Oleh Faizal Mohd Fuad
12-14 Dis lepas, telah diadakan Perkampungan Penulis Wilayah Utara di Tasik Raban Resort, Lenggong, Perak anjuran DBP Wilayah Utara. Program selama 3hari 2malam ini, walaupun sekejap, tetapi banyak ilmu yang dapat ditimba. 14 peserta menyertainya daripada 50 orang yang ditawarkan. Para peserta berpeluang bersama Sasterawan Negara Prof. Muhammad Hj. Salleh selama 2jam. Peserta dibahagikan kepada 2 kumpulan iaitu kumpulan yang mengikuti bengkel cerpen dan satu lagi bengkel puisi. Peserta bengkel cerpen dibimbing oleh Tuan Hj. Ali Majod dan peserta bengkel puisi dibimbing oleh Prof. Rahman Shaari dan Dr. Rahimah. Jutaan Terima kasih kepada DBP Wilayah Utara terutamanya pengurus projek perkampungan berkenaan, Puan Khairiyah. Moga-moga program seperti ini akan diadakan lagi kerana program seperti inilah yang diharapkan oleh penulis - penulis muda dan baru untuk mendapat tunjuk ajar dalam menglahirkan karya yang lebih berkualiti.
Perkampungan Penulis Wilayah Utara
Tinta mantan mpr 2006 pada 12/16/2007 09:43:00 AM
16 December 2007
Penomad Cinta (Buat dia yang berpindah dari wadi ketandusan)
Tinta mantan mpr 2006 pada 11/19/2007 11:07:00 AM
19 November 2007
karya Nurul 'Izzah, Berita Minggu, 18 Nov 2007
Dia penomad cinta
menyangkar aku
dalam jeriji kesetiaan
menghampar jagat derita
dari kolam-kolam dusta
membunuh nyali sukma
dalam hiris sembilu janji.
Dia penomad cinta
yang telah menjajahi
setiap ruang hati
memahat lirik-lirik
nyanyian kecintaan
mabuk dalam nanar rindu
dari sumur tandus kepeduliaan.
Dia penomad cinta
yang kaurayu sebutir simpati
untuk menambat namamu
dalam agenda hayatku
dan kala jiwaku menyerah
kau ibarat bara yang menyengat
membakar nafas kasih
yang mengakar dari pohon perkasihan.
Duhai penomad cinta
aku adalah perempuanmu
yang kaupinjam senyumnya
dan tega kaulunasi
dengan jerih perpisahan.
Dialah penomad cinta
yang telah kukirim wajahnya
ke pusara kenangan.
Lautan Duga
Tinta mantan mpr 2006 pada 11/12/2007 11:30:00 AM
12 November 2007
karya Nissa' Yusof, Berita Minggu 11 November 2007
Aku nakhoda jahil yang belayar
di lautan nikmat-Mu
tidak kenal pada riak gelombang
tidak takut pada kencang taufan
tidak mengerti pada deras lautan.
Seperti awan hitam di langit cerah
kupandang indah
dengan kolek yang teroleng
oleh ganas ombak
aku masih bermegah.
Aku menjadi hamba hina di jurang alpa
Sesudah badai uji-Mu menjerat duka.
Aku yang lemas di lautan nikmat-Mu
adalah aku yang mengharap segenap
nafas keampunan.
Memujuk Malam II
Tinta mantan mpr 2006 pada 11/09/2007 11:40:00 AM
09 November 2007
oleh faizal mohd fuad, berita minggu 28 oktober 2007
Malam ini di balik rimbunan ranting yang keliru,
dingin ditemani irama rintik hujan yang merdu,
memainkan lagu rindu seorang aku,
rindu pada tenangnya sebuah jiwa,
malam dan aku masih di sini,
saling menemani memutik ilham,
kutarikan pena jadi puisi,
terima kasih sebuah malam.
Oh malam,
kupujuk dirimu dengan sebuah hati,
walau diriku belum terpujuk lagi.
Salam Sastera
Tinta mantan mpr 2006 pada 11/07/2007 10:39:00 AM
07 November 2007
Assalamualaikum kesemuanya..
Pertamanya, saya mohon maaf kerana terlalu lama menyepi dan mengabaikan blog ini buat masa yang agak lama. Cuti-cuti ini, barangkali boleh kembali aktif menulis di blog dan berkarya. Kepada kawan - kawan mpr 2006 yang aktif berkarya, tahniah diucapkan.
Yang keduanya, baru baru ini saya ditawarkan menyertai perkampungan penulis wilayah utara, kalau ada kawan-kawan mpr 2006 atau mentor mentor yang terlibat dengan perkampungan penulis wilayah utara ini, bolehlah kita bersua kembali, terlalu rindu rasa di hati.
Ketiganya terima kasih kepada moderator moderator, ainunl, amli, dan azree yang membuat perubahan kepada blog mpr 06 ini. Saya juga baru tau kewujudan blog rasmi mantan mpr DBP.
Yang terakhir, rasa lega kerana peperiksaan akhir semester telah selesai.
-Head moderator-
-faizal nizam-
Menulis dan Kematian
Tinta mantan mpr 2006 pada 9/25/2007 10:02:00 AM
25 September 2007
Saya teringat kata-kata seorang penulis dahulu.
“Tulislah sesuatu yang bermanfaat dan jangan sesekali menulis sesuatu yang boleh merosakkan fikiran orang lain. Setiap apa yang kita tulis dan orang baca pasti akan dicatat untuk diadili di akhirat kelak.”
Entrinya tentang kematian. Seakan penulisnya tahu apa yang bakal menemuinya di kemudian hari. Apa yang tinggal kini hanyalah beberapa tulisannya di blog tersebut dan hingga ke hari ini masih ada yang menyahut di chatboxnya.
Apa yang perlu kita ingat adalah setiap apa jua perbuatan kita pasti akan dicatat oleh malaikat. Dan perbuatan kita tersebut akan dinilai sama ada mampu memberikan kita sedikit pahala(tiket ke syurga) ataupun dosa(tendangan ke neraka).
Menulis bukan melepas geram
Walaupun memang saya sendiri tidak nafikan yang saya juga kuat mengutuk kerajaan tetapi bukanlah dengan melepas geram di blog. Kita boleh mengutuk tindakan pihak yang tidak betul, tetapi biarlah caranya berhemah.
Kalau mahu menolak cadangan orang lain, tolaklah dengan betul. Bagi idea anda pula yang mungkin dirasakan lebih elok dan lebih bernas.
Menulis janganlah sekadar melepaskan geram. Menulis adalah ibadah. Kalau kita mati nanti, mungkin hasil tulisan-tulisan kita inilah yang bakal menyelamatkan kita.
Kalau kita sekadar kutuk-kutuk tanpa asas, boleh tak saya katakana itu sebagai satu fitnah? Dan jika kita mengatakan sesuatu yang tidak betul tentang seseorang, bukankah dosanya amat besar?
Menulis juga boleh beramal
Kalaulah anda ada terbaca blog yang mengutuk-ngutuk dasar mana-mana pihak, cubalah tapis yang mana satu lepas geram dan yang mana satu ilmu.
Saya ingin juga mengajak beberapa rakan penulis blog untuk menulis perkara-perkara yang baik. Lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan. Ingat! Menulis itu juga adalah satu ibadah.
Salam ramadan
Tinta mantan mpr 2006 pada 9/21/2007 04:56:00 PM
21 September 2007
Salam Ramadan.
oleh: Nissa' Yusof yang baik=)
Masuk saja bulan puasa, memang ada banyak cerita. Kalau zaman budak-budak,ramai yang puasa yang yok – makan nyorok-nyorok. Tapi saya masa kecil-kecil dulu kiranya dalam kategori budak baik la juga, jujur puasa=)
Saya selalu dengar cerita, ramai orang yang akan datang penyakit, seiring dengan kedatangan bulan puasa. Tapi sampai hari ni, saya masih belum pernah berdepan dengan golongan macam ni, setakat dengar cerita saja.
Bulan puasa ni sebenarnya bulan ajaib. Satu contoh, orang yang dalam kategori perokok tegar, boeh stop merokok waktu puasa. Fuh, tak ke ajaib tu! Contoh lain, orang yang tak pernah boleh bangun subuh pada hari-hari biasa, waktu bulan Ramdan mulia ni boleh pula bangun sahur. On time pulak tu. (golongan-golongan macam ni memang saya biasa jumpa)
Puasa sebenarnya sesuatu yang sangat menyihatkan. Sangat saintifik. Sudah ada beberapa kajian yang dibuat berkenaan puasa (Ramadan). Antaranya pada tahun 1984, kajian dilakukan oleh Dr. Soliman dari Universiti Hospital di Amman, Jordan. Beliau melakukan kajian terhadap 42 oang lelaki dan 26 orang wanita Islam. Darah setiap orang diperiksa bagi mengenal pasti kadar cortisol, testosterone, potassium, sodium, urea, glucose, cholesterol dan asid lemak. Pada akhir bulan didapati paras gula dalam darah mereka menurun ke tahap rendah tanpa mendatangkan sebarang kemudaratan. Begitu juga dengan paras lemak dlam darah yang secara umumnya turut menurun. Selain itu, kadar kolesterol ‘jahat’ iaitu LDL menurun dan sebaliknya kolesterol ‘baik’ iaitu HDL meningkat.
