Komentar Sajak Bohorok

Tinta mantan mpr 2006 pada 4/15/2009 04:28:00 AM

15 April 2009

Komentar Sajak Bohorok (Firdaus Hasraf Hassan)

Oleh : Ainunl Muaiyanah Sulaiman


Bohorok.
( Dedikasi untuk Dunia 0001 – 2009 )

Angin bohorok datang dari jauh
bersungguh-sungguh memujuk alam
nada alam berjuta tahun tetap sama
melodi bermelankolik sendu
meratapi takdir hayat
matanya kritikal hampir buta
berakar urat saga derita
airmatanya melaut mengeruh
ikan-ikan terbungkus
terapung dikafankan daun-daun
teratai menghitam hancur merapuh
batu-batu meretak ketakutan
pepohon incut mengaduh!
“ aduh... aduh... aduh… ’’
rontok ke hadapan tumbang kasih
tanah ditanam menjadi kubur oleh tanah
batu nisan seni masa hadapan.

Engkau akan mula hilang diri
mundar berjalan mandir berlari
mengundur tidak tentu arah
taufan menolak dari hadapan
ribut menekan dari belakang
dada meleper bergelombang suara
ketawa dan tangisan gelandangan
kaki terikat di pokok
visual menjadi terbalik
jejarum rebas turun dari perut angkasa
batu membusung di dalam fikrah
kepala merenduh oleh kekacauan
api dan air bekerjasama
merebus dunia sampai hangus.

FIRDHAUS HASRAF HASSAN

 

Ketika penulis diminta mengulas sajak BOHOROK karya Firdhaus, penulis tertanya apakah yang dimaksudkan dengan bohorok kerana apabila dipilih sebagai judul bermakna puisi ini akan berkisah seputar judul tersebut dan kalau tidak memahaminya bagaimana pula mahu mengulasnya.

Menurut kamus dewan edisi keempat, BOHOROK  bermakna sejenis angin yang kencang di Sumatera Timur. Angin bohorok pula membawa maksud angin kering dan panas yang turun dari pergunungan.

Membaca bohorok seakan menemui pembawaan dua cerita di dalam satu sajak. Fragmen pertama bercerita tentang angin yang datang memujuk alam yang sedang sakit dengan pencemaran dan dikatakan menuju kehancuran seperti dalam sajaknya

"matanya kritikal hampir buta

Berakar urat saga derita

Airmatanya melaut mengeruh"

"ikan-ikan terbungkus

Terapung dikafankan daun-daun"

 

Firdhaus melukiskan pencemaran alam dengan mengatakan peristiwa-peristiwa yang berlaku seperti ikan-ikan yang terapung akibat pencemaran air.

Kemudian penulis dibawa ke fragmen kedua. Firdhaus menghadirkan sosok manusia disitu iaitu engkau. Pada awalnya penulis tertanya kenapa mula-mula bercerita tentang alam kemudian terus sahaja bercerita tentang perkara lain yang tidak wujud pada fragmen pertama. Setelah dibaca sehingga ke hujung baris barulah penulis menangkap maknanya.

Sosok manusia diwujudkan untuk menunjukkan akibat daripada kejadian yang ditulis di fragmen pertama. Akibat alam yang semakin sakit, maka berlakulah kejadian seperti

Taufan menolak dari hadapan

Ribut menekan dari belakang

Dada meleper bergelombang suara

Ketawa dan tangisan gelandangan.

Membaca sajak Firdhaus menuntut pembaca berfikir kerana biasanya sajak-sajak Firdhaus berlapis-lapis. Adalah lebih molek sekiranya Firdhaus membahagikan sajak ini  fragmen pertama dan fragmen kedua supaya membaca dapat melihat perbezaan cerita dalam sajak ini. Fragmen pertama adalah peristiwa dan fragmen kedua adalah akibat daripada peristiwa itu. Barulah sajak ini kelihatan jelas.

Selain itu Firdhaus banyak menghadirkan perkataan-perkataan yang kurang mesra pendengar seperti merenduh, rontok, incut. Lalu membaca sajak Firdhaus memerlukan masa untuk memahaminya dan kerajinan untuk membelek kamus supaya makna yang mahu disampaikan tidaklah tersasar.

