Cucuk-cucuk Jarum Peniti : Jamuan tanpa orang??

Tinta Anonymous pada 10/04/2010 04:06:00 PM

04 October 2010

Hujung minggu, JP sempat pergi ke rumah Tinta. Ada jamuan makan-makan bersama orang sastera, semi sastera, penggiat seni serta rakan taulan dan keluarga. Kalau bab makan, JP pantang sekali. Mesti pergi.

Ramai orang yang JP nak jumpa hari itu, tapi tak berjaya sebab ramai yang tak datang. Hairan JP. Eh, pihak penganjur tak buat promosi atau jemputan kah?

Semasa sidang mesyuarat tingkap, JP curi-curi dengar keluhan penganjur, buat majlis diskusi pun tak ramai datang, buat majlis makan-makan tanpa bayar pun tak ada orang datang juga ke? JP angguk-angguk sambil kunyah roti jala yang sedap dengan kuah kari berisi kerang dan ayam.

Yalah, JP faham. Mereka buat majlis ini dengan titik peluh tak berbayar. Buat dengan hati dan kasih sayang pada dunia sastera. Mungkin ada yang mahu dijemput dengan ala-ala urusan rasmi paduka baginda, kalau tidak tak mahu mencemar duli. Manalah pihak penganjur punya masa. Mereka juga terikat dengan komitmen hidup yang lain.

Tapi JP juga faham. Disela-sela banyaknya jemputan rumah terbuka dan majlis kenduri kahwin sana-sini, manalah orang punya masa nak hadir jamuan makan tak berbayar di rumah tinta nun jauh di KL dan tersorok di balik rimbun pokok.

JP harap yang tidak dapat hadir benar-benar kerana sibuk bukan kerana mahu menjauhkan diri dan melupakan kawan-kawan atas sebab-sebab peribadi dan tidak peribadi.

Jarum Peniti : Tidak dapat lupa keenakan kek lobak di rumah Tinta tempoh hari.

Cucuk-cucuk Jarum peniti : Mahalnya Dana Menara Lontar?

Tinta Anonymous pada 9/24/2010 01:08:00 AM

24 September 2010

Semalam masa makan-makan dengan wartawan cabuk sastera, JP terdengar mereka merungut betapa susahnya hendak minta tajaan daripada menara lontar. Maklumlah menara lontar merupakan tempat bergantung harap untuk menggerakkan sastera di negara ini. Jadinya wartawan ini ingin bergantung harap untuk membuat program perhimpunan sastera. Namun hasilnya hampa. Menara lontar tidak mahu membantu atau menyumbang dana. terkial-kial lah wartawan ini mencari dana.

JP pun jadi hairan, bukankah menara lontar mendapat banyak dana daripada kerajaan ke? Takkan majlis kecil-kecilan pun menara lontar tak nak taja. Takkan selamanya mahu anjur majlis besar-besar dengan bunga api bagai, jemput artis-artis dan majlis kecil-kecil dengan orang-orang yang kecil, hanya pandang sebelah mata.

Atau menara lontar sudah tiada duit? Tapi timbul pula soalan, mana pula perginya duit-duit yang diperuntukkan itu semua?

Jarum peniti : Jarum peniti main lontar di padang saja.

Cucuk-cucuk Jarum Peniti : Sastera itu Berat?

Tinta Anonymous pada 9/22/2010 03:23:00 PM

22 September 2010

Arkian, jarum peniti terdengar khabar semasa Dialog untuk Orang-orang Muda (terlebih muda??), ada orang kita mengeluh dan terduduk. Dia terpinga-pinga kerana menurutnya 'Apa Itu Sastera?' . Bertahun-tahun tidak hadir majlis sastera, bila datang, terduduk dan terpinga. Dia merasakan sastera itu sangat ekslusif dan berat.


Mahu merakyatkan sastera untuk golongan marhaen tetapi perbincangan tidak mesra pendengar dan sekejap ke laut, sekejap ke darat? Macam mana itu? Jadi apa maknanya sastera dan sastera hanya untuk orang tertentu sahajakah?

Kalau begitu, Jarum Peniti rasa sampai bila-bila pun sastera negara kita tidak akan maju kalau masih memberatkan sastera untuk orang-orang tertentu dan menjadi alien di kalangan pengikut sastera sendiri.


Jarum peniti : Sebelum pergi majlis sastera, harus pergi praktis angkat berat.