Banyak lagi rahsia puasa yang belum dapat kita singkap. Setiap ibadah datangnya dari Allah, hanya DIA yang tahu apa yang terbaik untuk umat terbaik ini.
Terakhir; jangan lupa bersahur, kerana “Sesungguhnya perbezaan antara puasa kita dengan puasa ahli kitab adalah makan sahur.” Hadis Nabi, riwayat Muslim, Amad, Abu Daud, Tirmizi dan Nasai.
Rujukan: Quran Saintifik; Dr. Danial Zainal Abidin.
Karya MPR sarat nilai agama - Berita Harian
Tinta mantan mpr 2006 pada 9/21/2007 04:53:00 PM
Karya MPR sarat nilai agama
Oleh Shaidah Shafie
Berita Harian, 4 September 2007
Sesi bedah karya anak didik Minggu Penulis Remaja di Balai Seminar Dewan Bahasa dan Pustaka disinggung ahli panel
MAJLIS Diskusi karya Alumni Minggu Penulis Remaja (MPR) di Balai Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini, memperlihatkan jalur keagamaan karya pengarang didikan MPR ketara baik dalam genre novel, puisi mahupun cerpen.
Pensyarah Universiti Malaya (UM), Dr Amida Abdul Hamid, melihat Ladang Hati Mustika (LHM) karya Ummu Hani Abu Hassan sebagai novel dakwah Islam yang manis, lembut, bersahaja dan istimewa kerana pengarang banyak menerapkan unsur Islamik.
|
Pengarang novel itu turut memperlihatkan kesungguhan untuk menyelitkan unsur dakwah lewat peristiwa, dialog dan perlakuan watak dalam menjalani kehidupan sebagai Muslimah dengan mengajak teman lain tampil sebagai insan dihormati, beragama serta berakhlak sesuai dengan tuntutan agama.
“Peristiwa nukilan pengarang dapat dijadikan epitome kepada pergerakan dakwah seperti mereka yang jahil agama sewajarnya dituntun dan dibimbing ke jalan Allah swt serta tidak patut dicaci atau dipandang rendah lantaran kecetekan pengetahuan agama mereka,” katanya ketika memperkatakan LHM
Amida turut memperakukan LHM sebagai kaya bimbingan dakwah bermatlamat keharmonian hidup di kalangan sesama manusia, di antara manusia dengan Allah dan di antara manusia dengan alam sekitar sehingga memungkinkan khalayak mengutip pengajaran berguna daripada pengarang.
Selain itu, LHM mencakupi pernyataan kasih sayang sesama manusia kerana watak utama, Mustika membalas mesej pesanan ringkas kepada Hanif, rakan yang mengambil berat terhadap gadis itu, tetapi tidak cuba mengambil kesempatan, malah cuba memberi nasihat kepada gadis itu agar berhati-hati dalam menjalani hidup.
“LHM sebagai novel dakwah sesuai dibaca kelompok remaja dan pasti turut menyeronokkan pembaca dewasa kerana penghuluran ciri dakwah dilakukan dalam naratif yang menarik, ada kalanya melalui dialog dan ada ketika melalui introspeksi watak,” katanya.
Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Kamariah Kamarudin senada dengan Dr Amida apabila menekankan penerapan nilai dakwah dalam karya bercorak keremajaan bagi memastikan kelompok sasar mendapat manfaat daripada pembacaan mereka.
Dr Kamariah yang membedah Justeru Impian di Jaring (JIdJ) karya Zaid Akhtar mengesan nilai sahsiah dan maruah insan nyata dalam novel itu melalui watak Syahir yang baik akhlaknya, apalagi terhadap keluarga mahupun rakan taulan pemuda terbabit.
“Syahir digambarkan sebagai individu yang memuliakan ibu kerana kerap mendoakan kesihatan ibunya dan menyanjung nasihat ayahnya mengenai agama dalam meniti kedewasaan dan dugaan kehidupan. Pengarang menguatkan jati diri Syahir sebagai insan berpendidikan dan molek pekertinya melalui beberapa gambaran,” katanya.
Tidak ketinggalan, Syahir dinyatakan pengarang sebagai anak muda yang meminati sukan badminton dan dalam pergelutan di kancah riadah, Syahir sering dibobrok oleh Syed Amiri, saingan beliau dalam sukan itu dan Pak Engku, jurulatih berat sebelah yang sengaja berlaku tidak adil kepada pemuda terbabit.
“Sebagai anak muda murni, Syahir tidak sedikit pun menunjukkan unsur pertentangan, sebaliknya memaafkan Syed Amiri dan Pak Engku dengan sifat sabarnya, lantas membuktikan Syahir adalah insan cemerlang dalam ilmu agama dan sosial,” katanya.
Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Misran Rokimin yang mengupas novel Misi Piramid (MP) karya Ida Munira Abu Bakar pula menyifatkan novel berkenaan digarap dalam bentuk alegori yang mengajak khalayak menghargai kemerdekaan.
“MP adalah bingkisan suara hati pengarang terhadap kebebasan yang disalurkan melalui watak utama, Zek, lewat mimpinya ketika mengembara ke Negara Mian. Negara itu mempunyai sistem pertahanan ampuh dan senjata canggih. Zek berusaha menyelamatkan sekumpulan manusia tawanan negara itu yang diperlakukan dengan kejam dan zalim walaupun terhadap wanita dan kanak-kanak,” katanya.
Sepanjang pengembaraan Zek yang disampaikan secara teknik alegori, pengarang banyak menyisipkan falsafah mengenai harga kebebasan, sekali gus khalayak dapat menyelami cetusan fikiran pengarang bahawa kebebasan walaupun payah untuk dicapai, tetapi setiap manusia perlu berjuang untuk mendapatkannya.
Editor Majalah Pentas, Rahimidin Zahari, memperkatakan 10 puisi berteras agama yang antaranya Menyembelih Haiwan karya Fahd Razy dan dilihat sebagai melambakkan kemarahan membara terhadap Zionis hingga pengarangnya ‘terpaksa’ menurunkan julat kemarahan sambil mengingati kepahlawanan Umar dan Salahuddin al-Ayubi.
“Puisi Salam Buat Nablus karya Khairunnasriah Abdul Salam senada dengan Menyembelih Haiwan, tetapi pemilihan kata dan susunan gaya bahasa membezakan kedua-dua pengarang, lalu ‘kemarahan’ di tangan Nasriah kelihatan lembut manakala Fahd tampak kelelakiannya,” katanya.
Beliau turut mengupas Azam Baru karya Nimoiz TY, Bukan Remang Sangka (Ida Munira Abu Bakar), Tangisan Luka (Farhana Hussain), Kasih Siapa (Nuruliman Dasuki), Kisah Kasih (Mohammad Hafiz Abdul Latif), Bahtera Ababil (Ode), Nyanyian Seorang Teman (Azree Ariffin), Segugus Kunci dan Teja serta Tanpa Cinta (Nissa’ Yusof).
Setiausaha Agung, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), SM Zakir, mengesan kesedaran diri dalam jiwa cerpenis mantan MPR, Ghafirah Idris melalui cerpen Surat Buat Kristina, Salman Sulaiman (Selembar Sejadah Di Lantai Madrasah) dan Amir Mukhriz (Ustazah Es).
Perkara serupa turut dikesan dalam karya Ummu Hani Abu Hassan (Je Zu Be), Ainul Muaiyanah Muhammad Sulaiman (Mencari Qudwah), Abdul Rauf Baharuddin (Mati Pasti Menang), Khairul Nizam Abd Rauf (Warkah Perang Melaka) dan Nurafiqah Abu Samah (Sayang Si Mamat).
Lewat cerpen Selembar Sejadah Di Lantai Madrasah, pengarang dikatakan melihat kecenderungan muda-mudi kini hampir melumpuhkan intelek dan jiwa mereka daripada tauhid, hingga mendorongnya menyampaikan pemikiran dan kesedaran dalam bayangan bahasa lewat karya.
“Dalam cerpen lain juga turut dikesan fakta pemikiran mengenai Islam sebagai jalan hidup untuk semua manusia atau dalam bahasa Arab, tasawur al-kulli. Kebanyakan cerpen berkesudahan dengan sistem pemikiran yang tegar, teguh dan tegas menjunjung prinsip tauhid,” katanya.