Selain itu, penulis menyedari setiap baris dalam sajak ini berdiri dengan sendiri mewakili peristiwa-peristiwa yang terjadi. Pembaca haruslah menukarkan setiap baris dalam sajak ini menjadi gambaran seperti dibawah barulah makna sajak ini lebih jelas lagi

Apabila kaki terikat dipokok barulah pandangan mata kita (visual) menjadi terbalik

Kaki terikat di pokok

Visual menjadi terbalik

Apabila banyak perkara dalam fikiran barulah kepala menjadi sarat (renduh)

Batu membusung di dalam fikrah

Kepala merenduh oleh kekacauan

Walaupun begitu, penulis merasakan ada sesuatu yang hilang semasa membaca sajak ini. Sepertinya masih kurang lengkap lagi. Bagaikan merasa gulai yang belum cukup masin. Mungkin perlambangan yang dituliskan masih sedikit kabur dan samar. Mungkin sekiranya Firdhaus sedikit permurnian, sajak ini akan menjadi lebih baik lagi.

Semoga berjaya.

P/s : Sejujurnya penulis masih kerdil dalam pemahaman dan pengulasan sajak. Kalau berlebih dan berkurang harap dimaafkan

Komentar Sajak Baju Kurung Merah Darah

Tinta Nissa' Yusof pada 4/14/2009 01:26:00 AM

14 April 2009

KOMENTAR SAJAK: BAJU KURUNG MERAH DARAH
(Karya : AINUNL MUAIYANAH SULAIMAN)

OLEH : NISSA' YUSOF


Baju Kurung Merah Darah
(Suara dari perkuburan cinta)

Warna kurungku merah darah
Disimbah dari hati yang kau tarah

Selendangku berbiku tajam
Ditenun dari janji yang kau rejam

Kerudungku bertenun benang rasa
Disulam dari kenangan yang bersisa

Aku hadir berwajah manis
Seluruh rasa telah ku sita
Kau menghulur bunga kemboja
Dari perkuburan cinta
Bunga itu ku kambus bersama talkin
Bisik cinta yang kau himpun untuknya

Aku memilih untuk setia
Di Perkuburan cinta ini

Ainunl Muaiyanah Sulaiman
17 Januari 09
Dewan Bahasa & Pustaka

Berita Harian (31 Januari 2009)


Sesebuah sajak yang menyebut ‘cinta’, tidak semestinya melibatkan cinta sesama manusia. Cinta adalah satu subjek yang sangat meluas maksudnya. Mungkin saja cinta dalam persahabatan, cinta pada ibu bapa, cinta agama, cinta negara atau apa-apa sahaja.

Sajak Baju Kurung Merah Darah ini dimulakan dengan gambaran warna kurung, selendang dan kerudung yang dikaitkan dengan hati, janji dan kenangan.

Tidak terlalu payah bagi pembaca untuk mencari makna tersiratnya, bermula dengan stanza satu,

warna kurungku merah darah
disimbah dari hati yang kau tarah

penyajak sudah mengungkapkan bahawa ini persoalan hati yang terluka. Begitu juga dengan baris-baris seterusnya yang menggambarkan perasaan kecewa. Penggunaan ‘kau’ dan ‘aku’ menggambarkan dua insan yang menjadi penggerak persoalan.

Kau menghulur bunga kemboja
dari perkuburan cinta

Dalam dua baris ini, jika kita berbalik pada persoalan 'hati' tadi, dapat kita gambarkan bahawa cinta ‘kau’ memang telah ‘mati’. Ini boleh dilihat dengan penegasan 'kau' menghulur kemboja dari kubur. Bunga kemboja dan kubur adalah imej yang selari. Bahkan kemboja juga digelar 'bunga kubur'.

Sajak ditutup dengan,

Aku memilih untuk setia
Di Perkuburan cinta ini

di sini juga jelas bahawa ‘aku’ memilih untuk setia, walaupun cinta ‘kau’ sudah tiada.

Secara keseluruhan, sajak ini melukiskan imej yang terang. Setiap imej dan erti dibawakan penyajak dengan berhati-hati. Pembaca tidak akan menemui persoalan kontra yang mengganggu.

