Menulis dan Kematian

Tinta mantan mpr 2006 pada 9/25/2007 10:02:00 AM

25 September 2007


Saya teringat kata-kata seorang penulis dahulu.


“Tulislah sesuatu yang bermanfaat dan jangan sesekali menulis sesuatu yang boleh merosakkan fikiran orang lain. Setiap apa yang kita tulis dan orang baca pasti akan dicatat untuk diadili di akhirat kelak.”

Kemudian baru tadi saya membaca blog Saudara Suhaimy yang memberitahu tentang seorang penulis blog yang baru meninggal dunia beberapa hari yang lalu. Entri terakhir di blog tersebut sedikit menyentuh hati saya.

Entrinya tentang kematian. Seakan penulisnya tahu apa yang bakal menemuinya di kemudian hari. Apa yang tinggal kini hanyalah beberapa tulisannya di blog tersebut dan hingga ke hari ini masih ada yang menyahut di chatboxnya.

Semoga rohnya dicucuri rahmat dan apa yang ditulisnya memberikan manfaat dan peringatan kepada yang membaca.

Apa yang perlu kita ingat adalah setiap apa jua perbuatan kita pasti akan dicatat oleh malaikat. Dan perbuatan kita tersebut akan dinilai sama ada mampu memberikan kita sedikit pahala(tiket ke syurga) ataupun dosa(tendangan ke neraka).

Menulis bukan melepas geram

Saya sebenarnya agak kurang gemar dengan blog yang setakat mengutuk-ngutuk tanpa apa-apa resolusi atau idea yang dikemukakan mereka sendiri. Kutuk-kutuk tanpa anda memberikan idea yang bernas, itu bukan satu perbuatan yang betul.

Walaupun memang saya sendiri tidak nafikan yang saya juga kuat mengutuk kerajaan tetapi bukanlah dengan melepas geram di blog. Kita boleh mengutuk tindakan pihak yang tidak betul, tetapi biarlah caranya berhemah.

Kalau mahu menolak cadangan orang lain, tolaklah dengan betul. Bagi idea anda pula yang mungkin dirasakan lebih elok dan lebih bernas.

Menulis janganlah sekadar melepaskan geram. Menulis adalah ibadah. Kalau kita mati nanti, mungkin hasil tulisan-tulisan kita inilah yang bakal menyelamatkan kita.

Kalau kita sekadar kutuk-kutuk tanpa asas, boleh tak saya katakana itu sebagai satu fitnah? Dan jika kita mengatakan sesuatu yang tidak betul tentang seseorang, bukankah dosanya amat besar?

Menulis juga boleh beramal

Kalaulah anda ada terbaca blog yang mengutuk-ngutuk dasar mana-mana pihak, cubalah tapis yang mana satu lepas geram dan yang mana satu ilmu.

Saya ingin juga mengajak beberapa rakan penulis blog untuk menulis perkara-perkara yang baik. Lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan. Ingat! Menulis itu juga adalah satu ibadah.
.
.
Azree MH
Dipetik daripada blog http://www.studiomuslim.com/

Salam ramadan

Tinta mantan mpr 2006 pada 9/21/2007 04:56:00 PM

21 September 2007

Salam Ramadan.

oleh: Nissa' Yusof yang baik=)

Masuk saja bulan puasa, memang ada banyak cerita. Kalau zaman budak-budak,ramai yang puasa yang yok – makan nyorok-nyorok. Tapi saya masa kecil-kecil dulu kiranya dalam kategori budak baik la juga, jujur puasa=)

Saya selalu dengar cerita, ramai orang yang akan datang penyakit, seiring dengan kedatangan bulan puasa. Tapi sampai hari ni, saya masih belum pernah berdepan dengan golongan macam ni, setakat dengar cerita saja.

Bulan puasa ni sebenarnya bulan ajaib. Satu contoh, orang yang dalam kategori perokok tegar, boeh stop merokok waktu puasa. Fuh, tak ke ajaib tu! Contoh lain, orang yang tak pernah boleh bangun subuh pada hari-hari biasa, waktu bulan Ramdan mulia ni boleh pula bangun sahur. On time pulak tu. (golongan-golongan macam ni memang saya biasa jumpa)

Puasa sebenarnya sesuatu yang sangat menyihatkan. Sangat saintifik. Sudah ada beberapa kajian yang dibuat berkenaan puasa (Ramadan). Antaranya pada tahun 1984, kajian dilakukan oleh Dr. Soliman dari Universiti Hospital di Amman, Jordan. Beliau melakukan kajian terhadap 42 oang lelaki dan 26 orang wanita Islam. Darah setiap orang diperiksa bagi mengenal pasti kadar cortisol, testosterone, potassium, sodium, urea, glucose, cholesterol dan asid lemak. Pada akhir bulan didapati paras gula dalam darah mereka menurun ke tahap rendah tanpa mendatangkan sebarang kemudaratan. Begitu juga dengan paras lemak dlam darah yang secara umumnya turut menurun. Selain itu, kadar kolesterol ‘jahat’ iaitu LDL menurun dan sebaliknya kolesterol ‘baik’ iaitu HDL meningkat.