MPR di Utusan Melayu
Tinta mantan mpr 2006 pada 9/02/2007 03:57:00 PM
02 September 2007
MPR SUDAH MATANG MEMIKUL TANGGUNGJAWAB?
Oleh: AZMAN ISMAIL
Utusan Melayu, 27 Ogos 2007
SEJAK ditubuhkan lebih sekitar dua dekad lalu, Minggu Penulis Remaja (MPR) dianggap sinonim dengan kelahiran penulis muda negara ini. Cukup ramai nama yang boleh dibariskan dan dianggap berjaya.
Antaranya Faisal Tehrani, Amaruszati Noor Rahim, Nisah Haron, Mawar Shafie, Hizairi Othman, Ummu Hani Abu Hassan, Zaid Akhtar, Ida Munira, Salina Ibrahim, Ghafirah Idris dan ramai lagi.
Karya-karya mereka cukup menonjolkan kerencaman tema dan teknik serta menekankan aspek yang eksperimental. Ada kesungguhan untuk mencari kelainan dan keluar daripada kepompong karya tradisional Melayu.
Namun, adakah para penulis yang dilahirkan oleh MPR ini sudah benar-benar bersedia memikul tanggungjawab untuk membawa hala tuju sastera Malaysia?
Diskusi Karya Alumni MPR yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini setidak-tidaknya menjawab sebahagian daripada persoalan tersebut.
Dalam dua genre (puisi dan cerpen) yang diperkatakan oleh penyair, Rahimidin Zahari dan penulis, Syed Mohd. Zakir Syed Othman (S.M Zakir) melihat sisi yang kuat dan kurangnya karya-karya penulis MPR.
Rahimidin yang memperkatakan genre puisi melihat ada sisi kuat karya-karya penulis tersebut. Mereka menunjukkan sensitiviti dan kemampuan mencerna bahasa yang menarik.
“Ada kekuatan tersendiri antara penulis-penulis muda ini meskipun kadang-kadang mempunyai persamaan tema tetapi ada garapan mereka yang menarik meskipun perlu ditambah atau diperkuatkan.
Dua sajak oleh Nissa Yusof iaitu Segugus Kunci dan Teja Tanpa Cinta juga agak berkesan. Puisi kedua ini mengingatkan kita pada teks Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah,?katanya.
Selain itu, katanya ada pelbagai percubaan oleh penyair mantan MPR untuk mendekati peristiwa dan konflik politik dunia ke dalam sebuah sajak. Misalnya Salam Buat Nablus II oleh Khairunnasriah Abdul Salam yang menyelami konflik di Timur Tengah
Begitu juga dalam genre cerpen, S.M Zakir berpendapat ada kesungguhan para penulis untuk menerapkan pelbagai isu semasa dan persoalan sosiobudaya.
Bagaimanapun terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki. Sekali gus memerlukan proses pengolahan dan pemahaman isu dengan baik serta lengkap.
Antara lain, beliau melihat cerpen Ghafirah Idris, Surat Buat Kristina yang mempunyai terlalu banyak fakta mentah yang dikutip langsung daripada fakta sejarah hingga seolah-olah sebuah karya untuk memaparkan fakta.
“Dari sudut ini, karyanya menjadi sangat menarik, namun apabila kita melihat bahawa teks itu sebagai sebuah pemikiran, cerpen ini tidak menunjukkan sifat pencernaan sebuah pemikiran yang autentik,? katanya.
Dalam aspek lain, ada semacam keghairahan untuk menghubungkan fakta sains dengan al-Quran. Namun, meletakkan kebenaran yang mutlak sama dengan kebenaran yang skeptis bakal mengundang bahaya.
Apakah fakta sains yang tertakluk kepada empirikal dan skeptisme itu berubah maka al-Quran turut menjadi bersalahan?
Sama seperti genre puisi, S.M Zakir melihat ada kematangan yang ditunjukkan dalam penulisan. Banyak tema berjaya digali dan ditelusuri dengan baik serta berkesan. Begitu juga aspek teknik dan pendekatan yang menonjolkan pembaharuan.
Jika pandangan Rahimidin dan S.M Zakir diambil kira dalam kedudukan ini, para alumni MPR sebenarnya mampu memikul tanggungjawab untuk memperkasakan sastera Malaysia hari ini dan akan datang.
Tetapi, seperti kata Rahimidin pada perbincangan tersebut, sesiapa sahaja boleh menjadi penyair dan bersajak tetapi bagaimanakah seseorang menampilkan kekuatan dalam sesebuah puisi itu?
TENTATIF BARU DISKUSI KARYA MPR
Tinta mantan mpr 2006 pada 8/17/2007 01:20:00 PM
17 August 2007
PERHATIAN!
TENTATIF DISKUSI KARYA ALUMNI MPR
NOVEL, CERPEN DAN PUISI 2007
TARIKH: 18 OGOS 2007
TEMPAT: DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA, KUALA LUMPUR
MASA: 9.00 PAGI – 1.30 PETANG
9.00 PAGI – PENDAFTARAN
9.10 PAGI – UCAPAN PENGERUSI MAJLIS, BACAAN DOA DAN TAYANGAN MULTIMEDIA
9.30 PAGI – DISKUSI NOVEL
1. JUSTERU IMPIAN DI JARING (DR KAMARIAH KAMARUDIN)
2. LADANG HATI MUSTIKA ( DR AMIDA ABDULHAMID)
3. MISI PIRAMID ( DR MISRAN ROKIMIN)
11.00 – PENYAMPAIAN HADIAH KEPADA PEMBENTANG 1
11.10 PAGI- DISKUSI PUISI DAN CERPEN
1. CERPEN (SAUDARA SM ZAKIR)
2. PUISI (SAUDARA RAHIMIDIN ZAHARI)
12.30 PETANG – PENYAMPAIAN HADIAH PEMBENTANG 2
12. 40 PETANG- BICARA NASKHAH HIZAIRI OTHMAN
12.45 PETANG - BACAAN PUISI MANTAN MPR
1.30 PETANG – MAKAN TENGAH HARI DAN BERSURAI
DISKUSI KARYA ALUMNI MPR (novel, cerpen, puisi 2007)
Tinta mantan mpr 2006 pada 8/09/2007 06:42:00 PM
09 August 2007
DISKUSI KARYA ALUMNI MPR
NOVEL, CERPEN DAN PUISI 2007
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Pihak Alumni Minggu Penulis Remaja (MPR) dengan sukacitanya menjemput para penggiat dan peminat sastera ke program DISKUSI KARYA ALUMNI MPR 2007 (NOVEL, CERPEN DAN PUISI) yang akan diadakan pada 18 Ogos 2007 (Sabtu) bertempat di DBP. Maklumat lanjut berkenaan diskusi tersebut adalah seperti berikut:
TENTATIF DISKUSI KARYA ALUMNI MPR
NOVEL, CERPEN DAN PUISI 2007
TARIKH : 18 OGOS 2007
TEMPAT: DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA, KL
MASA: 9.00 PAGI HINGGA 4.00 PETANG
9.00 PAGI - PENDAFTARAN
9.20 PAGI - UCAPAN PENGERUSI MAJLIS DAN BACAAN DOA
9.30 PAGI- DISKUSI NOVEL
NOVEL 1- JUSTERU IMPIAN DI JARING KARYA ZAID AKHTAR
PEMBENTANG : DR KAMARIAH KAMARUDDIN (UPM)
NOVEL 2- LADANG HATI MUSTIKA KARYA UMMU HANI ABU HASSAN
PEMBENTANG ; PROF MADYA AMIDA ABDUL HAMID
NOVEL 3 - MISI PIRAMID KARYA IDA MUNIRA ABU BAKAR
PEMBENTANG : DR MISRAN LOKIMIN
11.30 PAGI - BERKONGSI PENGALAMAN DENGAN PENULIS NOVEL
PEMBENTANG : ZAID AKHTAR
UMMU HANI ABU HASSAN
IDA MUNIRA ABU BAKAR
12.30 PETANG - REHAT DAN MAKAN TENGAH HARI
2.00 PETANG - DISKUSI CERPEN DAN PUISI
SESI SATU (CERPEN)
PEMBENTANG : SAUDARA SM ZAKIR
CERPEN :
1. J e Zu Be (Ummu Hani Abu Hassan) Dewan Siswa 2007
2. Surat Buat Kristina (Ghafirah Idris) Dewan Kosmik 2007
3. Selembar Sejadah di Lantai Madrasah ( Salman Sulaiman)
4. Mencari Qudwah (Ainunl Muaiyanah Muhd Sulaiman) Dewan Siswa 2006
5. Mati Pasti Menang ( Abdul Rauf Baharuddin) Tunas Cipta 2005
6. Sayang Si Mamat (Nur Afiqah Abu Samah) Tunas Cipta 2006
7. Ustazah Es (Amir Muhkriz) Antologi Kudeta
8. Warkah Perang Melaka (Khairul Nizam Raub)
SESI DUA (PUISI)
PEBENTANG : SAUDARA RAHIMIDIN ZAHARI
PUISI:
1. Menyembelih Haiwan (Fahd Razy) Dewan Sastera 2006
2. Mantera Ababil ( Azizul Ikhwan) Tunas Cipta 2005
3. Kasih Siapa (Nurul Iman Dashuki) Dewan Siswa 2006
4. Segugus Kunci ( Nissa Yusuf) Utusan Melayu 2007
5. Nyanyian Seorang Teman (Azree Arifin) Dewan Siswa 2007
6. Tangisan Luka (Farahana Hussain) Tunas Cipta 2006
7. Kisah Kasih II (Mohd Hafiz Abdul Latiff) Remaja 2005
8. Azam Baru (Nimoiz TY) Dewan Sastera, 2007
9.Salam Buat Nablus II (Khairun Nasriah Abdul Salam)
10. Bukan Remang Sangka (Ida Munira Abu Bakar) Tunas Cipta 2006
4.00 PETANG- MINUM PETANG DAN BERSURAI
* Mohon hebahkan maklumat ini. Sebarang pertanyaan lanjut sila hantarkan emel ke mantan_mpr@yahoo. com.my. Terima kasih.
