ANTOLOGI MPR 2006

Tinta Nissa' Yusof pada 1/29/2009 07:43:00 PM

29 January 2009

Salam,
berkenaan perancangan antologi MPR 2006,

jangan lupa hantar karya-karya kepada sesiapa yang berkenaan sebelum akhir Februari nanti.

Kalau ada sesiapa mantan MPR 2006 yang tidak mendapat sebarang maklumat boleh hubungi saya segera, atau tanyalah kepada rakan-rakan yang lain. Cuma bimbang kalau-kalau emel yang dihantar adalah kepada alamat yang tidak aktif.

Jom antologi!


Nissa'

MAJLIS DISKUSI KARYA MANTAN MPR 2009

Tinta Nissa' Yusof pada 1/08/2009 09:53:00 PM

08 January 2009

Majlis Diskusi Karya Mantan Minggu Penulis Remaja (MPR) kembali lagi. Majlis kali ini akan diadakan dengan kerjasama Alumni Minggu Penulis Remaja dan Bahagian Pengembangan Sastera Kebangsaan, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pihak Alumni Minggu Penulis Remaja (MPR) dengan sukacitanya menjemput semua ahli kelab alumni, para penulis, pembaca, penelaah, pemerhati, peminat dan pencinta ilmu sastera tanah air untuk menghadiri majlis ini.

Tarikh: 17 Januari 2009 (Sabtu)
Jam: 8.30pagi - 12.30tghari
Tempat: Dewan Seminar, Aras 2, Menara DBP
Tema Pakaian Mantan : MERAH

Sesi 1

Diskusi puisi eceran dibicarakan oleh Professor Rahman Shaari

Karya-karya yang akan didiskusikan:
1. SESUMPAH – FIRDHAUS HASSAN (Tunas Cipta April 2008)
2. DI TEDUHAN SEBUAH POHON KEMERDEKAAN – NISSA' YUSOF (Mingguan Malaysia)
3. DOA YANG BUNGKAM – AZREE ARIFFIN (Mingguan Malaysia)
4. GURINDAM DAMBAAN INSANI – NOR AFIQAH BINTI MOHD SIDEK (Berita Minggu)
5. PELANGI INDAH DI LANGIT BIRUMU – FARAHANA HUSSEIN (Al-Islam)
6. PENOMAD CINTA – NURUL 'IZZAH ZAINOL (Berita Minggu)
7. HUJAN PAHALA II – ZAKI JOHARI ( Berita Harian)
8. MERINDUIMU – ODE (Berita Minggu)
9. MARSUM RALAT DARIPADA AL-AZIZ – NASRIAH ABDUL SALAM (Mingguan Malaysia)
10. MERDEKAKAN HATIMU – AINUNL MUAIYANAH SULAIMAN (Tunas Cipta)


Diskusi cerpen eceran dibicarakan oleh Dr Mawar Shafie

Karya-karya yang akan didiskusikan:
1. GERAI PISANG GORENG ABAH - AINUNL MUAIYANAH SULAIMAN (Tunas Cipta)
2. KERETA PUNYA ANGKARA – AIDIL KHALID (Tunas Cipta)
3. MAHAKARYA SEORANG PIDANA – ZULFAZLAN JUMRAH (Tunas Cipta)
4. SRENGENGE - NAI BOON MEE SARARAKS (Tunas Cipta)
5. INFILTRASI GALAKSI – M.F KENCANA (Tunas Cipta)
6. KERANA AKU BUKAN RABIATUL ADAWIYAH – SAYIDAH MU'IZZAH KAMARUL SHUKRI (Tunas Cipta)
7. SKIZOFRENIA – AZREE HANIFIAH (Tunas Cipta)
8. TUAH DAN KUCING PUTIH – MUHAMAD TARMIZE MOHD NOR (Tunas Cipta)
9. TENGGELAM DALAM KEREDHAAN – NABIHA M. MASHUT (Tunas Cipta)
10. TERIMA KASIH UNTUKMU – HANI SALWAH YAAKUP (Tunas Cipta)
11. BEZA DUA WAJAH – SAPIAH BT DERAHMAN (Antologi Palestin)

Antologi cerpen KACAK JELITA dibicarakan oleh Encik S.M.Zakir


Sesi 2

Novel BUKAN YANG PERTAMA karya Salina Ibrahim
dibicarakan oleh Dr Rosnah Baharudin

