Pasca Seminar: Sebuah Pengalaman

Tinta Nissa' Yusof pada 11/24/2008 11:00:00 PM

24 November 2008

Salam.
Saya ke DBP siang tadi, untuk Seminar Kebangsaan Puisi Melayu Tradisional "Pantun, Syair Gurindam dan Nazam: Ketekalan Minda Melayu". Geng MPR yang ada, MF Kencana dan Azree Ariffin (MPR 2005) saja. Abang Ridzuan Harun datang sesi pagi dan petang pula ada Kak Salina Ibrahim.

Hari pertama ini ada ucap utama oleh SN Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh dan diikuti sesi pembentangan kertas kerja oleh Dr. Tenas Effendy dan ahli-ahli akademik yang lain. Sesi petang juga ada sambungan pembentangan kertas kerja.

Kami ke DBP bukan setakat hadiri seminar saja, malah macam-macam lagi yang kami dapat. Jumpa ramai penulis-penulis hebat, salah satunya. Saya sempat bercakap dengan Dr. Zurinah Hassan dan kami beberapa kali 'mengejar' SN Muhammad Haji Salleh, tapi apabila beliau lalu di depan mata, masing-masing jadi kelu tak boleh bercakap.

Dalam asyik 'mengejar' SN, sempat tegur Bonda Ani (Editor Tunas Cipta), akhirnya kami ikut bonda ke bahagian majalah dan berbincang macam-macam. Senang-senang saja dapat nasihat percuma (dan barang percuma juga) dari editor-editor, antara yang sempat kami jumpa editor Dewan Siswa, Dewan Budaya dan Dewan Sastera. Bolehlah buat 'ubat' tak sempat bertemu SN. Habis di meja bonda, kami ke tingkat 22 untuk urusan lain. Klimaks catatan ini adalah semasa kami turun dari tingkat 22 untuk ke surau, dalam perjalanan turun (tak pasti tingkat berapa) lif berhenti dan yang masuk adalah SN Muhammad Haji Salleh seorang. Jadi dalam lif tersebut ada kami berempat, saya, Azree, Fairuz dan SN. Kali ini memang kami tak lepaskan peluang, kami perkenalkan diri daripada MPR dan pelawa beliau bergambar. Terus kami turun ke tingkat bawah dan bergambar dan beliau melayan kami bersembang juga. Saya minta beliau beri nasihat, banyak sekali tunjuk ajar yang diberi. Salah satunya, bacalah karya-karya luar, dari Brazil, Amerika Latin dan Indonesia, contohnya. Setelah puas hati, barulah kami kembali naik lif ke surau.

Sengaja saya bercerita panjang-lebar dengan tujuan membuatkan orang yang tak hadir cemburu. Hehe. Seperti biasa, bukanlah namanya bertemu mantan MPR kalau tidak bergambar. Ada banyak lagi gambar-gambar menarik, antaranya pose sporting dengan Bonda Ani dan Puan Rozninah (Editor Dewan Sastera) tapi dalam kamera yang lain. Mungkin akan diupload dalam blog rasmi MPR nanti.

Jejaka MPR: MF Kencana, Azree Ariffin, Ridzuan Harun

Bersama Bonda Ani di bahagian majalah

Bersama SN Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh, gambar ini sedikit bergoyang dan kabur. Memang kecewa, tapi tak dapat menandingi kesempatan berbual dengan beliau. Di sebelah kiri itu dua orang staf DBP. Kata SN, "saya nak bergambar dengan semua yang ada, mereka pun 'orang' DBP juga".

Nissa' Yusof, Kak Salina Ibrahim, Bonda Ani dan MF Kencana sedang serius berbincang selepas tamat sesi hari pertama. Selepas bonda Ani dan Kak Salina beredar, kami bertiga (termasuk Azree yang mengambil gambar) sambung berborak panjang dan berbincang tentang gagasan-gagasan idea tersendiri untuk karya masing-masing dan skrip MF Kencana. Ya, kami adalah yang pertama masuk ke dewan banquet (sebelum sesi tamat lagi) dan kami jugalah yang terakhir keluar.

Tarrraaa!!! ini Tunas Cipta edisi Disember. Di kedai pun belum keluar lagi. Tahniah kepada tiga orang jelitawan MPR 2006 yang karya mereka tersiar bulan Disember. Siapa? Suprise...

Untuk bercerita tentang puisi Melayu tradisional, terlalu banyak. Sepanjang di dalam dewan memang kami terbuai dengan gurindam dan syair. Memetik kata SN Muhammad Haji Salleh, tanpa puisi tradisional ini, kita hanyalah bangsa yang meminjam-minjam.

Dalam pembuka bicara Pak Tenas untuk pembentangan bertajuk 'Gurindam Sebagai Tunjuk Ajar Melayu', beliau berkata:
dalam syair banyak pemikir
dalam pantun banyak penuntun
dalam gurindam banyak faham
dalam hikayat banyak ibarat

1 komen:

ainunl.muaiyanah said...

jelitawan~ aduhai. terima kasih nissa