Resensi - Novel Gerhana

Tinta ainunL muaiyanah pada 9/01/2010 09:39:00 PM

01 September 2010

Oleh: Ainunl Muaiyanah


Judul : Gerhana
Penulis : M.F. Kencana & Nissa’ Yusof
Rumah Penerbitan : PTS Fortuna
Harga : RM13.50

Novel Gerhana hadir sebagai novel sai-fi sewaktu sastera kita masih kekurangan novel-novel sebegini. Secara peribadi, saya tidak cenderung menyukai novel sai-fi kerana novel-novel sai-fi selalunya menghalalkan unsur-unsur kurang logik atas tiket sains, kreativiti dan imaginasi. Saya boleh menerima imaginasi dan sains, malah saya menyukai cerita Star Wars, Back To The Future, Transformers, namun ada kalanya pengarang sering kali dilihat berlebih-lebihan sehingga menimbulkan keraguan dan mengganggu pembacaan saya.

Namun, menyusur 158 halaman novel Gerhana, saya menemui keseronokan dalam membacanya. Sebagai seorang yang pernah berobsesi dengan buruj, zodiak, bintang, astronomi suatu ketika dahulu (gara-gara memasuki kuiz angkasa lepas semasa sekolah rendah), maka mulanya saya sedikit berjaga-jaga jika novel ini merupakan syarahan astronomi kepada saya namun sangkaan saya jauh tersasar.

Gerhana menemukan kita dengan watak Iman Muhaimin, mahasiswa tahun akhir jurusan astronomi (adakah di Malaysia, jurusan itu? maka imaginasi bermula) yang ingin mengkaji Gerhana Matahari Anulus atau gerhana cincin sebagai tesis tahun akhirnya. Semasa membuat penyelidikan di pangsapurinya, tanpa diduga satu letupan berlaku dan sewaktu sedarkan diri, dia bertemu seseorang yang serupa dirinya iaitu Zikri. Di sinilah konflik dan plot-plot terjalin. Lelaki yang serupa dengannya ialah Zikri yang datang daripada tahun 2100, 90 tahun ke hadapan yang tertarik ke dalam satu lubang (galaksi??) semasa gerhana anulus berlaku.

Iman memperoleh kuasa haba manakala Zikri punya kuasa luar biasa. Awas, ini bukan filem super-hero. Lepas dapat kuasa, tiba-tiba ada kuasa jahat dan perlu jadi penyelamat dunia. Bukan sama sekali. Ini kisah pencarian dan penyiasatan di sebalik kejadian aneh gerhana anulus. Kebetulan, Iman merupakan pelajar tahun akhir yang sedang menyiapkan tesis tahun akhir dan Zikri pula sememangnya berminat mengkaji teori kerelatifan masa di zamannya. Selepas kejadian itu, mereka saling bertukar fikiran, teori dan pengetahuan untuk membalikkan situasi kepada keadaan asal. Oleh kerana, kuasa haba yang diperoleh Iman menyebabkan dia jatuh sakit dan lemah, mereka harus pantas memikirkan cara supaya Zikri kembali ke zamannya. Mujur sahaja, penyelia tesis Iman, Dr Amatine merupakan mereka yang percaya pada keajaiban dunia astronomi dan sama-sama membantu Iman dan Zikri untuk mencari penyelesaian masalah mereka.

Jalinan antara sains dan ceritanya sangat menarik sekali. Ada kalanya apabila membaca sai-fi, pengarang selalu sahaja menggunakan lesen sai-fi untuk berlebih-lebihan dalam bercerita serta seolah-olah tidak berpijak di bumi nyata, namun di dalam novel Gerhana, setiap yang di imaginasi pada zaman 2100 adalah berdasarkan teori-teori sekarang seperti kesan pemanasan global di masa sekarang akhirnya mengakibatkan pulau-pulau kecil tenggelam ketika tahun 2100. Penerokaan planet baru, kenderaan yang memanipulasi kuasa graviti. Sebagai seseorang yang terdidik dengan disiplin sains, saya jadi teruja apabila teori-teori dan info sains tidak disampaikan dengan kosong tetapi membantu perjalanan plot dan cerita di dalam novel Gerhana. Itulah kekuatan novel Gerhana.

Walaupun ada sentuhan cinta (fitrah, kalau lelaki dan perempuan mesti ada unsur tertarik kan?), namun disampaikan dengan sederhana seperti menambahkan rencah sebagai penyedap rasa tanpa menghilangkan rasa sebenar hidangan cerita ini.