Diskusi MPR
Tinta mantan mpr 2006 pada 7/09/2007 02:15:00 PM
09 July 2007
Diskusi MPR,
14 Julai,
9.30 AM
di DBP.
diskusi novel:
Ida Munira - Misi Piramid, pembicara Zaen Kasturi
Ummu Hani Abu Hassan - Ladang Hati Mustika, oleh Saifullah Kamalie
Zaid Akhtar - Justeru Impian di Jaring, oleh Dr. Kamariah Kamarudin
Surat Zulfazlan Jumrah di Ruangan Surat Pembaca , Berita Harian
Tinta mantan mpr 2006 pada 6/28/2007 02:01:00 PM
28 June 2007
SUBJEK SASTERA MENJANA PEMBINAAN MODAL INSAN.
Sejarah telah membuktikan, peranan sastera dalam memangkin semangat patriotisme ketika zaman pramerdeka tidak dapat dinafikan. Nama-nama tokoh yang masyhur yang menyalirkan ideologi dan pemikiran genius mereka seperti Pak Sako, Za'aba, A. Samad Said, Usman Awang (sekadar menyebut beberapa nama) sememangnya tidak dapat disangkal jasa dan pengorbanan mereka dalam menuntut kemerdekaan daripada penjajah melalui titisan pena.
Jika tidak pun, kita seharusnya berbangga kerana mempunyai maha karya Sulalatussalatin atau Sejarah Melayu yang telah didokumenkan oleh legenda persuratan Melayu Tun Sri Lanang yang ternyata menjadi rujukan dan panduan kita dalam mengenal susur galur keturunan dan menjadi azimat penting untuk membina peradaban kehidupan.
Akan tetapi, apabila negara kian mendaki gunung kemajuan, peranan sastera dilihat semakin kurang peranannya dari hari ke hari. Hal ini tidak termasuk 'pelacuran' yang kian dicemari kesuciannya melalui penggunaan bahasa rojak dan pelbagai penyalahgunaan bahasa dalam pelbagai aras kehidupan yang kian kompleks. Lebih menyayat hati, sastera dilihat sebagai satu subjek 'kelas kedua'' di sekolah apabila semakin banyak sekolah yang tidak mahu menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu kerana mereka beranggapan subjek Kesusasteraan Melayu hanya dianggap sebagai subjek 'merah mata' dan pelajar yang mengambil subjek ini ialah mereka yang tercicir dalam pelajaran. Buktinya, satu berdasarkan sumber Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pelajaran, data menunjukkan bilangan pelajar yang mengambil mata pelajaran ini semakin menurun apabila jumlah kelasnya berkurangan kepada 982 kelas berbanding 1059 buah kelas pada tahun lalu
Senario ini ternyata amat menyedihkan. Ia menggambarkan seolah-olah peranan sastera yang pernah menjadi pemangkin semangat patriotik ketika negara hendak mencapai kemerdekaan 50 tahun dahulu kian di pinggir ke tepi. Malahan, beberapa tokoh sastera yang sudah terlebih layak mendapat pengiktirafan di peringkat nasional tidak mendapat haknya dengan cukup adil dan saksama.
Seharusnya, sebagai warga pascamerdeka, kita seharusnya melihat sastera sebagai satu perkara yang mampu menjana pembinaan modal insan yang dicanangkan oleh Perdana Menteri. Hasrat yyang tulus ini sewajarnya mendapat perhatian yang meluas kerana hanya dengan cara ini kita mampu bankit dengan penuh bermaruah. Usah mempersoalkan tentang perkara yang telah menjadi sejarah, kerana bangsa yang berjaya ialah bangsa yang belajar daripada sejarahnya sendiri. Akhir kata, cintailah dunia sastera!
ZULFAZLAN JUMRAH,
Fakulti Pengajian Pendidikan,
Universiti Putra Malaysia.
salam dari Nissa' Yusof
Tinta mantan mpr 2006 pada 6/28/2007 01:56:00 PM
Salam Penulisan.
Sekarang sudah masuk separuh bulan Jun. Secara umumnya ramai yang akan kembali sibuk pada bulan Julai. Selamat menyibukkan diri, teruskan menimba ilmu.
buat bangsal di pulau daik,
menahan taut sambil mengilau,
kalau asal benih yang baik,
jatuh ke laut menjadi pulau.
moga kita semua menjadi benih yang baik, dalam apa jua bidang!
-Nissa' Yusof-
Tahniah, tahniah dan tahniah lagi
Tinta mantan mpr 2006 pada 6/23/2007 10:23:00 AM
23 June 2007
Tahniah kepada mereka yang bakal jadi orang kaya baru atau pun yang akan menjadi semakin kaya.. Tahniah sekali.. Teruskan berusaha..
p/s: moderator jugak yang tak kaya kaya lagi..
-faizal the moderator-
Mengapa menulis?
Tinta mantan mpr 2006 pada 6/13/2007 03:13:00 PM
13 June 2007
Ini sekadar persoalan biasa yang sering diajukan kepada seorang penulis atau diajukan sendiri oleh penulis kepada dirinya. Sekadar memberi pendapat, jadi mengapa sebenarnya menulis.
Pada saya, saya menulis pada mulanya sekadar mengisi masa, kemudian untuk mendapatkan kepuasan, selain daripada itu, untuk menyatakan sesuatu perkara dalam kalimah - kalimah yang dapat saya bina sendiri.
Malah apabila saya bertanya kepada diri saya, mengapa menulis? Saya katakan saya ingin menjadi seseorang yang jujur melalui tulisan saya, tetapi soalnya, sejauh manakah kejujuran itu? Soalan ini tidak dapat saya jawab dengan jujur kerana adakalanya saya berasa saya tidak jujur apabila saya menulis.. kadang - kadang jer la.. bukan setiap kali menulis tidak jujur..
Walau bagaimanapun. menulis ini suatu perjuangan.. yang semestinya mesti jujur dan ikhlas..
Barangkali jangan berhenti bertanya mengapa menulis..
-faizal-
Tahniah....!
Tinta mantan mpr 2006 pada 6/04/2007 10:42:00 AM
04 June 2007
Tahniah buat Kak Nisah yang telah selamat melahirkan puteri ke-4 pada 2 Jun 2007. Moga nanti dia menjadi anak yang solehah.
Santai
Tinta mantan mpr 2006 pada 6/04/2007 10:35:00 AM
Tinta Maya Nissa' Yusof
Salam puisi, cerpen dan novel.
Saya rindu untuk lihat blog ni aktif dan sibuk. Macam sewaktu mula-mula dilahirkan dulu. Rasa-rasanya masa kita semua masih panas-panas lai dengan MPR, ramai yan tak henti-henti menulis di sini. Sampai sehari boleh ada dua tiga post!
Tidak ada tajuk rasmi dalam tulisan kali ini, cuma secara santai saya ingin bincangka Mengapa mantan-mantan MPR ramai yang hilang?
Beberapa sebab yang dapat saya kenal pasti,
1) Teknologi
Pada tahun-tahun sebelum 2000, penggunaan teknologi tidak seberapa. Emel pun ramai yang tak ada. Telefon bimbit lagilah susah nak jumpa. Jadi peserta-peserta hanya boleh bertukar nombor telefon rumah dan alamat. Seandainya mereka berpindah rumah, terus, ruan perhubungan hilang.