Banyak lagi rahsia puasa yang belum dapat kita singkap. Setiap ibadah datangnya dari Allah, hanya DIA yang tahu apa yang terbaik untuk umat terbaik ini.

Terakhir; jangan lupa bersahur, kerana “Sesungguhnya perbezaan antara puasa kita dengan puasa ahli kitab adalah makan sahur.” Hadis Nabi, riwayat Muslim, Amad, Abu Daud, Tirmizi dan Nasai.

Rujukan: Quran Saintifik; Dr. Danial Zainal Abidin.

Karya MPR sarat nilai agama - Berita Harian

Tinta mantan mpr 2006 pada 9/21/2007 04:53:00 PM


Karya MPR sarat nilai agama

Oleh Shaidah Shafie

Berita Harian, 4 September 2007

Sesi bedah karya anak didik Minggu Penulis Remaja di Balai Seminar Dewan Bahasa dan Pustaka disinggung ahli panel

MAJLIS Diskusi karya Alumni Minggu Penulis Remaja (MPR) di Balai Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini, memperlihatkan jalur keagamaan karya pengarang didikan MPR ketara baik dalam genre novel, puisi mahupun cerpen.

Pensyarah Universiti Malaya (UM), Dr Amida Abdul Hamid, melihat Ladang Hati Mustika (LHM) karya Ummu Hani Abu Hassan sebagai novel dakwah Islam yang manis, lembut, bersahaja dan istimewa kerana pengarang banyak menerapkan unsur Islamik.


Pengarang novel itu turut memperlihatkan kesungguhan untuk menyelitkan unsur dakwah lewat peristiwa, dialog dan perlakuan watak dalam menjalani kehidupan sebagai Muslimah dengan mengajak teman lain tampil sebagai insan dihormati, beragama serta berakhlak sesuai dengan tuntutan agama.

“Peristiwa nukilan pengarang dapat dijadikan epitome kepada pergerakan dakwah seperti mereka yang jahil agama sewajarnya dituntun dan dibimbing ke jalan Allah swt serta tidak patut dicaci atau dipandang rendah lantaran kecetekan pengetahuan agama mereka,” katanya ketika memperkatakan LHM

Amida turut memperakukan LHM sebagai kaya bimbingan dakwah bermatlamat keharmonian hidup di kalangan sesama manusia, di antara manusia dengan Allah dan di antara manusia dengan alam sekitar sehingga memungkinkan khalayak mengutip pengajaran berguna daripada pengarang.

Selain itu, LHM mencakupi pernyataan kasih sayang sesama manusia kerana watak utama, Mustika membalas mesej pesanan ringkas kepada Hanif, rakan yang mengambil berat terhadap gadis itu, tetapi tidak cuba mengambil kesempatan, malah cuba memberi nasihat kepada gadis itu agar berhati-hati dalam menjalani hidup.

“LHM sebagai novel dakwah sesuai dibaca kelompok remaja dan pasti turut menyeronokkan pembaca dewasa kerana penghuluran ciri dakwah dilakukan dalam naratif yang menarik, ada kalanya melalui dialog dan ada ketika melalui introspeksi watak,” katanya.

Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Kamariah Kamarudin senada dengan Dr Amida apabila menekankan penerapan nilai dakwah dalam karya bercorak keremajaan bagi memastikan kelompok sasar mendapat manfaat daripada pembacaan mereka.

Dr Kamariah yang membedah Justeru Impian di Jaring (JIdJ) karya Zaid Akhtar mengesan nilai sahsiah dan maruah insan nyata dalam novel itu melalui watak Syahir yang baik akhlaknya, apalagi terhadap keluarga mahupun rakan taulan pemuda terbabit.

“Syahir digambarkan sebagai individu yang memuliakan ibu kerana kerap mendoakan kesihatan ibunya dan menyanjung nasihat ayahnya mengenai agama dalam meniti kedewasaan dan dugaan kehidupan. Pengarang menguatkan jati diri Syahir sebagai insan berpendidikan dan molek pekertinya melalui beberapa gambaran,” katanya.

