MERDEKANYA SEBUAH IMPIAN

Tinta SaFiy iSkandAr pada 6/06/2009 06:00:00 PM

06 June 2009

MERDEKANYA SEBUAH IMPIAN
NISSA’ YUSOF (E@siswa Ogos 2008)


Diminta mengulas cerpen ini, saya cuba menunaikannya walaupun agak terlewat dan tertangguh daripada janji-janji kepada penulisnya, Nissa’ Yusof. Nissa’ yang saya kenali tidak pernah tersurat bicaranya. Ada lapis kata yang membayangi aksara katanya. Itu ukuran pada puisi-puisinya dan barangkali itu juga gambaran awal untuk saya mengerti, cerpennya juga punyai maksud yang tersirat di sebalik baris ayat yang tersusun.

Menurut Faisal Tehrani dalam bukunya ‘Karya Nan Indah’: subjek yang mendapat perhatian untuk sebuah karya sastera ialah subjek agama, sejarah dan politik. Tidak apa jika anda memilih genre seram, roman, futuristic, humor, fantasi atau satira untuk memulakan kerjaya sebagai penulis. Yang penting anda harus menjadikan subjek agama, sejarah ataupun politik sebagai inti utama bagi karya-karya tersebut. (muka surat 24 dan 25)

Ternyata Nissa’ bijak memilih tema untuk cerpennya. Cerpen ini berpaksikan sejarah yang menyaksikan bagaimana perangai dagang yang bagaikan kacang lupakan kulit, diberi menumpang bukannya berterima kasih bahkan bersekongkol dengan orang asing untuk memusnahkan tanah tempat menumpang menyebabkan orang tempatan terusir dari tanah sendiri.


‘MERDEKANYA SEBUAH IMPIAN’ secara umumnya mengetengahkan pencarian atau impian yang diburu dengan bersungguh akhirnya menemui jaya. Ia juga kisah seorang pemudi merungkai jati diri sendiri. Dibahagikan kepada lima bab menjadikan cerpen ini ialah serpihan kisah yang tercantum elok.

Bab pertama ialah bab pengenalan, sebuah huraian yang panjang untuk memulakan perjalanan cerita. Dimulakan dengan bagaimana dagang merampas sebuah tanah merdeka dengan bantuan anasir luar. Desa yang sebelumnya aman jadi porak-pranda angkara perbuatan khianat dagang menyebabkan tanah merdeka ditawan dan penghuninya dibunuh dan diusir.

Bab kedua dan seterusnya lebih mengenai kisah hidup ‘saya’-seorang pemudi yang cuba menjejaki asal usul diri. Dan pencarian itu ditemukan dengan bantuan seorang teman. Ya, pencarian secara berseorangan biasanya sulit untuk dilaksanakan.

‘ Saya’ punya pendirian yang cukup tegas tanpa menghiraukan cakap-cakap kosong yang cuba membuat pendirian jadi goyah. Berdasarkan cerita ayah, ‘saya’ cuba menjejaki asal usul diri. Berpandukan fatwa hati tatkala melihat raut wajah ayah yang bukan seperti orang tempatan ‘saya’ nekad terbang ke ‘tanah ini ‘ dengan alasan menyambung pengajian.

Dan kehilangan datuk di sisi digantikan dengan kehadiran Hakimi di kampus, taulan yang tak lekang daripada puisi. Syair Teluk Kiambang dijadikan panduan mencari asal leluhur ayah. Dan ‘saya’ akhirnya tiba di teluk ini, cuba menjejak sejarah yang semakin terpadam.

Dan akhirnya saya membuat keputusan yang cukup besar, meneruskan cita-cita ayah melayarkan bahtera merdeka ke samudera luas –suatu perlambangan bahawa ‘saya’ sedang menuju merdeka dan membina kembali usaha yang diranapkan orang asing yang menjajah. Menyambung impian ayah yang ingin melihat tanah merdeka gah di persada dunia.
Penutup cerita yang cukup optimis. ‘Saya’ berjaya menggapai impiannya, melayarkan bahtera merdeka atas bumi bertuah.

Sesiapa yang melupakan sejarah berkemungkinan mengulangi kesilapan itu. Sejarah ialah kisah sama yang dipentaskan atas medan dan masa yang berlainan. Sejarah bukannya untuk dijadikan sekadar paparan pada buku dan dilupakan namun sejarah ialah jati diri yang membentuk peribadi.

Nissa’ , ni percubaan pertama K.Safi, maaf andai ada yang tersasar. Teruskan menulis!

3 komen:

Nissa' Yusof said...

terima kasih ya kerana sudi komen :)

Anonymous said...

hehe..sama2

firdhaus hasraf said...

salam nissa' antologi kita apa khabar ye~ safi yang tanya, haha~