2) Umur
Sebelum batch kita, had umur peserta bermula dari pelajar sekolah menengah (saya tidak pasti berapa), jadi, kebanyakannya remaja-remaja yang masih boleh dipanggil 'anak kecil' di samping ada juga yang sudah 'besar panjang'. Perbezaan umur sebegini mungkin menyukarkan mereka untuk terus berhubung. yang agak kecil malu dan segan dengan abang2 dan kakak2.
3) Tiada tempat pertemuan
Blog MPR 2006 adalah blog pertama dalam sejarah MPR. Sebelum ini cuma ada Yahoo Groups dan beberapa group yang tidak berjaya mengumpulkan semua mantan. Maka mereka tidak mempunyai tempat atau ruang yang bebas dan mudah untuk berhubung, seperti di blog ini.
Cukup sekadar tiga. Apa yang mahu saya gariskan di sini ialah kita (batch 2006) tidak menghadapi masalah-masalah seperti di atas. Bahkan kita ada lebih lagi. Ramai yang sudah mempunyai blog. Jadi seharusnya kita terus berhubung antara satu sama lain. Sekurang-kurangnya di blog ini. Setakat ini, ada beberapa orang yang saya 'tak nampak'. Ini satu petanda yang kurang baik. Jadi, ayuh! Marilah kita sama-sama meriahkan kembali ruang ini. Bak kata orang, biarlah jauh di mata, asalkan dekat di hati.
Teruskan berkarya. Tulis dan hantar. Walaupun tidak tersiar (macam karya saya), kita mesti terus berusaha. Hadapilah segala rintangan, menulislah walaupun dalam hati. (yeke?)
berkata moderator..
Tinta mantan mpr 2006 pada 5/20/2007 09:35:00 AM
20 May 2007
assalamualaikum semua warga mpr khususnya dan warga sastera amnya..
mohon seribu kemaafan sebab dah lama tak 'update' blog... saya selaku chief moderator, sejak takde 'connection' kat umah sebab baru pindah ke rumah baru dan line phone pun takde lagi, maka sebab kerja-kerja 'update' agak sukar nak dilakukan, tambah-tambah saya baru cuti ni.. walaupun begitu, saya akan cuba dapatkan masa utk buat apa apa yg patut kat blog tersayang ni.
Insyaallah, jumpa lagi dalam entri akan datang..
-faizal mohd fuad-
Diskusi karya eceran mantan MPR 2007
Tinta mantan mpr 2006 pada 4/19/2007 04:12:00 PM
19 April 2007
oleh : AinunL muaiyanah muhammad sulaiman
DISKUSI KARYA ECERAN MANTAN MPR 2007.
Kepada semua mantan MPR 2000-2006, anda dijemput untuk menghantar cerpen atau puisi yang pernah tersiar di media cetak untuk didiskusikan sempena Pertemuan MPR 20 Tahun. Tujuan diskusi ini adalah untuk mengetengahkan penulis-penulis baru. Karya-karya yang dihantar hendaklah yang pernah tersiar di media cetak pada tahun 2005-2007. Hanya 15 cerpen dan 30 puisi pertama sahaja yang akan dipilih. Diskusi ini akan diadakan pada 14 Julai 2007. Karya-karya tersebut hendaklah dihantar ke emel mantan_mpr@yahoo. com.my Tarikh tutup penghantaran karya ialah pada 30 April 2007. Sebarang pertanyaan lanjut bolehlah emelkan ke alamat emel yang diberi.
PUISI PENGHULU YANG TERSIAR DI AKHBAR
Tinta mantan mpr 2006 pada 4/19/2007 03:47:00 PM
BERITA MINGGU, 8 APRIL 2007
KITA YANG SERINGKALI TERLUPA
Kitalah yang seringkali terlupa
menjadikan batu itu nilam permata,
kaca itu berlian yang tinggi nilainya.
Kitalah yang seringkali terlupa
memainkan melodi kejujuran
agar warga kita tahu erti berdikari
agar warga kita tahu bagaimana
memilih lurusnya haluan.
Kitalah yang seringkali terlupa
memahat jasa yang pernah ditaburkan
pada pusara budi yang kian menyepi
pada manis sepotong mimpi yang ngeri.
ZULFAZLAN JUMRAH
PPJ, KULAI, JOHOR.
UTUSAN MELAYU, 9 APRIL 2007
PUSARA BUDI
Pada ladang pusara ini
tertanam jasad budi yang kian mereput
bernisankan angkuh yang payah tercabut.
Pusara ini terbina
dari timbunan arus kemodenan
selirat mewah warga berlumba
memacu jentera peradaban
di medan persabungan kehidupan.
Pusara ini terbentang
bagai hamparan ladang budaya
yang hangus terbakar
seperti mawar warisan
yang tidak lagi berkembang mekar.
ZULFAZLAN JUMRAH
PPJ, Kulai Johor.
p/s cemburunya dengan puisi penghulu kita. Lalu kita mesti giat menghasilkan karya yang bagus di hari muka supaya dapat bersaing seiringan...
tahniah..tahniah...
Tinta mantan mpr 2006 pada 4/09/2007 04:42:00 PM
09 April 2007
Oleh : ainunL muaiyanah MS
Tahniah buat sahabat-sahabat sekapal yang karyanya tersiar bulan ini.
Firdaus Hassan ( Manusia bijaksana ) Dewan Siswa
ZulFadhli Sohok ( Bahtera Iman) Dewan Sastera
Nabiah M. Mashud (Tenggelam dalam Keredaan) Dewan sastera
Maaflah kalau ada yang terlepas pandang dan tidak sempat mengucapkan tahniah di sini. Oleh itu saya sarankan kepada sahabat-sahabat sekalian yang karya tersiar, harap dapat email ke mantanmpr06@yahoo.com supaya kejayaan itu di kongsi bersama dengan rakan-rakan yang lain. Bukannya bermaksud untuk membangga diri tetapi sekurang-kurangnya apabila kita berkongsi di sini, dapatlah menyemarakkan semangat sahabat-sahabat yang lain supaya giat berkarya. Selepas minggu MPR berlalu, saya dapat melihat banyak karya-karya mantan mpr 06 yang tersiar contohnya seperti Zulfazlan JUmran, Firdhaus Hassan, Nissa’ Yusof, Nabiha M. Mashut (sekadar menyebut beberapa nama) tersiar. Inilah satu perkara positif untuk di kongsi bersama dengan rakan yang lain.
Kepada mantan MPR yang sedang atau akan menghadapi final exam, saya doakan semoga tenang hati dan dapat menjawab semua soalan dan tidak lupa juga selamat bercuti….
Atas komitmen seorang mantan MPR 2005, Azree Ariffin, dia telah mewujudkan satu group mantan mpr di friendster. Sesiapa yang ingin menyertai group tersebut bolehlah ke profile azree ariffin, azrie87@hotmail.com ataupun profile saya ainunL muaiyanah, yan_isya@yahoo.com dan klik pada group Minggu Penulis Remaja DBP. Mari kita memeriahkan komuniti ini.
P/S jangan lupa langsaikan hutang pada DBP 5 puisi 2 cerpen
bingkisan kata dari azma
Tinta mantan mpr 2006 pada 3/24/2007 03:49:00 PM
24 March 2007
Oleh : Azma
Assalamualaikum. Buat teman-teman yang ku hormati sekalian. Semoga kalian ceria-ceria selalu. Tak kira lah walaupun hujan atau panas. Tapi rasanya dah musim kemarau dah hampir berakhir.Hmm bagaimana pula dengan teman-teman yang mngetahui keputusan SPM. Harapnya semuanya mendapat keputusan yang memuaskan. Ingat berkarya, berkarya juga, jangan lupa belajar. Sebab itu tujuan utama kita. Apapun belum terlambat untuk menguucapkan tahniah kepada teman-teman yang karya mereka disiarkan di mana- mana majalah. Semoga ia menjadi pendorong untuk kalian terus berkarya.Tapi jangan lupa doakan pada teman-teman yang lain, ye la sedih juga kan sebab karya masih belum tersiar. Tak mengapa, cuba lagi mana tahu bulan depan tersiar.Oklah cukup dulu, saya tinggalkan satu puisi untuk tatapan bersama.
Jejak lngkah tersusun atur,
beriringan menuju tujuan.
Sayup kedengaran,
Nyanyian alam menggamit jiwa,
Akhirnya sampai,
destinasi harapan dicita.
Siapakah yang cemburu,
Tatkala kemesraan mula berrputik,
Membuah kasih erat?
hampa,
Ia gugur jatuh,
Hancur reput di tanah duka.
Renunganku jauh,
Menggamit seribu kenangan,
Menjangkau semanis impian.
Salam juang,
Azma
Selamat bertemu kembali!
Tinta mantan mpr 2006 pada 3/21/2007 05:23:00 AM
21 March 2007

moderator:semoga kalian dpt mengharungi peperiksaan dengan tenang..
nakhoda upacara III
Tinta mantan mpr 2006 pada 3/07/2007 03:34:00 PM
07 March 2007
( Buat SN A.Samad Said Ketika Malam Puisi Anggerik UPM )
Riwayat upacara ini tergenggam pada penanya.