Namun, sayangnya novel yang menarik ini terdapat banyak juga typing-error sehingga bacaan saya sedikit terganggu. Malah kadang kala ada pertukaran nama watak, seperti dalam m/s 22 dimana sepatutnya nama wataknya Wana tetapi ditulis sebagai Syifa. Adakala juga watak Syifa menjadi Shifa. Disebabkan novel sai-fi yang menonjolkan pertukaran zaman dan watak-watak yang celaru identiti, maka kesalahan-kesalahan pertukaran nama watak ini membuatkan imaginasi saya sedikit terencat. Mood pembacaan terjejas sedikit sebanyak. Saya berharap pihak editor dan rumah penerbitan mengambil pertimbangan perkara ini.

Bacalah novel Gerhana yang sederhana, manis, penuh info astronomi dan menguja ini. Oh ya, pasti selepas ini anda pun mahu mendalami ilmu kaji bintang selepas membaca novel ini.


entri penuh boleh dibaca di blog Ainunl Muaiyanah.

Gerhana

Tinta Nissa' Yusof pada 8/27/2010 07:14:00 AM

27 August 2010

Alhamdulillah, selepas Zulfazlan, Nissa' dan MF Kencana menyusul dengan novel terbaru terbitan PTS Fortuna bertajuk Gerhana. Novel sains fiksyen ini berkisar tentang pertembungan dua zaman pada satu titik takdir.


Harga: RM 13.50 / RM 15.50
ISBN-13: 978-967-5136-63-4
Penerbit: PTS Fortuna

Sinopsis:

Tanpa siapapun menduga, kejadian gerhana anulus telah memporak-perandakan kehidupan dua insan. Iman Muhaimin dan Zikri Hussein; dua dunia, dua jiwa, dua kuasa yang bertembung pada satu takdir.


p/s: boleh hubungi Nissa' jika mahu membeli terus daripada penulis :)

Chronicle Alam Epsilon

Tinta Nissa' Yusof pada 7/17/2010 11:34:00 PM

17 July 2010

Sudah terbit. Sebuah novel fantasi karya Zulfazlan Jumrah. Novel pertama mantan MPR 2006 terbitan PTS. Mari sama-sama menyokong hasil karya masing-masing.

Harga: RM 13.50 / RM 15.50
ISBN-13: 978-967-5136-56-6
Penerbit: PTS Fortuna

Sinopsis:

Harris Iskandar dan Qistina terdampar di Epsilon, sebuah planet berlangit jingga apabila kenderaan angkasa mereka mengalami komplikasi. Di Epsilon, peperangan di antara Kerajaan Harimau Ais dan puak manusia Lapuerto yang berlaku setiap 100 tahun sekali, bakal meletus. Mereka berdua diramalkan menjadi penyelamat dunia itu. Dengan menunggang helang berkepala singa dan harimau berekor lembing yang selalu berbunyi, "Aum! Aum!" mereka dengan berani menceburkan diri dalam peperangan.

KAFE FILOSOF FIKIR

Tinta Nissa' Yusof pada 12/23/2009 10:01:00 PM

23 December 2009


sudah di(pra)lancarkan di Perhimpunan Alumni MPR 1, 2009.


nantikan ... Februari 2010.

KRITIKAN TERHADAP PUISI "MERDEKALAH HATIKU"

Tinta mantan mpr 2006 pada 8/06/2009 01:08:00 AM

06 August 2009

Kritikan terhadap puisi “Merdekalah Hatiku” ini tercipta apabila saya diminta sendiri oleh penyair tersebut untuk membuat satu kritikan terhadap puisinya yang tersiar di Mingguan Malaysia pada 6 Jun 2009 melalui satu perbualan telefon yang panjang. Permintaan ini pada saya tidak lebih daripada satu inisiatif untuk memantapkan diri saya yang sedang berjinak-jinak dengan dunia kritikan sastera dan satu medan pemula untuk menyemarakkan dunia kritikan meski kritikan ini tidak disiarkan di mana-mana jurnal. Namun, saya percaya, usaha kecil ini sedikit banyak akan memberikan impak yang mendalam terhadap perkembangan dunia kritikan, memeriahkan dunia kesusasteraan dan bidang sastera kelak tidak akan hanya dilihat sebagai bidang ‘syok sendiri’, kerana ada usaha untuk memartabatkannya melalui cara sebegini.

