Cucuk-cucuk Jarum Peniti: Penyair Muda dan Plagiatrisme

Tinta jarum.peniti pada 12/13/2010 03:50:00 PM

13 December 2010

JP sungguh terkejut! Bila kawan JP khabarkan benda ini, JP benar-benar terkejut. JP kata takkanlah kan sampai begitu sekali. Tak mungkin. Tapi itulah yang berlaku. Bila kawan JP tunjukkan bukti, JP dah tidak boleh hendak sangkal apa-apa. Ya, ada seorang penyair muda meniru atau plagiat hampir 80% salah satu puisi seorang penyair yang pernah memenangi anugerah Sea Write Award.

Kalau setakat disiarkan di majalah kuntum atau surat khabar tidak mengapa, atau di blog, kawan JP kata, masih boleh maafkan. tapi kalau tercetak di buku pula bagaimana? Sudahlah pula tu buku yang melibatkan kerjasama antara dua negara.

JP faham, kalau kita suka pada satu-satu puisi kadang-kala siang malam teringat-ingat. Dan kadang-kala kita dipengaruhi puisi itu semasa menulis. Tetapi dipengaruhi dan plagiat memang dua perkara yang berbeza. Tidak mengapa mula-mula menulis dipengaruhi puisi sesiapa tetapi bukan plagiat. Plagiat itu kesalahan besar.

Dunia sastera kita ini kecil sahaja, pusing-pusing sekitar itu juga. Pusing-pusing jumpa puisi yang sama juga. JP harap moga-moga penyair muda yang baru hendak menulis, hindarkan plagiat dan tiru meniru. Kalau sudah tertangkap, haru!


Jarum Peniti: Nasi sudah menjadi bubur

Cucuk-cucuk Jarum Peniti: Rumah Siap Pahat Berbunyi (HSPM)

Tinta jarum.peniti pada 12/09/2010 11:37:00 AM

09 December 2010

Keputusan HSPM sudah diketahui, JP rasa sungguh berbangga melihat deretan nama-nama yang ada. Walaupun JP ada sedikit hairan melihat ada anugerah yang tiada pemenang. Sampai begitu tenatkah mutu sastera kita sampai tiada pemenang untuk kategori terbabit. Atau hasil karya sasterawan tempatan tidak sampai taraf selera penel penilai? Ha.. yang itu JP tidak tahu.

Kalau melihat kategori umur pula, JP lihat, penerima paling muda pun dalam lingkungan 25 tahun dan ke atas. Itupun kategori sajak. Cerpen dan novel, jauh panggang dari api. Kebanyakan pemenang merupakan otai dalam dunia sastera. Jadi, JP bisik pada rakan JP, perjalanan sasterawan muda kita masih jauh lagi. Lepas itu kawan JP bisik balik pada JP, kalau fikirkan bagaimana karya orang muda yang berjiwa muda dengan fikiran muda hendak dinilai oleh penel penilai yang berusia? Tentu mereka akan cenderung memilih karya yang dekat dengan diri mereka. JP diam sahaja. Isu ini sudah lama bangkit. Kalau tidak, takkan wujud pertentangan pemikiran Orang Muda dan Orang Tua semasa zaman 50-an. Tapi JP percaya, panel penilai yang dipilih adalah dari intan yang terpilih dan bukan sebarangan.

Biasalah bila mana-mana anugerah, mesti ada kes rumah siap pahat berbunyi. Barulah ada warna-warni sedikit dalam dunia sastera kan?

Jarum peniti: Tak pernah ketuk pahat.

Cucuk-cucuk Jarum Peniti: HSPM yang rahsia?

Tinta jarum.peniti pada 12/03/2010 11:47:00 AM

03 December 2010

Masa gosip hujung bulan November, keputusan HSPM akan keluar, ramai orang menunggu nama-nama pemenang diumumkan. Iyalah Hadiah Sastera Perdana Malaysia yang dua tahun sekali itu tentu sekali dinanti-nantikan. Sampai majlis, keputusan langsung tidak tembus akhbar, JP hairan juga. Perahsia sungguh penganjuran HSPM kali ini.

Dengar-dengar gosip juga, keputusan memang sengaja tidak mahu diumumkan awal-awal, khuatir nanti ada kejadian kecam mengecam serta mempertikaikan kewibawaan pemilihan pemenang. JP dengar-dengar sahaja. Betul atau tidak, JP tidak tahu.

Bagi JP, kalau pemilihan pemenang itu dilakukan dengan betul dan mengangkat siapa yang layak menang, tiada apa yang perlu ditakutkan dengan bunyi nyamuk-nyamuk itu hatta nyamuk Aedes sekali pun. Tetapi kalau sebaliknya, memang patut rasa gentar dan risau juga.

Kalau difikir memang patut pemilihan pemenang HSPM dibuat dengan teliti kerana pemenang HSPM selalu dijadikan tanda aras sastera Malaysia. Kalau tanda aras pun tenggelam timbul, susahlah sastera Malaysia nak sampai tahap Hadiah Nobel.

Apa-apa pun, tahniah kepada semua pemenang HSPM 2008/2009

Jarum Peniti: Terkilan tidak dapat makan sate kerana tak dapat datang ke majlis.