telah melahirkan banyak penulis pelapis, juga melahirkan banyak bahan bacaan bermutu. Seterusnya MPR dapat memperbanyakkan lagi bahan bacaan remaja yang lebih berkualiti dan bermaruah, selain membaiki dan memantapkan imej sastera remaja yang sering diperlekehkan. ‘Graduan’ MPR juga diharapkan akan terus
membesar dalam sastera umum. Lebih jauh lagi, iltizam penulis yang diwakili oleh MPR diharapkan dapat menampilkan suatu imej baru yang lebih segar dan positif terhadap gerakan dan misi penulis generasi baru.

Tentang

Tinta Nissa' Yusof pada 1/01/2006 07:48:00 PM

Minggu Penulis Remaja

MPR ialah program sistematik selama seminggu anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi melatih penulis remaja berbakat. Projek ‘anak angkat’ ini diilhamkan oleh beberapa pihak di DBP pada pertengahan 1980-an, termasuklah Datuk Johan Jaafar, En. Abdul Ahmad dan En. Ali Majod.

Minggu Penulis Remaja 2006

MPR 2006 adalah sesi MPR yang ke-21, disertai oleh 22 orang penulis remaja. Satu-satunya MPR yang dijalankan dengan konsep Mentor-Protege.


Rasional Logo Kelab Alumni MPR
(disediakan oleh Hizairi Othman, disalin dari YahooGroup)

Logo Kelab Alumni MPR mengaplikasi pendekatan ‘minimalist’, suatu aliran seni yang berpengaruh terutamanya dalam senibina. ‘Minimalist’ percayakan konsep ‘kurang itu lebih’ apabila segala sesuatu yang minima dimanfaat untuk menyerlahkan segala sesuatu yang rupa-rupanya lebih besar atau memberi impak maksima. Minimalist serentak menyenangi gaya moden, ringkas dan sederhana yang difikirkan sesuai untuk abad baru.

Konsep itu diwakili oleh sebongkah kiub sebagai refleksi penulis generasi baru mengutamakan pemikiran kreatif dan kritikal sebagai penanda skala kreativiti mereka. Sementara imej mata pula refleksi sudut pendangan dunia yang lebih luas dan multi persepsi, mentafsir dan menterjemah realiti dalam banyak sudut pandangan dan tidak menyempitkan fikiran dalam suatu tempurung pemikiran saja.

Seterusnya kombinasi kiub dan mata itu menampakkan hubungan simbiosis yang wujud dalam karya dan set mental pengkarya yang bernaung di bawah Kelab Alumni MPR ini. Penulis generasi baru tidak sahaja meminati dan mempraktikkan sastera saja tetapi juga beberapa cabang seni lain. Mereka juga percaya bahawa seni dan ilmu perlu disatukan guna memenuhi bentuk karya era baru. Dan sastera sebagai minat utama, tidak sahaja digauli sastera tempatan tetapi juga dijukstaposisi sastera nusantara dan sastera antarabangsa sebagai persediaan
menjadi warga sastera global dan penulis yang lebih cendekia dan kreatif.