CITRA ALEGORI DAN PERMAINAN DIKSI DALAM PUISI “MERDEKALAH HATIKU”
Oleh: Zulfazlan Jumrah


Menanggapi puisi “Merdekalah Hatiku” karya Ainul Muaiyanah Sulaiman membuka satu dimensi segar terhadap diksi-diksi yang digunakan dalam pembinaan puisi ini. Konsep perlambangan yang menunjangi puisi ini memperlihatkan satu citra alegori dalam setiap pemilihan katanya. Menurut Ramli Isin (2007: 3) alegori membawa maksud gaya penyampaian puisi melalui unsur bahasa perbandingan dan sindiran. Gagasan atau isi lazimnya mengandungi nilai-nilai moral tentang kehidupan.
Berdasarkan konteks ini, di sinilah terletaknya kekuatan penyair dalam membiaskan gagasan dan pengalaman hidupnya menjadi baris-baris puisi yang menerapkan unsur perbandingan dan sindiran. Perhatikan baris ke 5-7 dalam puisi ini:

Mereka lasykar-lasykar nihil
Wujud di hadapan
Merembeskan kata-kata


Penyair bijak mewujudkan unsur paradoks pada baris-baris ini. Lasykar yang seharusnya mempunyai semangat pejuangan yang membara digambarkan sebagai nihil (kosong dan tidak mempunyai apa-apa), namun lasykar itu dilihat masih mahu wujud dibarisan hadapan dengan melontarkan kata-kata retorik. Di sini, unsur alegori itu jelas kelihatan kerana penyair menyindir pihak yang kononnya mendabik dada sebagai ketua, tetapi hakikatnya mereka itu ‘kosong’.

Penyair juga biak menyelar pihak terbabit yang dilihat sebagai penindas dan perampas hati penyair apabila membuka satu gelanggang permainan diksi dengan menyifatkan mereka bacul untuk berhadapan dengan semangat penyair, tetapi tiba-tiba bersifat berani pula apabila dalam diam cuba menghapuskan semangat itu. Lihat baris 9-13:

Semakin aku menyeru mahu bebas
Semakin mereka memolekulkan jasad mereka
Roh mereka menyatu satu per satu
Wujudnya mereka dengan hapusnya aku
Hapusnya aku untuk wujudnya mereka


Unsur anafora (pengulangan perkataan pada awal baris puisi) dan epifora (pengulangan perkataan pada akhir baris puisi) juga dilihat bukan sekadar penyusunan kata yang disengajakan, tetapi memperlihatkan betapa penyair cukup tegas menegakkan pendiriannya untuk berhadapan dengan pihak yang cuba membelenggunya. Diksinya cukup mudah, tetapi cukup untuk memperlihatkan ketegasan penyair dengan prinsip yang dipegangnya. Hal ini dapat dilihat pada baris ke-21 hingga 30:

Anafora
Epifora

Warna-warna yang menyerak
memantulkan garisah-garisah cahaya
cahaya untuk menemui mereka
cahaya untuk menemuiNya

Tuhan!!!
telah aku memerdekakan hatiku
telah aku katakan kepada mereka yang merasuk akalku
Aku masih bertuhan
Tuhanku adalah Tuhan!
Tuhanku bukanlah mereka!

Jika diperhatikan, unsur gaya bahasa anafora (berhuruf gelap) dan epifora (berhuruf miring) tidak sekadar menampakkan penggunaan unsur gaya bahasa secara lahiriah sahaja, tetapi lengkap dengan pemilihan diksi yang tepat, tegas dan menyampaikan pendirian penyair yang tegas terhadap apa yang dipercayainya (Tuhan). Di sini juga, unsur gaya bahasa alegori dapat dilihat pada baris ke-29 dan 30, apabila penyair menyindir pihak yang cuba membelenggu perasaan penyair dengan megatakan mereka itu bukanlah Tuhan penyair, maka tidak ada sebab untuk penyair tunduk kepada mereka.

Kesimpulannya, gaya bahasa Alegori dapat dilihat pada keseluruhan puisi ini jika ditafsirkan dengan cukup didaktik sebagai sebuah karya parodi. Sememangnya puisi yang sebegini dicipta penyair untuk membidas sesuatu yang bertentangan dengan pendirian dan prinsip penyair. Pemilihan diksi yang mudah, namun kerap di’main’kan pada baris-barisnya memperlihatkan sikap penyair yang gemar bereksperimen dengan permainan kata, namun ia perlu dilakukan dengan lebih berhati-hati kerana kesilapan pemilihan kata dalam permainan diksi barangkali akan menghancurkan puisi tersebut.