Kumpulan cerpen ESPRIT DE CORPS karya Nimoiz T.Y
dibicarakan oleh Dr Amida Abd Hamid

Kumpulan cerpen UJANA RINDU karya Mohd Ashadi Saiman & Siti Hajar Mohd Zaki
dibicarakan oleh Dr Kamariah Kamaruddin


Sebarang persoalan, sila ajukan ke emel: aktivitimpr@gmail.com

Pasca Seminar: Sebuah Pengalaman

Tinta Nissa' Yusof pada 11/24/2008 11:00:00 PM

24 November 2008

Salam.
Saya ke DBP siang tadi, untuk Seminar Kebangsaan Puisi Melayu Tradisional "Pantun, Syair Gurindam dan Nazam: Ketekalan Minda Melayu". Geng MPR yang ada, MF Kencana dan Azree Ariffin (MPR 2005) saja. Abang Ridzuan Harun datang sesi pagi dan petang pula ada Kak Salina Ibrahim.

Hari pertama ini ada ucap utama oleh SN Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh dan diikuti sesi pembentangan kertas kerja oleh Dr. Tenas Effendy dan ahli-ahli akademik yang lain. Sesi petang juga ada sambungan pembentangan kertas kerja.

Kami ke DBP bukan setakat hadiri seminar saja, malah macam-macam lagi yang kami dapat. Jumpa ramai penulis-penulis hebat, salah satunya. Saya sempat bercakap dengan Dr. Zurinah Hassan dan kami beberapa kali 'mengejar' SN Muhammad Haji Salleh, tapi apabila beliau lalu di depan mata, masing-masing jadi kelu tak boleh bercakap.

Dalam asyik 'mengejar' SN, sempat tegur Bonda Ani (Editor Tunas Cipta), akhirnya kami ikut bonda ke bahagian majalah dan berbincang macam-macam. Senang-senang saja dapat nasihat percuma (dan barang percuma juga) dari editor-editor, antara yang sempat kami jumpa editor Dewan Siswa, Dewan Budaya dan Dewan Sastera. Bolehlah buat 'ubat' tak sempat bertemu SN. Habis di meja bonda, kami ke tingkat 22 untuk urusan lain. Klimaks catatan ini adalah semasa kami turun dari tingkat 22 untuk ke surau, dalam perjalanan turun (tak pasti tingkat berapa) lif berhenti dan yang masuk adalah SN Muhammad Haji Salleh seorang. Jadi dalam lif tersebut ada kami berempat, saya, Azree, Fairuz dan SN. Kali ini memang kami tak lepaskan peluang, kami perkenalkan diri daripada MPR dan pelawa beliau bergambar. Terus kami turun ke tingkat bawah dan bergambar dan beliau melayan kami bersembang juga. Saya minta beliau beri nasihat, banyak sekali tunjuk ajar yang diberi. Salah satunya, bacalah karya-karya luar, dari Brazil, Amerika Latin dan Indonesia, contohnya. Setelah puas hati, barulah kami kembali naik lif ke surau.

Sengaja saya bercerita panjang-lebar dengan tujuan membuatkan orang yang tak hadir cemburu. Hehe. Seperti biasa, bukanlah namanya bertemu mantan MPR kalau tidak bergambar. Ada banyak lagi gambar-gambar menarik, antaranya pose sporting dengan Bonda Ani dan Puan Rozninah (Editor Dewan Sastera) tapi dalam kamera yang lain. Mungkin akan diupload dalam blog rasmi MPR nanti.

Jejaka MPR: MF Kencana, Azree Ariffin, Ridzuan Harun

Bersama Bonda Ani di bahagian majalah

Bersama SN Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh, gambar ini sedikit bergoyang dan kabur. Memang kecewa, tapi tak dapat menandingi kesempatan berbual dengan beliau. Di sebelah kiri itu dua orang staf DBP. Kata SN, "saya nak bergambar dengan semua yang ada, mereka pun 'orang' DBP juga".