Tidak ketinggalan, Syahir dinyatakan pengarang sebagai anak muda yang meminati sukan badminton dan dalam pergelutan di kancah riadah, Syahir sering dibobrok oleh Syed Amiri, saingan beliau dalam sukan itu dan Pak Engku, jurulatih berat sebelah yang sengaja berlaku tidak adil kepada pemuda terbabit.

“Sebagai anak muda murni, Syahir tidak sedikit pun menunjukkan unsur pertentangan, sebaliknya memaafkan Syed Amiri dan Pak Engku dengan sifat sabarnya, lantas membuktikan Syahir adalah insan cemerlang dalam ilmu agama dan sosial,” katanya.

Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Misran Rokimin yang mengupas novel Misi Piramid (MP) karya Ida Munira Abu Bakar pula menyifatkan novel berkenaan digarap dalam bentuk alegori yang mengajak khalayak menghargai kemerdekaan.

“MP adalah bingkisan suara hati pengarang terhadap kebebasan yang disalurkan melalui watak utama, Zek, lewat mimpinya ketika mengembara ke Negara Mian. Negara itu mempunyai sistem pertahanan ampuh dan senjata canggih. Zek berusaha menyelamatkan sekumpulan manusia tawanan negara itu yang diperlakukan dengan kejam dan zalim walaupun terhadap wanita dan kanak-kanak,” katanya.

Sepanjang pengembaraan Zek yang disampaikan secara teknik alegori, pengarang banyak menyisipkan falsafah mengenai harga kebebasan, sekali gus khalayak dapat menyelami cetusan fikiran pengarang bahawa kebebasan walaupun payah untuk dicapai, tetapi setiap manusia perlu berjuang untuk mendapatkannya.

Editor Majalah Pentas, Rahimidin Zahari, memperkatakan 10 puisi berteras agama yang antaranya Menyembelih Haiwan karya Fahd Razy dan dilihat sebagai melambakkan kemarahan membara terhadap Zionis hingga pengarangnya ‘terpaksa’ menurunkan julat kemarahan sambil mengingati kepahlawanan Umar dan Salahuddin al-Ayubi.

“Puisi Salam Buat Nablus karya Khairunnasriah Abdul Salam senada dengan Menyembelih Haiwan, tetapi pemilihan kata dan susunan gaya bahasa membezakan kedua-dua pengarang, lalu ‘kemarahan’ di tangan Nasriah kelihatan lembut manakala Fahd tampak kelelakiannya,” katanya.

Beliau turut mengupas Azam Baru karya Nimoiz TY, Bukan Remang Sangka (Ida Munira Abu Bakar), Tangisan Luka (Farhana Hussain), Kasih Siapa (Nuruliman Dasuki), Kisah Kasih (Mohammad Hafiz Abdul Latif), Bahtera Ababil (Ode), Nyanyian Seorang Teman (Azree Ariffin), Segugus Kunci dan Teja serta Tanpa Cinta (Nissa’ Yusof).

Setiausaha Agung, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), SM Zakir, mengesan kesedaran diri dalam jiwa cerpenis mantan MPR, Ghafirah Idris melalui cerpen Surat Buat Kristina, Salman Sulaiman (Selembar Sejadah Di Lantai Madrasah) dan Amir Mukhriz (Ustazah Es).

Perkara serupa turut dikesan dalam karya Ummu Hani Abu Hassan (Je Zu Be), Ainul Muaiyanah Muhammad Sulaiman (Mencari Qudwah), Abdul Rauf Baharuddin (Mati Pasti Menang), Khairul Nizam Abd Rauf (Warkah Perang Melaka) dan Nurafiqah Abu Samah (Sayang Si Mamat).

Lewat cerpen Selembar Sejadah Di Lantai Madrasah, pengarang dikatakan melihat kecenderungan muda-mudi kini hampir melumpuhkan intelek dan jiwa mereka daripada tauhid, hingga mendorongnya menyampaikan pemikiran dan kesedaran dalam bayangan bahasa lewat karya.

“Dalam cerpen lain juga turut dikesan fakta pemikiran mengenai Islam sebagai jalan hidup untuk semua manusia atau dalam bahasa Arab, tasawur al-kulli. Kebanyakan cerpen berkesudahan dengan sistem pemikiran yang tegar, teguh dan tegas menjunjung prinsip tauhid,” katanya.