Dia mencipta mesra kelasi upacara
menenang cemas waktu yang mengepung
dalam selirat keliru berat ditanggung.
Dialah nakhoda upacara
yang menegak bangun jati bangsa
mendiri warisan ibunda
dalam payah tanggung jalani canggung
jauh dari gelora hati hempasan murung.
Nakhoda ini peneraju tampuk bicara
memutuskan dari natijah bulat suara
tidak buta memaksa dari besar kuasa
melontar kata bukan tak pernah dikota
jauh sekali daif fikir dan idea
apatah cetek pertimbangan di dada.
Limpahan keringatnya adalah selaut kepuasan
yang hadir dari gigih-gigih garis-garis pengorbanan
yang terbentang dari anyaman permaidani kesabaran
mulia walau dalam senyap dirinya dicerca
masih tertawa dalam bauran duka
toleransi sekalipun lempuh mendera.
Dan terindah dalam lingkar fikirnya
adalah waktu dihitung berkunjung tiba
tika riuh berseri upacara dipatri
sepotong mimpi menguak realiti
pabila bara semangat marak nyala berkobar
menjadi penenang hati yang debar.
ZULFAZLAN JUMRAH
KOLEJ CANSELOR, UPM
30/01/2007
01.16 am
puisi tok penghulu untuk renungan
Tinta mantan mpr 2006 pada 3/07/2007 03:30:00 PM
Tamadun bangsa ini dapat diterokai dengan sebatang kunci khazanah.
Padanya kita mampu membuka jendela-jendela perit
dan menguak sejuta kisah watan
yang gagah melayari satu bahtera peradaban.
Kunci ini juga bisa menyelak pintu-pintu nostalgia
yang mengepung baur sejarah nusa di ladang kehidupan
yang dipalit kacau dan lumpur penghinaan,
dilitupi langsir durja di jenang pengembaraan.
Pada gagas bendangnya,
kita bisa menelaah batas-batas kegemilangan
dari benih-benih perjuangan yang tertanam
di butir pasir pengalaman berzaman.
Dengan kunci ini kita membuka peti peradaban
yang memeram naskhah rahsia bangsa
pada reput helaiannya tercoret aksara-aksara agung
cerminan berani satria nusa penegak pancang-pancang kedaulatan.
Di situ, tercatat persuratan warisan
yang menjadi tradisi watan
melakar citra jaya di sempadan cabaran,
sebagai lukisan permai untuk kita senada mengiktibar
episod duka di jalur-jalur penderitaan
dan gagas-gagas persengketaan.
ZULFAZLAN JUMRAH
UPM, SERDANG
5 MUHARAM 1428 H
Di mana kita
Tinta mantan mpr 2006 pada 3/04/2007 08:01:00 PM
04 March 2007
Bismillah
Oleh Amli Halimi
Jumaat lepas, usai solat jumaat, saya pergi ke kedai buku mahu mengintai-intai majalah baru keluaran mac. Entah kenapa hati tergerak membelek Dewan Sastera. Belek punya belek. Terlihat satu artikel bertajuk "MPR Edisi ke-20: Suatu Pembaharuan Positif."
Hati rasa tertarik untuk meneruskan intaian. Saya membuka halaman seterusnya. Melihat gambar teman-teman seangkatan MPR 2006, terimbau beberapa kenangan lampau. Tanpa berfikir panjang, saya terus membelinya.
Sampai di rumah, saya terus membaca tulisan Kak Nisah. Beliau memulakan tulisan dengan imbauannya ketika mengikuti MPR dulu. Secara ringkas Kak Nisah menceritakan pengalamannya. Beliau turut menceritakan bagaimana pembacaannya berkaitan dunia sastera pada ketika kakinya melangkah ke alam MPR. Antara tujuannya bukan untuk berbangga-bangga, tapi mahu adik-adiknya bangkit dari lena. Beliau membandingkan bagaimana pembacaan peserta MPR 2006. Pengetahuan kita berkaitan karya sastera, terlalu rendah.
Antara lain yang Kak Nisah sentuh bagaimana sesi perkenalan MPR 2006 dijalankan. Para mentor tidak menjalankan sesi tersebut sebagaimana sistem lama dengan masing-masing memperkenalkan diri di hadapan. Kenapa begitu? Kerana mereka yang aktif dan terus menulis, pasti namanya akan terus lekat dalam ingatan. Bukan di hati mentor sahaja, tetapi merangkumi jiwa-jiwa editor majalah, pembaca bahkan semua.
Saya teruja dengan tulisan Kak Nisah. Saya juga tertanya-tanya, di manakah saya? Di manakah kita semua?
Wallahu a'lam
HEBAHAN PENTING
Tinta mantan mpr 2006 pada 2/23/2007 07:09:00 AM
23 February 2007
Assalamualaikum kepada semua mantan,
Saya telah diundang melalui surat DBP/2-4/sulit/194/20-10 K.2 (39) bertarikh 21 Februari 2007 sebagai wakil Alumni Minggu Penulis Remaja untuk menghadiri saya majlis Taklimat Tentang Kegiatan Alumni Minggu Penulis Remaja pada :
Tarikh : 27 Februari 2007 (Selasa)
Masa : 9.30 pagi
Tempat : Bilik Mesyuarat Lembaga Pengelola, Menara DBP, Kuala Lumpur.
Tujuan majlis ini diadakan ialah untuk berinteraksi secara langsung dengan pertubuhan, kumpulan ataupun orang perseorangan yang terlibat secara langsung dalam dunia kesusasteraan di tanah air dan antarabangsa bersama-sama DBP.
Saya telah diminta untuk menyampaikan taklimat khas tersebut tentang kegiatan Alumni MPR kepada Jawatankuasa Sastera Lembaga Pengelola DBP.
Antara yang akan saya sampaikan adalah seperti mana berikut :
1. Perhimpunan Mantan MPR 1986 – 2006
2. Penerbitan antologi 20 tahun MPR
3. Diskusi buku alumni/ wacana ilmuan
4. Bengkel penulisan terbuka (untuk bukan MPR tetapi dikendalikan oleh mantan MPR)
5. Ruangan / pojok khusus untuk Alumni MPR dalam Dewan Sastera / Dewan Siswa
6. Bengkel pemantapan penulisan kepada mantan (mengikut genre)
7. Program penulis di sekolah
8. Laporan bengkel Adabuna - GKLN yang baru berlangsung awal Februari lepas.
Sekiranya mana-mana mantan mahu menyampaikan apa-apa maklumat lain ataupun ada hasrat yang perlu saya sampaikan, harap dapat salurkan kepada saya seberapa segera. Insya-Allah, saya akan memanjangkan perkara tersebut kepada pihak Jawatankuasa Sastera Lembaga Pengelola DBP.
Emel saya : nisah.haron@gmail.com ataupun telefon bimbit : 012-305 7123.
Terima kasih.
--
ikhlas,
Nisah Hj Haron
www.nisah.cjb.net
www.ujanailmu.com.my
puisi mantan mpr06 di Dewan Sastera
Tinta mantan mpr 2006 pada 2/12/2007 11:03:00 PM
12 February 2007
Oleh : ainunL muaiyanah sulaiman
Nadi Pesona Syurga
(Sempena tahun baru 2007)
Di atas citra jaya
Seorang insan mengimbas
2006 memori hidup yang indah
Dahulu dia pernah lemas
Lumpur derita menusuk nafas
Syukur masa kurniaan Esa
Dihadapan mata temui nadi
Dalam musim inilah
Insane ini mengenal cinta
Hirup nafas segar bahagia
Duduki indah sergam istana
Nadika pesonakan syurga
Di hujung musim
Disember yang terang
Dia pohoni yang Esa
Pelihara bahagia yang ada
Dari hasutan kawan nyata
Dan godaan musuh hina
Dan musim baru yang tiba
Dia sedar jarum duga pasti hadir
Berharap pada nadi
Sedari dugaan ini
Tepis dengan yakin
Katakana pada hati
Cinta ini adalah abadi
FIRDHAUS HASSAN
FSSR UiTM Perak
Mewarisi Tradisi
Menyusuri peradaban diri di tian realiti
Mamasak ampuh tiang iman teguh berdiri
Menyentak pawana jahil dari deras menderu
Menghempas buta budi yang kian membeku
Gagahilah watan!