Nissa' Yusof, Kak Salina Ibrahim, Bonda Ani dan MF Kencana sedang serius berbincang selepas tamat sesi hari pertama. Selepas bonda Ani dan Kak Salina beredar, kami bertiga (termasuk Azree yang mengambil gambar) sambung berborak panjang dan berbincang tentang gagasan-gagasan idea tersendiri untuk karya masing-masing dan skrip MF Kencana. Ya, kami adalah yang pertama masuk ke dewan banquet (sebelum sesi tamat lagi) dan kami jugalah yang terakhir keluar.

Tarrraaa!!! ini Tunas Cipta edisi Disember. Di kedai pun belum keluar lagi. Tahniah kepada tiga orang jelitawan MPR 2006 yang karya mereka tersiar bulan Disember. Siapa? Suprise...

Untuk bercerita tentang puisi Melayu tradisional, terlalu banyak. Sepanjang di dalam dewan memang kami terbuai dengan gurindam dan syair. Memetik kata SN Muhammad Haji Salleh, tanpa puisi tradisional ini, kita hanyalah bangsa yang meminjam-minjam.

Dalam pembuka bicara Pak Tenas untuk pembentangan bertajuk 'Gurindam Sebagai Tunjuk Ajar Melayu', beliau berkata:
dalam syair banyak pemikir
dalam pantun banyak penuntun
dalam gurindam banyak faham
dalam hikayat banyak ibarat

Ahli keluarga baru Kak Nisah

Tinta Nissa' Yusof pada 10/19/2008 04:11:00 PM

19 October 2008

Kak Nisah Haron yang merupakan salah seorang mentor kita telah selamat melahirkan bayi lelaki seberat 3.75 kilogram pada 4.12 petang, 18 Oktober 2008.

Tahniah kepada Kak Nisah dan Abang Shukri sekeluarga untuk kehadiran hero ini.

Kutipan Karya Eceran untuk DIskusi III Mantan MPR

Tinta Nissa' Yusof pada 9/13/2008 06:58:00 PM

13 September 2008

Selepas Majlis Diskusi Karya Novel & Kumpulan Puisi MPR 2008 yang telah berjaya diadakan pada 2 Ogos yang lepas, pihak urusetia dengan ini sedang dalam proses untuk mengadakan sebuah lagi Majlis Diskusi MPR pada hujung tahun ini yang akan melibatkan perbincangan Kumpulan Cerpen dan Karya Eceran (Puisi/Cerpen).


Justeru, pihak urusetia dengan ini ingin membuka peluang kepada mantan MPR 2000-2007 untuk menghantar karya eceran anda sama ada cerpen atau puisi untuk dibicarakan pada majlis diskusi tersebut. Karya anda itu haruslah pernah tersiar di mana-mana media seperti majalah dan akhbar (terutamanya terbitan Dewan Bahasa & Pustaka) sepanjang tahun 2007 dan 2008 serta meliputi pelbagai tema dan persoalan.

Anda boleh menghantar sebanyak mana pun karya kepada pihak urusetia, namun hanya satu karya sahaja daripada seorang penulis akan dipilih untuk dibicarakan untuk sesebuah genre. Senarai karya yang akan dibicarakan akan diumumkan kemudian oleh pihak urusetia. Penghantaran karya bolehlah diemelkan ke aktivitimpr[AT]gmail[DOT]com. Sila hantar karya anda sebelum 15 Oktober 2008.

Maka, apa lagi yang ditunggu? Jom hantar karya kita beramai-ramai. Jika ada rezeki, bolehlah sama-sama belajar daripada karya masing-masing. Melihat kepada tarikh akhirnya 15 Oktober, ada kira-kira sebulan lagi, masih sempat untuk hantar karya ke akhbar :)
-Nissa' Yusof

Tuntutan komersial vs sastera

Tinta Nissa' Yusof pada 9/12/2008 12:21:00 AM

12 September 2008


TUNTUTAN komersial dan tanggungjawab sosial untuk menerbitkan ruangan sastera di media cetak sering menjadi isu diperdebatkan sehingga memperlihatkan dua pihak bertentangan pendapat bersifat ekstrim dan mungkin tidak ada titik pertemuan antara mereka.

Pihak mementingkan komersial beranggapan ruangan sastera tidak menarik khalayak pembaca kerana memuatkan rencana dan karya sukar difahami serta bertumpu pada satu kelompok, manakala penulis serta peminat sastera terperangkap dalam nostalgia kejayaan Angkatan Sasterawan 50 (Asas 50) sehingga mahukan akhbar diterbitkan berdasarkan cita rasa mereka.