Secara umumnya, puisi ini memperlihatkan satu citra alegori yang baik, namun harus diingat, salah satu kelemahan gaya bahasa alegori sekiranya digunakan secara meluas ialah kesannya terhadap resepsi khalayak yang mungkin memandang penyair sebagai seorang yang terlalu bersifat prejudis.

Tahniah Zulfazlan Jumrah

Tinta ainunL muaiyanah pada 7/28/2009 10:12:00 AM

28 July 2009

Pihak alumni MPR 2006 mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada salah seorang mantan MPR 2006 yang memenangi Hadiah Sastera Darul Ta'zim (HSDT) pada 17 Julai yang lalu iaitu Zulfazlan Jumrah dalam kategori cerpen eceran. Judul cerpen yang berjaya mencuri hati juri ialah HAMPARAN KUDUS DI WELLINGTON HALL. Cerpen eceran tersebut boleh dibaca di laman ini. Semoga dengan kejayaan Zulfazlan dapat membakar semangat mantan-mantan MPR 2006 yang lain.


Photobucket

MENGGALI SEJARAH DALAM HARI INI SESUDAH KELMARIN

Tinta Nissa' Yusof pada 7/06/2009 05:00:00 PM

06 July 2009

Oleh: Nissa' Yusof

Cerpen Hari Ini Sesudah Kelmarin (HISK) hasil karya Sapiah Derahman ini pada saya, bukanlah calang-calang cerpen. Mendapat tempat di ruangan kreatif Berita Harian. Menjadikan sejarah dan perjuangan Palestin sebagai tema, cerpen ini ternyata mempunyai asas yang kuat sebagai sebuah karya fiksyen, pada pandangan saya.

Kisah berkisar sekitar dua orang sepupu; ‘aku’ dan ‘kau’ (Adham) yang bertemu pada ketika masing-masing bercuti. Rentetan sejarah Islam dan Palestin, khususnya, digerakkan dalam perbulan antara ‘aku’ dan ‘kau’.

Cerpen dimulakan dengan;

"MAHU dengar cerita?" Kau membuat tawaran yang cukup menarik.

Begitu juga dengan keseluruhan cerpen yang diselang-selikan antara dialog dan naratif. Jalinan kemas yang terbina antara dialog dan naratif membentuk struktur cerpen yang teratur dan mengikat saya untuk terus membaca.

Sekali imbas, HISK pada pembacaan saya sangat tepu dan mampat, kerana ia diadun dengan fakta-fakta sejarah yang begitu mentah dan berat, iaitu fakta-fakta yang disalin secara langsung.
Cerpen dengan begitu banyak fakta selalunya membosankan dan keadaan ini sesekali mengganggu pembacaan saya dalam HISK ini,tetapi nilai estetik yang terdapat pada penulisan Sapiah seolah-olah menjadi pengikat supaya mata saya terus membaca. Sebagai contoh dialog oleh Adham;

“Aku masih ingat saat Amerika mencanangkan Islam sebagai agama yang kejam hanya kerana pemerintah Taliban memusnahkan patung Buddha Bamiyan di Afghanistan. Kejadian itu juga sebagai titik tolak untuk negara angkuh yang mendakwa dirinya polis dunia itu menubuhkan kerajaan boneka di negara itu dengan bantuan Pakatan Utara. Neraca Amerika tak pernah adil dalam menimbangkan? Unesco juga aktif menyelar tindakan itu. Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) juga sepi tanpa suara, walaupun kewujudannya dulu pada September 1969 selepas insiden kebakaran masjid itu oleh Dennis Michael, penganut fahaman Zionis dari Switzerland.”

Secara keseluruhannya, HISK mempunyai asas yang kuat begitu juga dialog dan naratif yang menjadi jalinan batu-bata dan simen. Maka terhasillah binaan yang kukuh dan mampat. Tahniah kepada Sapiah!

Bukan mudah mengadun fakta, lebih-lebih lagi sejarah, ke dalam cerita. Tetapi saya merasakan teknik penggunaan dialog seperti yang dilalakukan dalam HISK ini merupakan salah satu kaedah yang baik dan berkesan, selain teknik penulisan surat yang biasanya digunakan dalam kebanyakan cerpen berdasarkan sejarah.


p/s: cerpen terbaru Sapiah dalam Majalah Anis Julai. Jom baca!