Kebukit sedar kita maju berwawasan
Melakar potret agung di kanvas jaya
Mencanang citra mula dari kawah derita
Membelah samudera angkuh kian bergelora
Menyiram pucuk bangsa bahagia bersama
Malazimi bait aksara di medan ini
Kita melakoni takdir
Bersulam riang, duka dan menyediri
Merenjis tulus nurani
Mendidik jiwa menjadi insani
Mendakap sejahtera hakiki
Penyubur iman di sanubari
Apa yang dijaga tetap di warisi
Yang diwarisi langsung menjadi tradisi
ZULFAZLAN JUMRAN
PP, Kulai johor
Tahniah kepada Lan dan Firdhaus kerana karya mereka tersiar di Dewan Sastera Januari dan Februari. InsyaAllah setelah Februari berakhir, saya akan menyiarkan sajak yang tersiar di bulan Februari, Zulfazlan Jumaran (Kita Kian Lupa) dan Firdhaus Hassan (Tangga Bina Rebah).
Puisi Cikgu Sudin juga tersiar sama ,Merawat Cinta Di Kaki Kaabah dan makalah dari abang Lutfi Sastera Ringan : Antara Kualitatif Dengan Kuantitatif Tahniah! Tahniah!
PENGUMUMAN PENTING
Tinta mantan mpr 2006 pada 2/07/2007 03:09:00 PM
07 February 2007
Assalamualaikum warahmatullah..
Berhubung dengan satu pesanan yang baru diterima baru baru ini, antologi MPR jadi untuk diterbitkan. Maka diharapkan semua mantan MPR2006 dapatlah hantar kerja rumah masing (5sajak dan 2cerpen) kepada mentor - mentor yang berkenaan sebelum tarikh akhir penghantaran.
Sekian,terima kasih.
-moderator-
Mencari diri dalam sastera
Tinta mantan mpr 2006 pada 1/28/2007 10:54:00 PM
28 January 2007
Saya bukanlah berasal daripada keluarga yang terlibat dengan sastera. Entah mengapa saya begitu berminat dengan sastera. Benih - benih minat tumbuh makin subur apabila saya mengenal sajak - sajak karya Allahyarham Usman Awang. Saya banyak menulis semasa di sekolah menengah tetapi karya-karya saya ketika itu cuma untuk simpanan sendiri dan banyak yang dah hilang pun.
Apabila masuk kolej, saya semakin perlahan menulis kerna sibuk dengan pelajaran. Alhamdulillah, selepas salah satu karya saya yang kecil dan tidak seberapa tersiar dalam Tunas Cipta, saya ditawarkan oleh DBP untuk menyertai MPR. Saya tidak berfikir 2 kali, bulat - bulat saya terima.
Semasa di MPR, banyak yang saya belajar, terima kasih kepada DBP dan semua mentor. Hari ini, saya berusaha mencari waktu terluang untuk menulis walaupun hakikatnya saya terlalu sibuk, lebih lebih lagi sebagai pelajar jurusan undang undang. Terlalu banyak benda yang nak dibaca, hinggakan hendak membaca karya-karya sasterawan negara dan penulis mapan pun terlalu susah, saya perlu banyak memberi tumpuan kepada 'study', tetapi saya cuba juga mencuri masa untuk membaca karya - karya sastera.
Saat ini, tika saya memegang pena dan hendak berkarya, saya sering memasang niat dalam hati, saya menulis kerna mahu mencari diri saya dan hakikat hidup yang sebenar. Saya cuba menulis atas nama ketuhanan dan perikemanusiaan. Saya bukan manusia terbaik untuk bercakap tentang ketuhanan dan perikemanusiaan, tetapi saya mahu mencuba. Dalam pada masa yang sama saya mahu mengubah diri menjadi manusia yang lebih baik melalui karya-karya saya.
Perjalanan sastera saya terlalu baru, tersangat hijau, masih jauh, terlalu jauh. Saya tahu saya mesti sabar dan tekun, tetapi itulah, status sebagai pelajar undang undang mengekang saya untuk istiqamah dalam berkarya. Saya harapkan sokongan kalian kepada saya untuk saya terus sabar dan tekun berkarya, tidak putus asa.
Memang, saya mencari diri dalam sastera.
-faizal-
pantun suka hati
Tinta mantan mpr 2006 pada 1/24/2007 05:05:00 PM
24 January 2007
PANTUN SUKA HATI
Dicipta secara suka hati oleh Nissa’ Yusof
Berbuah rambutan di tepi padang
Ambillah tuan buat berkelah
Meskipun leher di hujung pedang
Jangan sekali mengaku kalah
Tengku Muda menjala siakap
Sambil menghisap tembakau cina
Usah dihirau orang bercakap
Ayuh kita tajamkan pena
Tumbuh lalang di pinggir kali
Datang mamak habis ditebas
Biarlah orang tidak peduli
Asalkan kita berniat ikhlas
Masak ranum si buah duku
Cantik kuning si buah nangka
Inilah saja hasil tanganku
Untuk kita bersuka-suka
BENGKEL PENULISAN ISLAMI GLKL-ADABUNA
Tinta mantan mpr 2006 pada 1/24/2007 04:47:00 PM
Oleh : ainunL muaiyanah sulaiman
BENGKEL PENULISAN ISLAMI GKLN-ADABUNA
Assalamualaikum
Pihak group Karyawan Luar Negara (GKLN) dan Adabuna(group penulis dari Timur Tengah) buat julung kalinyatelah mengadakan kerjasama menganjurkan bengkel penulisan Islami GKLN-ADABUNA secara maya (online).
Bengkel ini bakal dilangsungkan secara online menggunakan aplikasi Yahoo Mesenger, dan tiga sesi(bagi setiap fasilitator) akan dijalankan serentak. Seramai 12 orang peserta dari kedua-dua kumpulan (yang terdiri daripada penulis-penulis muda dari Mesir, US,Dublin, United Kingdom, Australia, New Zealand, danlain-lain) telah dipilih dan karya-karya mereka bakal dibedah oleh 3 orang fasilitator yang terdiri daripada penulis-penulis mapan iaitu saudara Faisal Tehrani,saudara Zaid Akhtar, dan Puan Nisah Haron.
Kepada semua yang berminat, anda dijemput untuk turutsama mengikuti bengkel tersebut sebagai PEMERHATI danPENDENGAR samaada melalui radio MISG (http://www.radiomis g.com/ ) atau mengikutinya secaralangsung secara jemputan dari moderator setiapbengkel.
Tarikh: 3 Februari 2007
Masa:KL -Sat 9:00 PM
CAIRO -Sat 3:00 PM
NASHVILLE-Sat 7:00
AMDUBLIN -Sat 1:00 PM
MELBOURNE - Sat 12:00 PM
WELLINGTON - Sun 2:00 AM
Sekiranya mahu mengikuti siaran secara langsungmelalui online conference, sila pastikan komputer andamempunyai kelengkapan voice teleconference dan sila minta moderator menjemput anda dalam conference masing-masing.
ID moderator adalah seperti berikut:
1) ISE_SEKODA
2) HAFEZIFTIQAR
3) TECOLPET
(P/S: untuk siaran melalui radio, hanya satu sesi akan disiarkan dalam satu masa. 2 sesi yang lain akan ditunda siarannya pada waktu yang bakal ditetapkan kemudian)
maklumat lanjut boleh hubungi : fieza_nur@yahoo. com atau layari http://gkln. blogspot. com
~penulis~ saya dapat email ini daripada abang fahd razy
Terima Kasih Setinggi Gunung Everest
Tinta mantan mpr 2006 pada 1/20/2007 03:02:00 PM
20 January 2007
Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua mantan MPR bukan sahaja mantanmpr 2006, malam semua mantan mpr tahun - tahun yang lalu, juga terima kasih yang tidak terhingga kepada mentor - mentor mpr di atas sokongan yang terus menerus terhadap blog ini.
Pada kesempatan ini, saya mohon maaf sangat - sangat kerna dengan kesibukan semester baru, saya terpaksa mengurangkan sedikit perhatian ke atas blog tercinta ini, kalau ada cuti - cuti atau kesempatan yang betul - betul menyempatkan, barulah dapat saya menulis di blog ini.
Walau bagaimanapun, syukur kerna blog ini masih mampu bertahan dan harapnya dengan bertahannya blog ini, mantan mpr 2006 terutamanya akan terus bertahan dalam arena penulisan dan dengan adanya sokongan daripada mentor mentor, insyaAllah kita sama - sama akan terus menulis dan berjuang.
Selamat tahun baru 1428, moga terus berkarya dan terus berjaya.
-moderator blog mpr 2006-
-FaizaL-
gambar banjir
Tinta mantan mpr 2006 pada 1/16/2007 04:51:00 PM
16 January 2007
P/S : bagaimana ya keadaan orang di johor sana. Alhamdulilah di terengganu masih baik-baik sahaj. Biarpun hujan tak mengerti belas ~yana~
Pengalaman
Tinta mantan mpr 2006 pada 1/03/2007 01:46:00 AM
03 January 2007
oleh : Azree
"Harapan hamba sejarah akan dibaca. Sejarah akan mengajar. Dan anak muda akan belajar."