Baca lagi di laman web Berita Harian

Mungkin anda ada pendapat tersendiri?

Ucapan Merdeka Mantan MPR

Tinta Nissa' Yusof pada 8/31/2008 12:16:00 AM

31 August 2008


Sila klik imej untuk saiz besar.


Sumber: Blog Rasmi MPR

Diskusi Selesai

Tinta Nissa' Yusof pada 8/03/2008 02:51:00 PM

03 August 2008



Al-Fatihah Untuk Allahyarham SN S. Othman Kelantan

Tinta mantan mpr 2006 pada 8/01/2008 08:19:00 PM

01 August 2008

Semalam 31 Julai 2008 kira - kira 1145 malam adalah saat menyedihkan buat seluruh rakyat Malaysia terutamanya buat mereka yang terlibat dalam dunia penulisan dan sastera dengan pemergian Allahyarham SN. S Othman Kelantan ke pangkuan Allah Taa'la. Bersama kita sedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarham.

Saya menyelak surat khabar agak lewat hari-hari ini kerana urusan-urusan lain di Universiti dan saya sangat terkejut apabila membaca tentang pemergian Allahyarham. Sesungguhnya ajal maut di tangan tuhan dan semua orang sedar hal ini. Dunia sastera Malaysia kehilangan satu lagi permata berharga, tetapi itu semua dengan kehendak Allah jua.

Mudah-mudahan karya-karya Allahyarham akan menjadi sumber amal jariah untuknya di akhirat kelak.

Al-Fatihah..

DISKUSI NOVEL & KUMPULAN PUISI MANTAN MPR, 2008

Tinta Nissa' Yusof pada 7/22/2008 06:26:00 PM

22 July 2008

Dengan sukacita memaklumkan, Alumni Minggu Penulis Remaja akan mengadakan satu majlis Diskusi Novel dan Kumpulan Puisi Mantan Minggu Penulis Remaja, 2008. Anda dipelawa menghadiri majlis tersebut untuk memeriahkan lagi satu majlis wacana ilmiah dan sastera Melayu. Butirannya seperti berikut;


TARIKH: 2 OGOS 2008
HARI : SABTU
WAKTU : 8 PAGI
TEMPAT: DEWAN BAHASA & PUSTAKA, KUALA LUMPUR
BAYARAN: PERCUMA

BUKU YANG AKAN DIBICARAKAN:

SESSI PERTAMA (NOVEL)

- MANIKAM KALBU (Faisal Tehrani),
akan dibicarakan oleh En. Saleeh Rahamad

- PUISI UNTUK ESDYZUAR (Nisah Hj. Haron),
akan dibicarakan oleh Prof. Madya Dr. Faridah Jalil, UKM

- SALJU SAKINAH (Zaid Akhtar),
akan dibicarakan oleh Dr. Rahmah Ahmad H. Osman, UIAM

(dipengerusikan oleh Khairul Nizam Abd. Raub)

SESSI KEDUA (KUMPULAN PUISI)

- TAMAN PERCAKAPAN (Shamsuddin Othman),
akan dibicarakan oleh Prof. Arbak Othman, UPM

- MENGGELEDAH NURANI (Fahd Razy),
akan dibicarakan oleh En. Naapie Mat.

- SULUK CINTA (Ridzuan Harun),
akan dibicarakan oleh En. S.M Zakir

(dipengerusikan oleh Salman Sulaiman)

Kedatangan anda kami alu-alukan dan inilah masanya untuk anda (warga pembaca dan pemerhati sastera) untuk bertemu dengan penulis-penulisnya sendiri. Jumpa di DBP, nanti!

NOTA: pihak urusetia meminta warga mantan Minggu Penulis Remaja hadir beramai-ramai ke majlis ini. Untuk mantan wanita, pihak urusetia meminta agar anda mengenakan pakaian berwarna merah jambu, serta mantan lelaki mengenakan pakaian berwarna perang/coklat. (moga mantan-mantan sporting dengan urusetia, ya!)
* Sila pautkan ke blog anda dan jemput rakan-rakan anda sekali. Harap maklum, terima kasih.