Tetapi, mungkin akan lebih menarik jika ‘kau’ tidak menghulur kemboja, sebaliknya menghulur bunga lain. Penyajak akan memberi satu harapan lain kepada pembaca bahawa cinta itu tidaklah mati sepenuhnya (mati separuh?). Kadang-kala unsur pertentangan boleh menjadikan sesebuah sajak lebih menarik.

p/s: Apa barang nak setia kalau betul-betul sudah mati. Cari pengganti saja. Hehehe


Komentar Cerpen Pabila Hujan Turun

Tinta mantan mpr 2006 pada 4/11/2009 07:08:00 PM

11 April 2009

KOMENTAR CERPEN: PABILA HUJAN TURUN
(NISSA' YUSOF)

Dewan Kosmik Februari 09

OLEH : AINUNL MUAIYANAH SULAIMAN

Ketika negara dalam suasana berkabung akibat kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, cerpen Nissa' Yusof, Pabila Hujan Turun yang disiarkan di Dewan KosmikFebruari 09 hadir tepat pada waktunya. Cerpen ini mengambil persoalan mengenai keserakahan manusia menjarah setiap inci bumi atas tiket pembangunan.

Plot cerita ini dipecahkan kepada 8 sub-plot dan berjalan selari tanpa teknik imbasan. Ceritanya dimulai dengan permasalahan mengenai pemerintah yang tidak endah dengan permasalahan mengenai alam sekitar. Nissa menulis tentang realiti sekarang di mana rancangan pembangunan dijana tanpa aras keseimbangan. Kemudian Nissa membawa penulis menyorot sikap keras kepala pemerintah yang kononnya melebihkan kepentingan ekonomi negara d dan tidak mengendahkan kepentingan menyeimbangkan dengan kesejahteraan alam sekitar. Walhal asas kepada pembentukan ekonomi yang kukuh adalah alam sekitar yang dijaga dengan baik seperti yang dinyatakan Nissa dalam petikan cerpennya

Keruntuhan monumen-monumen itu, ditambah dengan fenomena jerebu kritikal menjadikan negara bagaikan jatuh ditimpa tangga. Terlalu kritikal. Ekonomi pasti merudum jatuh kerana hilang kepercayaan pelabur luar.”

Konflik dimulai apabila monumen terpenting negara telah runtuh dan mendapat perhatian dunia. Maka secara fitrah manusia sudah terhantuk baru tengadah, maka Presiden mula mencari pegawai jabatan Alam Sekitar yang dahulu tidak diendahkan langsung nasihatnya dahulu. Kemudian, Presiden terus meletakkan pundak amanah untuk mencari penyelesaian kepada jabatan tersebut yang mana akhirnya mereka berjaya menemui penyelesaian setelah berpuluh-puluh eksperimen menemui kegagalan.

Cerpen Pabila Hujan Turun dilihat cuba membawa bahasa sastera ke dalam unsur sains.Nissa tidak menulis cerita saintifik tetapi menyuntik metafora-metafora dalam penceritaan sainsnya seperti

“Asid yang terkandung di dalamnya bagaikan junta tentera yang diarahkan membuat kemusnahan demi kemusnahan.”

Nissa juga menghuraikan proses kimiawi sains dalam bahasa yang mudah difahami. Cerpen Nissa Yusof selain daripada mengungkai permasalah mengenai masalah tanah runtuh tetapi juga hadir untuk membuktikan bahawa sains boleh di pelajari dalam bahasa kita dengan lebih mudah di celah-celah krisis isu PPSMI.

Nissa menamatkan ceritanya dengan positif dan harapan yang akhirnya presiden sedar dengan kesilapannya. Tetapi mungkin penamatnya menjadi sedikit menarik sekiranya Nissa menelitkan unsur-unsur dramatik dan sedikit realistik. Lantaran sehingga kini, harapan untuk melihat kesedaran mengenai kepentingan alam sekitar dalam masyarakat masih tipis terutamanya pembuat keputusan iaitu pihak kerajaan. Realitinya, Pejuang alam sekitar di negara ini masih tidak mendapat sokongan sepenuhnya daripada pihak atasan dan sentiasa menghadapi kesukaran untuk mendapatkan dana bagi memulihara alam sekitar

Penulis boleh dihubungi di http://birungu.wordpress.com