Mungkin ramai yang masih tertanya-tanya – pelik mungkin – kenapa saya mula meminati bidang sastera. Ada suara-suara daripada kawan saya sendiri bertanya, ”kenapa daripada seorang yang minat grafik dan komputer, tiba-tiba minat menulis sajak dan cerpen?”, ”sejak bila bertukar minat ni?”, ”dah tak reti nak buat multimedia ke?”, ”budak sains boleh ambil sastera ke?” dan bermacam-macam persoalan lagi menerjah-nerjah diri saya sewaktu mereka membaca cerpen-cerpen dan sajak-sajak awal saya.
Salahkah untuk meminat bidang sastera? Salahkah untuk saya menulis cerpen dan sajak? Jadi pada kesempatan ini ingin saya jawab satu soalan sahaja iaitu ”bagaimana boleh minat sastera?” Kisahnya bermula begini...
Sedari kecil lagi saya minat membaca buku cerita. Selalunya setiap buku yang dibaca akan diulang baca paling kurang 2 kali. Sehinggakan habis buku-buku teks KOMSAS saya sudahi baca sewaktu sekolah rendah lagi. Saya ingat lagi satu penerbit novel kanak-kanak yang amat saya minat sewaktu kecil dahulu, penerbitan Kenari. Setiap kali ada pesta buku, pasti abang saya akan beli beberapa buah buku sebagai koleksinya. dan setiap kali itu saya akan membaca. Cuma agak malas menulis ringkasan setiap buku untuk program NILAM – bukan ’agak’ malas tetapi ’memang’ malas.
Itu cerita saya sewaktu sekolah rendah. Masuk sahaja sekolah menengah, ada satu peristiwa yang tak mungkin saya lupakan. Saya lupa waktu itu saya tingkatan 1 atau tingkatan 2. Tapi yang pasti adik perempuan saya yang umurnya kurang setahun daripada saya membawa satu novel yang dipinjam daripada rakan kelasnya dan ditunjukkan kepada saya. Dia katakan pada saya, ”inilah novel untuk orang remaja”. Apalagi, saya pun bacalah novel itu sampai habis. Kemudian saya ulang baca sekali lagi. Bukan kerana jalan ceritanya bagus, tapi kerana tabiat saya sedari kecil. Ingin saya katakan di sini, itu kali pertama saya baca sebuah novel yang jalan ceritanya daripada awal sampai akhir membuatkan saya meluat. Hampir termuntah.
Saya pun berkata dalam hati, ”Oh, ini ke novel remaja”. Saya ingat nama penulisnya – AHADIAT AKASHAH. Dan saya perhatikan ciri-ciri cover buku itu – ada gambar perempuan. Satu pengeksploitasian yang berkesan (untuk remaja mungkin). Kesan meluat yang teramat itu melunturkan minat membaca dalam diri selepas itu. Kalau baca pun sekadar buku-buku kumpulan cerpen sahaja. Kesimpulannya, buku NILAM saya agak ’bersih’ lagi sewaktu sekolah menengah.
Setiap kali sahaja saya disuakan dengan novel-novel yang dikatakan ’Novel Remaja’ – gambar perempuan sebagai cover buku dan nama penulis yang pelik – saya menolaknya dan mengutuk-ngutuk. Ingin dikatakan pada waktu itu saya tidak tahu membezakan karya sastera dan popular. Jadi karya-karya sastera pun memang saya kutuk juga. Sampai novel-novel KOMSAS pun saya tak baca – tapi seperti yang saya katakan tadi saya dah baca sewaktu sekolah rendah, jadi waktu sekolah menengah saya hanya baca kupasan novel itu sahaja sudah memadai untuk menjawab soalan PMR dan SPM.
Kemudian sewaktu tingkatan 4, saya bertukar sekolah ke KISAS. Di sana saya berkenalan dengan lagi banyak ragam manusia. Sewaktu di tingkatan 5, kawan sebilik saya terlalu minat membaca ’Novel Remaja’. Bila dia baca novel, mulalah saya kutuk-kutuk hobi dia tu. Pada suatu hari, tiba-tiba dia merungut-rungut, ”novel apa macam ni, pening je nak baca. Bosan gila!” saya pun gelak-gelakkan dia dan mengutuk, ”dah semua novel memang macam tu, tak payah la nak baca lagi”. Kemudian diletakkan novel yang dikatakan pening itu di atas meja. Saya pun menjeling dan tengok-tengok ciri-ciri novel itu – ada gambar perempuan dan nama penulisnya pelik. Tapi gambar perempuan itu ada kelainan sedikit daripada gambar-gambar di cover ’Novel Remaja’ yang lain.
Malam itu, usai habis solat isyak, tergerak hati saya untuk membaca blurb novel tadi. ”Aik, lainnya. Macam ini ke ringkasan cerita?” Getus saya dalam hati. Kemudian saya baca prolog novel itu.
”Eh, novel sekarang dah maju ke?” Getus lagi dalam hati. Prolognya sahaja sudah menambat hati saya. Dan pada malam Sabtu itu saya mula membaca novel itu dan saya sudahi membaca novel itu pada hari Ahad. Saya hafal nama penulisnya, FAISAL TEHRANI.
Sejak habis membaca novel 1515 itu, saya mencari semua tulisannya – tidak kira artikel, novel ataupun cerpen. Kemudian kawan saya Rauf (mantan MPR2004) mengajak saya menulis. Mungkin pada waktu itu dia tengok saya beria-ia bercerita tentang novel 1515 itu dan sejak dari itulah saya faham bezanya karya sastera dengan karya popular (bukannya ’Novel Remaja’!!!). Sejak itulah juga saya mula menulis.
Sekian sahaja kisah bagaimana saya mula minat menulis. Bagi yang memang suka membaca novel popular, teruskan membaca. Mungkin kisah-kisah cinta yang kemudiannya diadunkan dengan pengalaman seks (lebih 3-10 mukasurat) itu sesuai dengan jiwa anda. Jika ada yang terasa hati dengan tulisan saya kali ini, saya mohon maaf. Tetapi, INILAH PENGALAMAN SAYA dan INILAH KISAH KENAPA SAYA. Saya harap anda tidak menyalahkan pengalaman saya ini kerana inilah yang telah ditetapkan Allah untuk saya.
Harap semua persoalan di perenggan pertama tadi telah terjawab. Kepada kawan-kawan sewaktu di KISAS, saya bukannya terus meninggalkan hobi saya yang dulu. Hingga sekarang saya masih menerima tempahan untuk membuat persembahan multimedia untuk program-program besar di UIA sampaikan pihak pentadbiran UIA sendiri meminta saya buatkan persembahan multimedia untuk departemen STAD. Ingin saya simpulkan di sini, jangan merendah-rendahkan martabat penulis kerana ada penulis yang lebih mahir dalam bidang komputer (baca=sains&teknologi) daripada anda!
P/S: Cuba teka kenapa saya katakan gambar perempuan dalam novel 1515 itu lain daripada yang lain? (”,)
Puisi Daripada Penghuluwati
Tinta mantan mpr 2006 pada 1/02/2007 11:35:00 AM
02 January 2007
catatan : Sajak ini terilham selepas hukum gantung ke atas saddam hussein dijalankan.
"....apabila kamu menetapkan hukuman di antara manusia, hendaklah kamu menetapkannya dengan adil" (an-nissa':58)
10 ZULHIJJAH
10 Zulhijjah
Langit arafah
merah metah
Dunia meratap
Tali disentap
Bush meleret senyum :
Adil sungguh!
Gemulah Saddam :
Esok bumi pasti berpesta
Bila Bush hilang kata
-izzah- penang 1138am
Hadiah Tahun Baru Daripada Kak Rai
Tinta mantan mpr 2006 pada 1/01/2007 09:40:00 PM
01 January 2007
p/s: akhirnya yang tunggu telah tiba, oh yeahhhh.. link telah dibuat, sila semak di sidebar bahagian mentor MPR -faizal-
Puisi
Tinta mantan mpr 2006 pada 1/01/2007 01:38:00 PM
marilah sama - sama kita menikmati puisi yang tidak seberapa ini
SEMABRUR HAJI
Rinduku pada bumi Mekah,
Tempat mastautin semulia Kaabah,
Waktu bersinar purnama Zulhijjah,
Baitullah tumpuan jutaan jemaah.
Bumi ini tenangnya dalam sesak manusia,
Mencari damai abadi di setiap inci
Masjidil Haram yang suci.
Wilayah Adam dan Hawa mengukir sejarah,
Bertaut cinta selepas bermusim terpisah,
Di tengah lapang Padang Arafah,
Jemaah berwukuf kemuncak ibadah.
Demi nama Tuhan Yang Maha Tinggi,
Mukmin mengharap semabrur haji.
-faizal-
Berita Minggu
31dis2006