MPR di Utusan Melayu

Tinta mantan mpr 2006 pada 9/02/2007 03:57:00 PM

02 September 2007

MPR SUDAH MATANG MEMIKUL TANGGUNGJAWAB?
Oleh: AZMAN ISMAIL
Utusan Melayu, 27 Ogos 2007

SEJAK ditubuhkan lebih sekitar dua dekad lalu, Minggu Penulis Remaja (MPR) dianggap sinonim dengan kelahiran penulis muda negara ini. Cukup ramai nama yang boleh dibariskan dan dianggap berjaya.

Antaranya Faisal Tehrani, Amaruszati Noor Rahim, Nisah Haron, Mawar Shafie, Hizairi Othman, Ummu Hani Abu Hassan, Zaid Akhtar, Ida Munira, Salina Ibrahim, Ghafirah Idris dan ramai lagi.

Karya-karya mereka cukup menonjolkan kerencaman tema dan teknik serta menekankan aspek yang eksperimental. Ada kesungguhan untuk mencari kelainan dan keluar daripada kepompong karya tradisional Melayu.

Namun, adakah para penulis yang dilahirkan oleh MPR ini sudah benar-benar bersedia memikul tanggungjawab untuk membawa hala tuju sastera Malaysia?

Diskusi Karya Alumni MPR yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini setidak-tidaknya menjawab sebahagian daripada persoalan tersebut.

Dalam dua genre (puisi dan cerpen) yang diperkatakan oleh penyair, Rahimidin Zahari dan penulis, Syed Mohd. Zakir Syed Othman (S.M Zakir) melihat sisi yang kuat dan kurangnya karya-karya penulis MPR.

Rahimidin yang memperkatakan genre puisi melihat ada sisi kuat karya-karya penulis tersebut. Mereka menunjukkan sensitiviti dan kemampuan mencerna bahasa yang menarik.

“Ada kekuatan tersendiri antara penulis-penulis muda ini meskipun kadang-kadang mempunyai persamaan tema tetapi ada garapan mereka yang menarik meskipun perlu ditambah atau diperkuatkan.

Dua sajak oleh Nissa Yusof iaitu Segugus Kunci dan Teja Tanpa Cinta juga agak berkesan. Puisi kedua ini mengingatkan kita pada teks Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah,?katanya.
Selain itu, katanya ada pelbagai percubaan oleh penyair mantan MPR untuk mendekati peristiwa dan konflik politik dunia ke dalam sebuah sajak. Misalnya Salam Buat Nablus II oleh Khairunnasriah Abdul Salam yang menyelami konflik di Timur Tengah

Begitu juga dalam genre cerpen, S.M Zakir berpendapat ada kesungguhan para penulis untuk menerapkan pelbagai isu semasa dan persoalan sosiobudaya.

Bagaimanapun terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki. Sekali gus memerlukan proses pengolahan dan pemahaman isu dengan baik serta lengkap.

Antara lain, beliau melihat cerpen Ghafirah Idris, Surat Buat Kristina yang mempunyai terlalu banyak fakta mentah yang dikutip langsung daripada fakta sejarah hingga seolah-olah sebuah karya untuk memaparkan fakta.

“Dari sudut ini, karyanya menjadi sangat menarik, namun apabila kita melihat bahawa teks itu sebagai sebuah pemikiran, cerpen ini tidak menunjukkan sifat pencernaan sebuah pemikiran yang autentik,? katanya.

Dalam aspek lain, ada semacam keghairahan untuk menghubungkan fakta sains dengan al-Quran. Namun, meletakkan kebenaran yang mutlak sama dengan kebenaran yang skeptis bakal mengundang bahaya.

Apakah fakta sains yang tertakluk kepada empirikal dan skeptisme itu berubah maka al-Quran turut menjadi bersalahan?

Sama seperti genre puisi, S.M Zakir melihat ada kematangan yang ditunjukkan dalam penulisan. Banyak tema berjaya digali dan ditelusuri dengan baik serta berkesan. Begitu juga aspek teknik dan pendekatan yang menonjolkan pembaharuan.

Jika pandangan Rahimidin dan S.M Zakir diambil kira dalam kedudukan ini, para alumni MPR sebenarnya mampu memikul tanggungjawab untuk memperkasakan sastera Malaysia hari ini dan akan datang.

Tetapi, seperti kata Rahimidin pada perbincangan tersebut, sesiapa sahaja boleh menjadi penyair dan bersajak tetapi bagaimanakah seseorang menampilkan kekuatan dalam sesebuah puisi itu?