Surat Zulfazlan Jumrah di Ruangan Surat Pembaca , Berita Harian

Tinta mantan mpr 2006 pada 6/28/2007 02:01:00 PM

28 June 2007

SUBJEK SASTERA MENJANA PEMBINAAN MODAL INSAN.
Sejarah telah membuktikan, peranan sastera dalam memangkin semangat patriotisme ketika zaman pramerdeka tidak dapat dinafikan. Nama-nama tokoh yang masyhur yang menyalirkan ideologi dan pemikiran genius mereka seperti Pak Sako, Za'aba, A. Samad Said, Usman Awang (sekadar menyebut beberapa nama) sememangnya tidak dapat disangkal jasa dan pengorbanan mereka dalam menuntut kemerdekaan daripada penjajah melalui titisan pena.

Jika tidak pun, kita seharusnya berbangga kerana mempunyai maha karya Sulalatussalatin atau Sejarah Melayu yang telah didokumenkan oleh legenda persuratan Melayu Tun Sri Lanang yang ternyata menjadi rujukan dan panduan kita dalam mengenal susur galur keturunan dan menjadi azimat penting untuk membina peradaban kehidupan.

Akan tetapi, apabila negara kian mendaki gunung kemajuan, peranan sastera dilihat semakin kurang peranannya dari hari ke hari. Hal ini tidak termasuk 'pelacuran' yang kian dicemari kesuciannya melalui penggunaan bahasa rojak dan pelbagai penyalahgunaan bahasa dalam pelbagai aras kehidupan yang kian kompleks. Lebih menyayat hati, sastera dilihat sebagai satu subjek 'kelas kedua'' di sekolah apabila semakin banyak sekolah yang tidak mahu menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu kerana mereka beranggapan subjek Kesusasteraan Melayu hanya dianggap sebagai subjek 'merah mata' dan pelajar yang mengambil subjek ini ialah mereka yang tercicir dalam pelajaran. Buktinya, satu berdasarkan sumber Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pelajaran, data menunjukkan bilangan pelajar yang mengambil mata pelajaran ini semakin menurun apabila jumlah kelasnya berkurangan kepada 982 kelas berbanding 1059 buah kelas pada tahun lalu

Senario ini ternyata amat menyedihkan. Ia menggambarkan seolah-olah peranan sastera yang pernah menjadi pemangkin semangat patriotik ketika negara hendak mencapai kemerdekaan 50 tahun dahulu kian di pinggir ke tepi. Malahan, beberapa tokoh sastera yang sudah terlebih layak mendapat pengiktirafan di peringkat nasional tidak mendapat haknya dengan cukup adil dan saksama.

Seharusnya, sebagai warga pascamerdeka, kita seharusnya melihat sastera sebagai satu perkara yang mampu menjana pembinaan modal insan yang dicanangkan oleh Perdana Menteri. Hasrat yyang tulus ini sewajarnya mendapat perhatian yang meluas kerana hanya dengan cara ini kita mampu bankit dengan penuh bermaruah. Usah mempersoalkan tentang perkara yang telah menjadi sejarah, kerana bangsa yang berjaya ialah bangsa yang belajar daripada sejarahnya sendiri. Akhir kata, cintailah dunia sastera!

ZULFAZLAN JUMRAH,
Fakulti Pengajian Pendidikan,
Universiti Putra Malaysia.

0 komen: